Pertamanya, saya merasa kasihan. Barangkali perkara sama pernah menimpa saya. Namun apabila saya menyelusuri baris-baris perenggan seterunya, komen daripada mereka yang mungkin lebih memahami beliau dan situasi beliau, saya seolah-olah dapat membaca isunya tentang ada suara sumbang yang berteriak di belakang beliau. Jadi saya menulis di ruang yang sama memberi sedikit perkongsian. Yang barangkali tidak pun bermakna apa-apa untuknya.
Saya dan Suara Sumbang.
Tiga atau empat tahun lepas, saya pernah berada di tempat beliau. Seusai pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, ada saudara yang baik hati melamar saya berkerja di restorennya. Alhamdulillah, meski kerja sebegitu tak pernah terlintas di kotak fikiran, saya gagahkan juga menerima demi mengisi kekosongan sebelum beroleh kerjaya yang terimpi. Sekurang-kurangnya dapat merasa hasil penat lelah sendiri.
Sekeras itu berkerja daripada pagi sehingga lewat petang, gaji yang diterima sekadar RM20 sehari. Kerjanya meliputi enam hari seminggu tanpa cuti. Kalau cuti, maknanya tidak bergaji. Cuti juga biasanya mengikut budi bicara majikan. Penatnya, bergantung kepada pelanggan. Biasanya memang tak menang tangan. Betul payah, tetapi syukurnya RM120 seminggu dapat membantu Mak dan Abah belanja dapur. Sikit-sikit sengaja simpan untuk masa depan.
Kesukaran sebenar menempa nama apabila pihak luar mula mengasah lidah. Kadang-kadang terkesan kerana di sebalik kerendahan kita berkerja sepenuh jiwa dicaci maki sepenuh jiwa oleh orang yang pada hemahnya tidak ada kena-mengena dengan kita, malah hanya dek kerana isu yang kecil dan sewajarnya boleh diselesaikan dengan cara yang baik. Maka hari itu, setelah beberapa minggu isu ini panas di tempat kerja, saya menyaksikan mata hati ibu menangis. Mak menjadi mangsa mendengar makian itu, dan ketika sedang saya menjamah makan petang, Mak meluahkan rasa terkilannya sehingga dari bibir mata Mak tergenang air mata kesal. Malah ada yang selalu menegur supaya saya segera ke Kuala Lumpur mencuba nasib dengan kerja lain.
Hari-hari seterusnya, saya berfikir. Apa yang terjadi, dan atas 'cakap-cakap orang' yang saya tidak suka itulah, saya ambil keputusan berhenti kerja dan memperjudi nasib di ibu kota.
Mulanya saya menumpang di rumah kawan-kawan. Saya cukup bersyukur kerana mereka tidak meminta banyak daripada penganggur seperti saya. Duit yang tinggal pada saya daripada pendapatan yang tak seberapa, saya gunakan cukup-cukup untuk makan dan belanja harian.
Dan alhamdulillah, Januari 2010, saya mula berkhidmat di MARDI atas pertolongan seorang sahabat, walaupun pada ketika itu (sehingga kini pun) berstatus sementara. Sekurang-kurangnya ada pendapatan yang lebih lumayan dan pengalaman yang lebih relevan. Motivasi cakap-cakap orang akhirnya terpanggil.
Positif, Motivasi Penguat Semangat.
Saya akui, saya tidak matang dalam banyak perkara. Saya terlalu sensitif, malah lebih teruk lagi, saya cepat terkesan. Jadi setiap hari menjalani hidup, meski dek isu yang halus pun, saya mudah jatuh dan tersungkur.
Tetapi, kerana jatuh dan tersungkurlah saya belajar cara untuk bangkit. Hari demi hari saya kuatkan semangat dan meletakkan harapan pada Tuhan. Cakap-cakap orang akan selalu ada. Maka, lebih banyaklah perasaan saya dikerat-kerat orang.
Saya juga mula belajar secara positif. Dalam keadaan yang sensitif terhadap teguran dan usikan orang, saya cari ruang untuk melihat persepsi positif. Barangkali mereka ambil peduli pada saya. Atau sekadar ingin ambil tahu dan membantu. Atau mungkin dalam bersuara cuma ingin menyatakan pandangan dan peringatan. Mungkin nasihat itu dalam bahasa yang saya tidak faham, tetapi berniat baik. Bagaimana untuk saya mengharap mereka memahami kebaikan dalam perbuatan saya sekiranya saya asyik melihat jahat dalam tiap tindak tanduk mereka?
