viewers

Wednesday, October 20, 2010

Harap Mak Tak Berkecil Hati

Saya tahu benar sifat Mak. Macam ibu-ibu lain di dunia ni, Mak sentiasa harap anak-anaknya ada di sisi. Lagi-lagi bila lama tak ketemu. Tambahan pula bagi saya, sudah lebih 10tahun saya memegang status perantau. Anak dagang yang bermusafir. Jadi, sentiasalah saya diharap pulang selalu ke tempat asal saya. Jauh di sudut hati Mak, saya faham dia mahu saya seperti anak sepupu saya yang hampir setiap minggu pulang ke kampung. Saya pula, jarang-jarang sekali. Maklumlah, ketika belajar, ongkos sentiasa kurang daripada bajetnya.



Kali ini, saya sudahpun bekerja. Tinggal pula serumah dengan kakak sulung saya. Masing-masing kami sentiasa menelefon Mak di kampung. Kakak memang anak yang baik. Setiap kalipun dialah yang selalu menelefon Mak. Saya pula, selalunya menyedeng di sisi, sekali-sekala bersuara dan tergelak dengan Mak dan kakak. Jarang sedikit berbual panjang dengan Mak berbanding kakak.



Kisahnya meruntun tika kami berpakat menyambut Aidiladha yang bakal menjelang November ini. Sebagai anak jati Pantai Timur, Aidiladha sentiasa dianggap penting terutamanya bila ada kenduri kendara yang dilangsungkan. Tambahan pula, tahun ini, saya berbesar hati menyembelih lembu korban untu keluarga. Jadi, susun atur jadual saya dan kakak segerakan. Cadangnya, bakal pulnag bersama kakak dengan cuti selama seminggu.



Kita sekadar merancang, dan bila Tuhan mahu takdirkan sebegini, saya tak mampu berbuat apa. Ketika berjumpa majikan saya, berbual tentang hal cuti seminggu itu, saya diberitahu bahawa cuti kali ini cukup untuk 2hari sahaja. Terkedu saya sebentar. Dalam hati saya sudah ada kelat berkampung.



Sebenarnya saya malu untuk minta cuti 4hari memandangkan selama ini Bos memang pemurah serta fleksibel. Selalunya apabila ada urusan terutamanya peperiksaan atau temuduga, mudah sahaja Bos beri cuti. Malah, 4hari sangat lama berbanding selama ini sekadar 2hari sekali ambil cuti. Saya bersyukur sekali. Cuma masalahnya, macam mana nak balik sama dengan kakak?



Jadi, hari itu juga saya mesej kakak bertanya tentang isu ini. Awalnya kakak suruh saya cuti tanpa gaji atau tak pergi saja kerja waktu itu, tak dapat gaji pun tak mengapa katanya, asal dapat pulang. Masalahnya, saya berstatus PKS, terikat dengan kontrak. Saya boleh mengmbil cuti mengikut keizinan majikan saya dan selama ini pun cuti saya masih bergaji. Jadi, saya kekal cuti sekadar 2hari.



Kemudiannya, bila saya susun semula jadual, mungkin saya terpaksa balik atau pulang semula dengan bas sahaja. Dan ini, tidak menjadi masalah bagi saya. Apa yang menjadi masalah sekarang, apabila mengenangkan perjalanan ke tempat kerja. Saya selalunya bersama-sama kakak menaiki keretanya. Kali ini, mungkin perlu cari alternatif lain. Senyap suara hati saya kali ini.



Malamnya, kakak menelefon Mak. Lama berbual, akhirnya kakak menyatakan masalah saya pada Mak. Yang terkesan pada hati saya apabila kakak tiba-tiba berkata:


"Entahlah dia. Suruh ambil cuti tak nak"
Dengar leter kakak, saya segera menyampuk marah sedikit dengan kakak. Saya bimbang Mak ambil hati. Kakak berdalih sedikit sebanyak, menolak tuduhan dibuatnya namun masih berdiri dalam pandangannya. Dalam tegur menegur itu, akhirnya kakak matikan perhubungan. Tegang sekejap.
Kemudian saya mencelah:
"Janganlah cakap macam tu. Bukan tak nak ambil cuti tapi dah Bos bagi banyak tu saja"
"Cuti tak bergaji sajalah"
"Mana ada istilah tu untuk PKS. Bukan upah kerja."
Diam.
"Kalau Mak terasa hati macam mana? Nanti dia ingat aku saja tak nak balik...."
Sebelum tidur, lama saya bermenung dan berfikir. Di satu sudut saya salahkan diri sendiri. Harap ada jalan lebih mudah untuk saya lalui. Apa yang lebih saya risaukan, satu-satunya harapan saya ke pejabat nanti adalah melalui teman baik saya, Fizry yang belum tentu dapat membantu saya. Bimbang ada hal pula yang melintang. Kalau menjadi pun, mungkin saya akan cuti sama hari dengannya, yang mana mungkin sebabkan saya tak dapat beraya di desa kali ini.
Saya redha. Saya tak kisah tidak balik selagi Mak dan keluarga faham. Cuma masalah yang paling besar, perjalanan saya ke pejabat memandangkan kakak bakal bawa pulang kereta. Bukan ada pengangkutan awam buat saya ke pejabat. Harap bakal ada jalan yang lebih baik buat saya.
Saya salahkan diri saya. Itu dan ini. Pun bukan membawa maksud yang baik di sini. Semoga Tuhan permudahkan jalan buat saya. Dan harap Mak tak berkecil hati..


::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"