viewers

Monday, November 30, 2009

ANGGAPANMU

Anggapan kita, itulah yang kita suka dengar.

Sebelum memulakan lembaran kali ini, saya suka menyentuh beberapa perkara dahulu memandangkan terlalu banyak perkara yang saya kumpulkan sejak minggu lepas.Justify Full
Siapa sangka, seminggu lebih ini terlalu banyak insiden yang tertimpa. Termasuk yang baik-baik juga.

Baiklah, saya mulakan dengan kekesalan saya terhadap pasukan gergasi England, Liverpool. Saya sangat kecewa dengan prestasi mereka meskipun perlawanan akhir mereka melawan Debrecen membuahkan kemenangan 1-0.
Namun hakikatnya, mereka telah pun menempah tiket selaku penonton berbanding pemain yang sepatutnya. Lepaskan dahulu kekecewaan ini. Biar kita cepat beralih kepada cerita seterusnya.

Sedikit catatan harian saya. Bagi yang sudah khatam membaca kisah penganugerahan saya pada entry yang lepas, mungkin ada sedikit tertanya-tanya tentang keputusan temuduga saya. Barangkali, adalah kan?
Apa yang saya boleh kongsikan, pengalaman tersebut begitu berharga meskipun persediaan bagi saya tersekat dek masa yang singkat. Sejujurnya, saya bersyukur Alhamdulillah dengan persembahan saya. Segalanya baik dan bagi pengalaman pertama, saya mampu berinteraksi cukup baik dan selesa bersama penemuduga sekalian. Mereka juga banyak bertanya dan memberi respon jika dibandingkan apa yang calon lain alami. Alhamdulillah.
Keluar daripada tempat temuduga tersebut, hujan yang masih sendu menangis bagai rahmat buat saya. Ayah menelefon saudara yang rapat dengan PPD Besut bercerita tentang perjalanan kami hari itu. Sedar dia boleh membantu, setakat yang mampu, dia menelefon rakannya bertanyakan prestasi saya.
Mungkin nampak tidak begitu adil bagi anda yang membaca, namun apa yang saya persembahkan ialah sebuah keyakinan yang berbalut pengorbanan yang tinggi. Apa yang mungkin menyebelahi saya ialah saya beroleh keputusan yang lebih awal daripada calon lain. Saya maklum bahawa Mac merupakan masa kami akan dipanggil untuk temuduga kedua. Baiknya, saya telah disahkan berjaya di tahap ini. Alhamdulillah tak terkira. Masih ada yang kedua. Mudah-mudahan yang terbaik untuk saya sudah Dia sediakan.
Niat saya cuma satu, ibu bapa didahulukan, kehidupan diutamakan. Allah itu ada.

Oh ya, itu masih muqadimmah. Ini sebermulanya intipati entry saya pada kali ini. Politikus jadi sentuhan. Mungkin banyak yang kita dengar dan baca di dada-dada akhbar dan kaca TV berkenaan politikus negara. Apa yang saya mahu anda fokuskan adalah asas berita-berita ini ditulis atau dilaporkan. Mari kita mulakan.
Ilhamnya dikurniakan Tuhan ketika saya dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa menjemput kakak pulang daripada Kuala Lumpur. Saya terpandang satu papan tanda bergambar Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan beberapa tokoh politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada papan tanda tersebut tertulis perkataan "Bertani itu Ibadah".
Saya cuba meneliti maksud kata-kata itu dan cuba menyelongkar akal memori saya pada ayat yang seumpamanya pernah saya dengar. "Pertanian itu Perniagaan". Pernah terjumpa di mana-mana?
Selaku individu yang masih neutral dan seimbang, saya mencari pendekatan kedua-dua parti dalam menggalakkan rakyat menyokong industri pertanian negara. Liberalisme, modenisasi dan pengkomersilan menjadi teras dalam kata-kata seruan Parti Kerajaan. Tepat dengan fokus mereka yang mahu rakyat sekaliannya menggembleng tenaga memajukan industri pertanian. Plain and directive.
Sebaliknya apabila saya meneliti dan mendalami maksud dan ertikata slogan oleh PAS, saya terfokus pada dasar Islamisasi dan bergerak lebih rapat dan personal kepada kehidupan rakyat. Bagi saya yang hidup pada zaman millenium ini, kata-kata begitu kurang efektif memandangkan tiada nilai komersil dan jaminan pulangan yang berharga. Parti Kerajaan contohnya, menekankan persamaan petanian itu dengan satu bentuk pelaburan yang membuahkan pulangan kewangan yang semestinya sangat-sangat diperlukan pada era ini.
Apabila akal ini menggali lebih dalam maksud "Bertani itu Ibadah", saya tertumpu pula pada penggunaan perkataan "Pertanian" dan "Bertani" yang jelas ada bezanya antara kedua parti. Bagai ada anggapan yang lahir daripada benak saya, Pertanian menunjukkan kata nama yang begitu umum dalam menunjukkan segala yang berpautan dengan aktiviti bertani, sedangkan bertani begitu khusus menjelaskan mereka yang menjalankan aktiviti itu sendiri.
Baiknya pula, "ibadah" yang digunakan PAS selain menunjukkan rapatnya mereka dalam memujuk rakyat kembali melihat segala aktiviti itu adalah nawaitu kepada Allah, mereka menggunakan perkataan yang jelas tiada unsur materialistik dan "kebajikan" semata-mata kepada Allah serta menekankan kepada anggota masyarakat bahawa aktiviti mereka ini akan mendapat berkat daripada Allah tanpa mengira sebaik mana mereka perolehi daripada hasil aktiviti itu.
Mudahnya saya katakan, bagi mereka yang berfikiran telus, dalam dan konservatif, menjalankan aktiviti bertani itu ialah ibadah yang dimuliakan Allah, lalu mereka terpanggil untuk mengerjakan ibadah itu dengan berserah segala-galanya kepada Allah serta dengan sebaik-baik yang termampu. Dan apabila beroleh baik atau pun tidak hasil aktiviti mereka, mereka yang berpegang pada kata-kata itu akan melihat terus bahawa itulah kurnian Tuhan. Sikit atau banyak hasilnya, mereka bersyukur dengan pemberian Ilahi serta percaya dengan hikmah dan ketentuan Tuhan buat mereka.
Bagi mereka yang punya pemikiran sedikit berbaur kebendaan, slogan "Pertanian itu Perniagaan" mungkin lebih efektif. Pun begitu, bagi saya, pencarian yang lebih tajam dan dalam memungkinkan kita sedar bahawa istilah "perniagaan" itu bukanlah bersifat material semata-mata, sebaliknya masih dalam ruang lingkup ibadah. Bezanya ianya lebih terarah dan tertumpu, agar keberkesanannya terletak pada era ini. Jika anda faham segala maksud saya.
Selesai hujah saya yang berbelit-belit ini, mungkin antara anda yang mula membuat anggapan apa yang terlintas di fikiran saya. Baik anda setuju atau tidak, akal anda mulalah berhujah sendiri dan membangkang isi saya.