Benar, kadang-kadang orang memang tak faham. Tugas kita memahamkan mereka. Andainya masih lain daripada apa yang sebenarnya kita rasa, kita biarkan. Usah menghakimi tindakan mereka, sebaliknya percaya kepada keputusan kita. Suara mereka kadang-kadang sungguh menjengkelkan, tetapi jika buruk pada pendengaran kita, tolaklah ke tepi dengan baik. Apa gunanya menuduh mereka itu berlisan tajam dengan menikam mereka dengan lidah kita sendiri?
Cara kita berbeza. Saya, anda dan mereka. Kadang-kadang mereka salah, kadang-kadang kita pun salah. Jika isinya baik, jadikan penguat motivasi kita untuk terus maju. Jika isinya buruk dan tidak mampu didengar oleh lubang telinga, kita larikan saja jauh-jauh. Usah membenci.
Penasihat Tidak Sempurna
Lazimnya, apabila ada suara cuba menegur, perkara pertama kita lakukan ialah membandingkan mereka dengan kata-kata mereka. Ya, saya percaya akan kepimpinan melalui teladan. Menegur (atau berdakwah) melalui tindakan. Tetapi ketidak sempurnaan tidak sewajarnya menjadi penghalang kepada sesorang untuk menegur kepada sesuatu yang baik.
Apakah salah jika seorang lelaki yang hidupnya menggiuri wanita yang seksi, melihat pornografi saban malam, malah melakukan zina tangan dengan kerap, menghalang dan menasihati seorang lelaki daripada merogol seorang wanita di hadapannya?
Apakah kita mencari seorang yang sempurna, dan hanya yang sempurna layak menegur kita? Maka berharaplah Nabi Muhammad hidup kembali, atau tunggu sahaja Imam Mahdi mendatangi akhir zaman.
Jika kita hidup berpaksi ketidak sempurnaan dalam hidup, serta sentiasa mengejar kesempurnaan dalam hidup, bukankah kita perlu sentiasa saling ingat mengingati? Apabila teguran datang daripada yang tidak sempurna, kita mabil pengajaran. Malah kita juga bersedia mengingatkan mereka apabila tersasar. Malah nas turut menyokong aspek ini,
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Surah Al-'Asyr (103: 1-3)
Tegur-menegurlah. Walau dalam ketidak sempurnaan.
Kadang-kadang kita sengaja menampakkan keburukan beliau kerana menegur keburukan kita. Barangkali yang menegur kita itu mereka yang tak berpelajaran, tetapi menegur kita berkaitan masa depan. Kita mungkin berasa mereka tidak layak bersuara kerana mereka sendiri tidak berpelajaran, tetapi kita lupa asalnya mereka bersuara.
Bagaimana sekiranya mereka sekadar bersuara kerana mengenang nasib sendiri. Mereka hidup beralas simpati orang. Kerjanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mungkin kekurangan hidup mereka menasihati kita sekadar memberi harapan agar kita lebih maju, dan lebih berjaya daripada mereka.
Jika kita yang berpelajaran, bijaknya kerana sudah menggenggam segulung ijazah, mengapa kita bertindak sebegitu nista kepada mereka yang kurang berpelajaran daripada kita, hanya kerana cara tegurannya tidak sebijak kita? Inilah masanya kita berhujah secara bijak, ikut kelulusan kita.
Berkongsi
Mengapa Allah mengajurkan kita berpesan-pesan? Mengapa kita ditempatkan di sebuah mahligai dunia secara bersama? Sedangkan Allah boleh menciptakan kita masing-masing dunia kita, sepertimana Dia menciptakan sungai dan laut yang bersempadanan.
Natijahnya kita hidup dalam satu komuniti yang berkongsi segala hal dan perkara. Malah Tuhan menjanjikan seberapa perkara secara bersama. Sekiranya maksiat mendatangi di kala seluruh kampung menjaga imannya pun masih mungkin beroleh laknat dan bala.
Ingat cerita bagaimana seorang yang alim/muazin yang setiap pagi subuhnya melaungkan azan demi mengajak khalayak datang menunaikan tanggungjawabnya kepada Sang Pencipta? Bagaimana syaitan memperdayanya dengan daun yang ditukar menjadi emas demi menghalangnya daripada mengajak penduduk menunaikan solat? Dan tahukah kita kesudahan ceritanya apabila beliau akhirnya kalah kepada syaitan meskipun amalannya kepada Allah tidak pernah luntur kecuali perbuatan mengajak khalayak kepada kebaikan?
