viewers

Monday, December 21, 2009

JOURNEY OF LIFE: SYARAT MENJADI SEORANG SAHABAT

Saya bakal catatkan sebanyak mungkin perasaan saya dalam entry kali ini. Lebih lama saya lalui hari-hari, semakin banyak terpendam cerita yang mahu saya kongsikan. Bagi yang mungkin sudah letih membaca, entry kali ini mungkin bukan pilihan terbaik untuk dibaca kerna saya bimbang ia bakal memejamkan mata anda yang sudah sedia letih. Namun, bagi yang sudi meneliti ruang lingkup hidup saya, saya kira, inilah antara entry yang harus anda baca dan hayati sebaik-baiknya sehingga ke penghabisannya.

Saya mulakan misi saya menjejak kerjaya bagi memastikan kemandirian hidup saya dan keluarga. Di tahap ini, saya mahu anda semua faham dan mengerti bahwa saya bukan dalam kalangan manusia berada dan mudah membukitkan duit. Jadi, rentas kerjaya diselit pengorbanan dan kerendahan maruah diri yang tak dapat saya bayangkan. Saya jelas malas bercerita lebih, namun kisahnya, desakan jiran dan saudara yang kononnya pandai membaca hidup saya telah memaksa emak dan abah menyeru saya ke bandar. Kuala Lumpur lubuk rezeki. Maka, berhempas pulaslah saya berlari ke KL tanpa rasa suka dalam hati bagi mencari pekerjaan.

Dengan anggapan dan 'tiket' lisan rakan-rakan yang sudah sedia menetap di KL, saya tebalkan muka menumpang tinggal bersama mereka dalam penggal saya mencari kerja ini. Gaji yang sedikit saya simpan ketika kerja di kampung saya jadikan alas hidup di KL. Saya tekankan di sini bahawa gaji saya memang tidak cukup menampung hidup di KL. Atas ihsan teman-teman, saya menetap secara percuma. Hanya tinggal makan dan pengangkutan yang saya perlu biaya. Malah, lebih merintihkan jiwa saya adalah keadaan saya yang tidak punya pengangkutan dan bergantung sepenuuhnya kepada teman-teman yang punya kelebihan untuk bergerak makan, ke kedai serta mencari kerja.

Saya akui kelemahan saya ini yang bagainya pengemis yang hina dan dina diludah orang sekeliling. Saya juga berterima kasih sebanyak-banyaknya pada mereka yang begitu baik. Cuma, sebagai manusia yang bertanda teman, say juga punya maruah apabila tidak putus-putus saya direndah-rendahkan. Mungkin umumnya tak sesiapa peduli dan sedar, namun bagi empunya badan, rungutan bertali arus mengungkit perihal duit dan kebaziran mereka seolah-olah hanya saya saja yang menjadi puncanya mengguriskan hati kecil saya sedalamnya.

Kecil hati saya, saya pendamkan agar tak nampak. Tebalkan muka dan berpeluk tubuh. Kian disepikan, watak saya daripada kawan bagai berubah haluan. Meski letaknya sebagai kawan itu diakui, namun saya tercari-cari kebaikan teman saya yang kini di'double standard'kan untuk saya. Terkadangnya, saya berasa begitu kesit dan terpencil sekali walaupun di tengah ramai. Saya kerap memarahi diri akan perasaan ini yang lahir daripada perbuatan dan cara saya sendiri, namun hakikat tempat saya tak lebih daripada keterpaksaan dan kemestian yang membebankan.

Kembara saya menyusur satu impian melawat kota Melaka berada di hadapan muka. Dalam hati saya lebat keraguan seperti mana perjalanan ke KL membadai. Dengan ongkos yang begitu terhad, saya kuatkan diri mengikut teman yang pastinya menolak perkataan tidak daripada saya. Perjalanannya bagai direstu Tuhan apabila saya dilimpahi rasa riang dan gembira. Sehinggalah gerimis rahmat berhenti seketika. Teman-teman punyai agenda yang tak dapat saya penuhi. Jujur saya katakan, duit saya idak seberapa apatah lagi RM40 digunakan sekaligus sedang dengan nilai serupa saya boleh gunakan untuk makan dan ke tempat lain.

Sekali lagi saya dihambat rasa bersalah. Saya gagahkan diri menolak tegas. Saya tidak mahu dibayar atau berhutang untuk itu. Saya punya maruah yang saya kira sudah banyak tercalar dek terhutang budi mereka. Dan untuk satu pengorbanan yang saya tak perlukan, saya keras menolak. Mereka pasrah dengan marah. Biarlah semanis mana mereka berlembut akhirnya, tapi saya bukan bodoh untuk tidak memahami kebencian yang bersarang di hati mereka. Apa saja yang berlaku akhirnya bertukar tragis dalam kamar hati saya. Satu dan lebih titik hitam telah terlukis kekal. Sekali lagi setelah berkali-kali terjadi.