Sedar ataupun tidak, anda terleka pada tajuk sebenar entry ini apabila disogok beberapa kisah yang ada antaranya lari begitu jauh daripada jalan topik kita. Baca semula entry ini serta yang sebelumnya (jika perlu) dan perhatikan berapa banyak perkataan "mungkin" saya telah gunakan.
Seperti anda, saya dan mungkin juga pelapor-pelapor dalam kalangan media di luar sana sebenarnya menyiasat, meneliti, mengulas dan melaporkan sesuatu isu berdasarkan anggapan mereka atau "ketua" mereka semata. Apa yang yang saya gariskan di sini bukanlah apa yang mereka laporkan salah atau pun tidak beretika.
Kerana ada antara laporan isu tersebut masih elok dibaca dan didengari. Bezanya, anggapan itu mungkin berunsur fitnah ataupun tipu muslihat. Fahamkan di sini.
Umpamanya, apabila seseorang itu mula tinggal berjauhan dengan isterinya, maka kita mula memaksa akal kita membuat anggapan bahawa rumah tangga mereka kini dilanda musibah. Ada salah faham atau pertelingkahan yang muncul dan membawa kepada penceraian mereka.
Lalu kita mula menyiasat pada asas ini, dan setiap maklumat yang kita perolehi, awalnya kita masukkan sebaik mungkin supaya sama pada jalan cerita yang kita rekakan. Jika punya persamaan, kita ulaskan pula supaya lebih terang bahawa mereka sedang bergaduhan dan berceraian. Lebih buruk, apabila pembaca yang membaca kisah ini mentafsirkan sesuatu yang lebih buruk.
Sama seperti konsep "Telefon Buruk" yang mungkin anda sudah ketahui dalam program-program berunsur motivasi, anggapan ini memungkinkan kita menghasilkan sebuah kisah yang besar fitnahnya. Apabila yang kita dengar menjadi lain, apa yang kita ceritakan semula mungkin menjadi lebih lain di telinga orang lain.
Natijahnya, anggapan-anggapan yang sudah ada hujung ceritanya membawa unsur-unsur penganggapan itu dalam cerita yang kita laporkan. Musababnya, kerana apa yang kita anggapkan adalah hakikat bagaimana kita inginkan. Apa yang kita suka dengar. Baik yang tertulis, baiklah cerminan akal kita. Buruk yang tergambar, begitulah juga cara kita berfikir. Jadi, fikir-fikirkanlah.

Tuntasnya, segala cerita yang kita dengari atau kita baca, perlu diselitkan sedikit rasa timbang rasa dan ruang agar kita sedia menerimanya dalam pelbagai bentuk. Sentiasa bersedia mengubah cerita tersebut dalam akal kita. Jangan sampaikan sebegitu tetapi luahkan dalam bentuk yang seimbang dan telus. Apa yang kita dengari kita jelaskan kebenarannya sahaja. Manakala apa yang kita fikirkan, kita terangkan sebagai anggapan kita sahaja.
Baik buruk di tanganNya jua.


Terkenang lagu Anggapanmu oleh Ziana Zain.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"