Kerana kita disuruh berkongsi. Kita ambil iktibar dan ambil tahu. Dan dalam banyak perkara juga kita lakukan secara hemah. Bagi kita yang menegur juga, perlu belajar caranya. Pilih kata-kata yang sesuai, pendekatan yang baik, dan berniat juga wajar baik. Mari kita pupuk sikap berbaik sangka. Ambil dan tokok, tolak dan buang dengan bijak.
Kita hidup dalam komuniti yang berkongsi cerita. Ambil tahu penting kerana sikap tidak ambil peduli terbukti membunuh puluhan nyawa di China. Ingat bagaimana mereka yang dilanggar di jalan raya dan orang ramai hanya memandangnya tanpa ambil peduli kerana 'takut kita melabel mereka jaga tepi kain orang'?
Dan bayangkan jika sikap ambil peduli luruh daripada komuniti kita, mungkin rumah jiran di sebelah dimasuki pencuri pun kita tak ambil tahu meskipun kita menjadi saksi hanya kerana kita tidak kenal mereka. Atau mungkin tak pernah tahu tentang mereka di sebelah kita sehingga mayat mereka mereput pun kita tidak ambil tahu.
Isu jiran sangat ditekan dalam Islam. Bahkan mereka yang kekenyangan di rumahnya sedangkan jirannya kelaparan pun dimarahi Nabi. Sebegitu Islam menyuruh kita mengambil tahu. Kita juga diajarkan berkomuniti juga bukan, supaya apabila kita meninggal dunia, mayat kita tidak perlu bergolek sendiri ,asuk ke liang lahad dan menimbus sendiri.
Jadi ada adabnya kita berkongsi, dan ambil tahu. Saya dan kakak sendiri belajar ini di kejiranan baru kami. In a hard way if I could say.
Hikmah
Saya memahami maksud sepupu saya. Sengaja malas menyelidik lebih kerana bimbang pergi terlebih dalam. Dalam memahami maksud beliau, dek sendiri pernah merasai, dan cuba berlaku adil dengan semua pihak, saya menulis makalah ini. Bukan niat memberi khutbah kerana saya sangat jahil dan cetek ilmunya. Sekadar peringatan bersama supaya saya juga bisa membaca artikel ini berkali-kali untuk mengingati diri sendiri pada masa depan.
Banyak yang saya tulis tidak berniat menyentuh isu sepupu saya semata-mata, kerana banyak yang saya ceduk daripada pengalaman saya sendiri. Jika hari ini kekesalan beliau lahir daripada 'cakap-cakap orang di sini', lain hari beliau akan masih berasa kesal apabila mendepani 'cakap-cakap orang' di tempat lain pula, yang sememangnya tidak pernah surut.
Saya suka untuk melihat dari banyak sudut. Bagaimana kita menegur, atau menerima teguran. Bagaimana kita memilih untuk bertindak. Serta bagaimana, kita melihat dari kaca mata lain pula. Barangkali kita merasa kita kuat dalam kepompong kita, berasa mereka salah daripada luar, tetapi suatu masa kita akan berdiri di sana, melakukan perkara yang sama kepada mereka yang lain. Roda, berputaran.
Ambil cerita bagaimana mereka yang dulu susah bertemu jodoh, meluahkan rasa bencinya apabila seringkali menerima ajukan soalan tentang jodoh. Hari ini apabila sampai jodoh mereka, mereka pula berceloteh tentang jodoh orang lain pula bukan? Nah, contohnya sudah di depan mata.
Kita perlu pelajari hikmah. Bukan mudah. Malah sangat payah. Tetapi kita wajar mencuba. Buktikan kita juga mampu mengorak langkah jauh. Jadikan suara mereka penguat raga. Suatu masa kita akan tersedar, baik mereka yang bersuara menolak kita dari tebing, atau mereka yang mengangkat kita bangkit daripadanya, kedua-duanya berperanan menjadikan kita berjaya. Suatu masa, kita akan berteima kasih kepada kedua-duanya.
Dan ingatlah. Apabila angin menggoncangkan pokok tempat kita bertenggek, jadikan ia daya penolak untuk kita berani mengepakkan sayap dan terbang lebih tinggi daripada angin ribut itu. Seperti helang!
p.s.: Ya, saya tahu, menulis dan bercakap lebih mudah aripada menghadapi dan melaluinya, tetapi marilah kita sama-sama berusaha!