Saya masih ingat apabila ada teman-teman mengajak ke Anugerah Bintang Popular, ke Genting Highlands, ke mana-mana saja tempat berseronok, tinggalnya saya tidak punya wang untuk turut serta. Sama ada mereka pergi dengan saya tidak bersekali, atau pun mereka tinggal dengan benci membukit, tiada beza antara keduanya. Acap kali, saya percaya alasan saya tidak berminat serta tak perlu mengajak saya bersama terlinta di benak dan lisan teman-teman saya.

Hakikatnya saya sedar tempat saya. Sebaik mana pun setiap teman saya, saya dan mungkin mereka juga takkan sanggup membiarkan wang dikongsi untuk saya apatah lagi melibatkan jumlah yang banyak. Saya perlu jauhkan diri daripada mereka. Sebagai manusia, disisih teman hanya kerana sesuatu perkara yang tidak dapat lakukan adalah keperitan yang tak mungkin dapat diubati. Dan dalam masa yang sama mempunyai seseorang yang mengganggu impian dan peuang kita bukan juga sesuatu yang boleh diterima hati.

Jadi kini, saya mengerti. Sebagai penganggur, anak orang kampung yang papa kedana, yang buruk fizikalnya, yang dihambat ketakutan hitam silamnya, tidak layak berkawan dan bersahabat yang punya wang, yang punya kerjaya, yang punya kereta, yang punya rupa, yang punya kekuatan dan kebijaksanaan, yang punya glamor dan humor, yang punya segala-galanya tanpa saya miliki. Sebetulnya tidak semua perkara dapat saya ubah. Saya akui dan betul-betul mengerti hayat saya yang begitu bergalas di pundak orang lain. Kelemahan saya yang dicanang dan dilatakan.

Seorang lelaki kerdil seperti saya, tidak punya syarat menjadi sahabat kepada teman-teman saya yang begitu sempurna ini. Seorang sahabat seperti saya jelas sekali tidak sanggup mendengar sahabatnya membandingkan dia dengan yang lain dan mengutuk terus kewujudannya dalam hidup mereka seolah-olah kehinaan yang tidak dapat dinyatakan.

Saya ingin bersahabat sebaiknya dengan sesiapa yang sudi tanpa ada syarat untuk saya penuhi kecuali keikhlasan dan ketelusan--adakah seseorang bagi saya untuk itu?

Wednesday, December 16, 2009

MACAM-MACAM KAWAN

KADANG-KADANG kita rasa bersalah apabila dengar kawan2 kita merungut pasal masalah depa. Memanglah rasa bersalah sebab kita tak mampu nak tolong mereka. Yeala, sebagai kawan memang patutlah kita tolong kawan yang duk ditimpa masalah. Lagilah kalau masalah tu ada sangkut pautnya dengan kita. Bertambah banyaklah rasa bersalah menebal dalam diri kita. Maklum sahaja, kita ni mengemis di rantau orang. Orang dah cukup baik kita menumpang bertani di sawah mereka, takkan lah padi mereka tak jadi kita tak boleh tolong walaupun hakikatnya padi kita cuma segenggam..

ADA pula kalau kita teringat, masa kita ada kesempatan rezeki daripada Tuhan, maka mulalah kita membahagi-bahagikan sikit supaya kawan kita ini dapat rasa. Sayangnya, mereka menolak. Takut ada yang dengki, bimbang menyusahkan diri sendirilah, tak kurang juga takut kita santau masuk ubat guna-guna. Kita pelawa ke rumah kita bila kita selalu merempat di rumah mereka kononnya nak balas budi. Mereka nahas kita berkira. Kata tak payah. Anggap kita berlebihan dan segalanya alasan ditabur.

TUT..tut..suatu hari kita dihimpit kesempitan. Kawan ni juga sedang lemas. Selemas-lemas dia kita dan jadi nazak. Lalu sepatah katanya susah, sejuta kali kesusahan itu menghuni banak kita. Kita buat-buat diam. Dalam hati kita menangis kuat. Berdoalah kita bertanya pada Yang Maha Mengetahui: "Kenapa dia sempit waktu aku sempit. Aku senang dia senang. Bila dia masih senang, aku mula menyempit. Kenapa aku sempit?"

AGAKnya Allah mambalas:
"Aku Tuhan dan Aku Yang Maha Mengetahui. Maka setiap yang aku ciptakan terdiri dan dibangunkan di atas tempatnya yang sepatutnya"

Renung-renungkan lah KAWAN-kawanku sekalian.

p/s: Aku suka seseorang biarpun dia tak sukakan aku. Aku akan tetap sukakan kawan aku biarpun dia tak suka kat aku.

