viewers

Sunday, December 13, 2009

DRAMA YANG MEMANGUNG IDOLA KECIL

Saya merupakan antara peminat IDOLA KECIL 02 yang kini sudah 7 episod ditayangkan di TV9. Melihat si cilik berdansa dan mengalun suara mereka di pentas, saya tidak menjangkakan sesempurna Datuk Siti Nurhaliza mahupun Jamal Abdillah. Namun masing-masing jelas menonjolkan keunikan dan kemampuan masing-masing dalam bersaing tempat merebut gelaran Idola Kecil 02.

Saya punyai pilihan tersendiri apabila adik-adik kecil ini melontar suara mengiring irama lagu yang berkumandang. Tampil matang dan berkarakter, Dayana membawa pentas tempatnya berdiri seolah-olah dimiliki artis terkenal tanah air. Kebijaksanaannya bermain dengan nada suara serta sentuhan seni dalam lagunya begitu menambat hati. Lihat sahaja lagu Ayat-ayat Cinta dan Ku Tak Percaya Cinta yang pernah disampaikannya, begitu pesona aura seumpama penyanyi terkenal yang meliputi pentasnya.

Sama seperti Dayana, peserta rock chick Ain juga menunjukkan kematangan dan kehebatan menghibur penonton seperti profesional. Lagaknya tidak dibuat-buat serta tidak pula diberika terlebih-lebih. Tona suara dan alunannya begitu kena sekali dengan persembahan beliau apabila berdendang di pentas.

Keunikan vokal serta tona Fienaz merupakan aset terpenting saya menonton. Puteri daripada Selangor yang memiliki raut wajah cantik molek ini mempunyai bakat yang paling cerah untuk digilap. Suka atau tidak, tona suara adalah harta paling berharga setiap penyanyi bagi suaranya sering didengar merdu dan lunak. Halwa telinga yang cukup sempurna bila diasah dengan teknik dan persembahan yang baik. Sayangnya, selepas menonton episod pertama yang mana saya begitu terpesona dengan alunan "Dan Sebenarnya" Fienaz, saya bagai tercari-cari ke mana hilangnya kekuatan dan ketajaman vokal unik beliau dalam konsert yang seterus-seterusnya. Sama ada lagu yang dipilih tidak tepat atau ilmu yang ada tidak dipadatkan, entahlah. Biarpun begitu, saya percaya Cikgu Dally selaku guru vokal telah penuh menyumbang komitmen dan berkongsi ilmu.

Minggu ini akhirnya penyudah kepada ketekunan saya menonton TV9 saban minggu. Fienaz diundi keluar oleh juri setelah tujuh episod bersama Idola Kecil. Kecewa saya katakan apabila komen juri menunjukkan nilai-nilai positif selain Atilia sedikit mengulang semula nasihat agar suara Fienaz dijaga daripada tergugat dek kegembiraan aktiviti petang. Jika diteliti semula, ayat "lagu ini tidak mencabar" serta "biasa sahaja" seolah-olah memukul Fienaz pada malam itu apabila telah diumumkan tersingkit daripada IK02.

Ketika hati saya bernada sedih dan kecewa, ketabahan Fienaz menjadi paksi yang kuat sekali membuktikan kematangannya. Sesudah Sam yang merelakan diri tersingkir awal gara-gara bimbang rakan-rakannya terkeluar dahulu, Fienaz pula menjadi caturan kali ini. Bermula drama air mata hasil kemudian Aliff Satar, Fienaz mula menampakkan rasa cuaknya apabila namanya dipanggil. Saat Arill dihantar semula pulang ke barisan, mahupun ketika Jiha berulang-ulang kali menyatakan enggan memegang cek yang harus diberikan kepada yang tersingkir, Fienaz yang tinggal bersendiri dan begitu rapat dengan Aliff sudah jelas riak tangisnya.

Garau suaranya begitu bulat tanda gementarnya. Dan apabila namanya dipaparkan ke kamera, sementelah sebutan "Fienaz" oleh Jiha, Fienaz sudahpun tabah mengumpulkan kekuatan menerima dengan redha keputusan tersebut. Riak wajah dan suaranya yang begitu tenang barangkali tidak menampakkan hakikat hatinya yang dirundum kecewa berpisah daripada rakan-rakan sertalah lagi gagal meneruskan perjuangannya. "Takpe" dan "Sudahlah" kerap membasahi bibirnya tika menenangkan rakan-rakan yang sedang hujan air mata. Malah, ketika lagu nyanyian terakhirnya dimainkan semula, Fienaz sempat menegur lembut sahabat karibnya, Dayana agar meneruskan duet mereka. Dayana yang menghamburkan air mata akhirnya berpadu bersama-sama teman lain menyampaikan lagu terakhir buat Fienaz. Selamat tinggal Fienaz.

Terimalah, Bila Aku Sudah Tiada Fienaz...


No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"