Sunday, December 13, 2009

DRAMA YANG MEMANGUNG IDOLA KECIL

Saya merupakan antara peminat IDOLA KECIL 02 yang kini sudah 7 episod ditayangkan di TV9. Melihat si cilik berdansa dan mengalun suara mereka di pentas, saya tidak menjangkakan sesempurna Datuk Siti Nurhaliza mahupun Jamal Abdillah. Namun masing-masing jelas menonjolkan keunikan dan kemampuan masing-masing dalam bersaing tempat merebut gelaran Idola Kecil 02.

Saya punyai pilihan tersendiri apabila adik-adik kecil ini melontar suara mengiring irama lagu yang berkumandang. Tampil matang dan berkarakter, Dayana membawa pentas tempatnya berdiri seolah-olah dimiliki artis terkenal tanah air. Kebijaksanaannya bermain dengan nada suara serta sentuhan seni dalam lagunya begitu menambat hati. Lihat sahaja lagu Ayat-ayat Cinta dan Ku Tak Percaya Cinta yang pernah disampaikannya, begitu pesona aura seumpama penyanyi terkenal yang meliputi pentasnya.

Sama seperti Dayana, peserta rock chick Ain juga menunjukkan kematangan dan kehebatan menghibur penonton seperti profesional. Lagaknya tidak dibuat-buat serta tidak pula diberika terlebih-lebih. Tona suara dan alunannya begitu kena sekali dengan persembahan beliau apabila berdendang di pentas.

Keunikan vokal serta tona Fienaz merupakan aset terpenting saya menonton. Puteri daripada Selangor yang memiliki raut wajah cantik molek ini mempunyai bakat yang paling cerah untuk digilap. Suka atau tidak, tona suara adalah harta paling berharga setiap penyanyi bagi suaranya sering didengar merdu dan lunak. Halwa telinga yang cukup sempurna bila diasah dengan teknik dan persembahan yang baik. Sayangnya, selepas menonton episod pertama yang mana saya begitu terpesona dengan alunan "Dan Sebenarnya" Fienaz, saya bagai tercari-cari ke mana hilangnya kekuatan dan ketajaman vokal unik beliau dalam konsert yang seterus-seterusnya. Sama ada lagu yang dipilih tidak tepat atau ilmu yang ada tidak dipadatkan, entahlah. Biarpun begitu, saya percaya Cikgu Dally selaku guru vokal telah penuh menyumbang komitmen dan berkongsi ilmu.

Minggu ini akhirnya penyudah kepada ketekunan saya menonton TV9 saban minggu. Fienaz diundi keluar oleh juri setelah tujuh episod bersama Idola Kecil. Kecewa saya katakan apabila komen juri menunjukkan nilai-nilai positif selain Atilia sedikit mengulang semula nasihat agar suara Fienaz dijaga daripada tergugat dek kegembiraan aktiviti petang. Jika diteliti semula, ayat "lagu ini tidak mencabar" serta "biasa sahaja" seolah-olah memukul Fienaz pada malam itu apabila telah diumumkan tersingkit daripada IK02.

Ketika hati saya bernada sedih dan kecewa, ketabahan Fienaz menjadi paksi yang kuat sekali membuktikan kematangannya. Sesudah Sam yang merelakan diri tersingkir awal gara-gara bimbang rakan-rakannya terkeluar dahulu, Fienaz pula menjadi caturan kali ini. Bermula drama air mata hasil kemudian Aliff Satar, Fienaz mula menampakkan rasa cuaknya apabila namanya dipanggil. Saat Arill dihantar semula pulang ke barisan, mahupun ketika Jiha berulang-ulang kali menyatakan enggan memegang cek yang harus diberikan kepada yang tersingkir, Fienaz yang tinggal bersendiri dan begitu rapat dengan Aliff sudah jelas riak tangisnya.

Garau suaranya begitu bulat tanda gementarnya. Dan apabila namanya dipaparkan ke kamera, sementelah sebutan "Fienaz" oleh Jiha, Fienaz sudahpun tabah mengumpulkan kekuatan menerima dengan redha keputusan tersebut. Riak wajah dan suaranya yang begitu tenang barangkali tidak menampakkan hakikat hatinya yang dirundum kecewa berpisah daripada rakan-rakan sertalah lagi gagal meneruskan perjuangannya. "Takpe" dan "Sudahlah" kerap membasahi bibirnya tika menenangkan rakan-rakan yang sedang hujan air mata. Malah, ketika lagu nyanyian terakhirnya dimainkan semula, Fienaz sempat menegur lembut sahabat karibnya, Dayana agar meneruskan duet mereka. Dayana yang menghamburkan air mata akhirnya berpadu bersama-sama teman lain menyampaikan lagu terakhir buat Fienaz. Selamat tinggal Fienaz.

Terimalah, Bila Aku Sudah Tiada Fienaz...


::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"