viewers

Monday, November 30, 2009

ANGGAPANMU

Anggapan kita, itulah yang kita suka dengar.

Sebelum memulakan lembaran kali ini, saya suka menyentuh beberapa perkara dahulu memandangkan terlalu banyak perkara yang saya kumpulkan sejak minggu lepas.Justify Full
Siapa sangka, seminggu lebih ini terlalu banyak insiden yang tertimpa. Termasuk yang baik-baik juga.

Baiklah, saya mulakan dengan kekesalan saya terhadap pasukan gergasi England, Liverpool. Saya sangat kecewa dengan prestasi mereka meskipun perlawanan akhir mereka melawan Debrecen membuahkan kemenangan 1-0.
Namun hakikatnya, mereka telah pun menempah tiket selaku penonton berbanding pemain yang sepatutnya. Lepaskan dahulu kekecewaan ini. Biar kita cepat beralih kepada cerita seterusnya.

Sedikit catatan harian saya. Bagi yang sudah khatam membaca kisah penganugerahan saya pada entry yang lepas, mungkin ada sedikit tertanya-tanya tentang keputusan temuduga saya. Barangkali, adalah kan?
Apa yang saya boleh kongsikan, pengalaman tersebut begitu berharga meskipun persediaan bagi saya tersekat dek masa yang singkat. Sejujurnya, saya bersyukur Alhamdulillah dengan persembahan saya. Segalanya baik dan bagi pengalaman pertama, saya mampu berinteraksi cukup baik dan selesa bersama penemuduga sekalian. Mereka juga banyak bertanya dan memberi respon jika dibandingkan apa yang calon lain alami. Alhamdulillah.
Keluar daripada tempat temuduga tersebut, hujan yang masih sendu menangis bagai rahmat buat saya. Ayah menelefon saudara yang rapat dengan PPD Besut bercerita tentang perjalanan kami hari itu. Sedar dia boleh membantu, setakat yang mampu, dia menelefon rakannya bertanyakan prestasi saya.
Mungkin nampak tidak begitu adil bagi anda yang membaca, namun apa yang saya persembahkan ialah sebuah keyakinan yang berbalut pengorbanan yang tinggi. Apa yang mungkin menyebelahi saya ialah saya beroleh keputusan yang lebih awal daripada calon lain. Saya maklum bahawa Mac merupakan masa kami akan dipanggil untuk temuduga kedua. Baiknya, saya telah disahkan berjaya di tahap ini. Alhamdulillah tak terkira. Masih ada yang kedua. Mudah-mudahan yang terbaik untuk saya sudah Dia sediakan.
Niat saya cuma satu, ibu bapa didahulukan, kehidupan diutamakan. Allah itu ada.

Oh ya, itu masih muqadimmah. Ini sebermulanya intipati entry saya pada kali ini. Politikus jadi sentuhan. Mungkin banyak yang kita dengar dan baca di dada-dada akhbar dan kaca TV berkenaan politikus negara. Apa yang saya mahu anda fokuskan adalah asas berita-berita ini ditulis atau dilaporkan. Mari kita mulakan.
Ilhamnya dikurniakan Tuhan ketika saya dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa menjemput kakak pulang daripada Kuala Lumpur. Saya terpandang satu papan tanda bergambar Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan beberapa tokoh politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada papan tanda tersebut tertulis perkataan "Bertani itu Ibadah".
Saya cuba meneliti maksud kata-kata itu dan cuba menyelongkar akal memori saya pada ayat yang seumpamanya pernah saya dengar. "Pertanian itu Perniagaan". Pernah terjumpa di mana-mana?
Selaku individu yang masih neutral dan seimbang, saya mencari pendekatan kedua-dua parti dalam menggalakkan rakyat menyokong industri pertanian negara. Liberalisme, modenisasi dan pengkomersilan menjadi teras dalam kata-kata seruan Parti Kerajaan. Tepat dengan fokus mereka yang mahu rakyat sekaliannya menggembleng tenaga memajukan industri pertanian. Plain and directive.
Sebaliknya apabila saya meneliti dan mendalami maksud dan ertikata slogan oleh PAS, saya terfokus pada dasar Islamisasi dan bergerak lebih rapat dan personal kepada kehidupan rakyat. Bagi saya yang hidup pada zaman millenium ini, kata-kata begitu kurang efektif memandangkan tiada nilai komersil dan jaminan pulangan yang berharga. Parti Kerajaan contohnya, menekankan persamaan petanian itu dengan satu bentuk pelaburan yang membuahkan pulangan kewangan yang semestinya sangat-sangat diperlukan pada era ini.
Apabila akal ini menggali lebih dalam maksud "Bertani itu Ibadah", saya tertumpu pula pada penggunaan perkataan "Pertanian" dan "Bertani" yang jelas ada bezanya antara kedua parti. Bagai ada anggapan yang lahir daripada benak saya, Pertanian menunjukkan kata nama yang begitu umum dalam menunjukkan segala yang berpautan dengan aktiviti bertani, sedangkan bertani begitu khusus menjelaskan mereka yang menjalankan aktiviti itu sendiri.
Baiknya pula, "ibadah" yang digunakan PAS selain menunjukkan rapatnya mereka dalam memujuk rakyat kembali melihat segala aktiviti itu adalah nawaitu kepada Allah, mereka menggunakan perkataan yang jelas tiada unsur materialistik dan "kebajikan" semata-mata kepada Allah serta menekankan kepada anggota masyarakat bahawa aktiviti mereka ini akan mendapat berkat daripada Allah tanpa mengira sebaik mana mereka perolehi daripada hasil aktiviti itu.
Mudahnya saya katakan, bagi mereka yang berfikiran telus, dalam dan konservatif, menjalankan aktiviti bertani itu ialah ibadah yang dimuliakan Allah, lalu mereka terpanggil untuk mengerjakan ibadah itu dengan berserah segala-galanya kepada Allah serta dengan sebaik-baik yang termampu. Dan apabila beroleh baik atau pun tidak hasil aktiviti mereka, mereka yang berpegang pada kata-kata itu akan melihat terus bahawa itulah kurnian Tuhan. Sikit atau banyak hasilnya, mereka bersyukur dengan pemberian Ilahi serta percaya dengan hikmah dan ketentuan Tuhan buat mereka.
Bagi mereka yang punya pemikiran sedikit berbaur kebendaan, slogan "Pertanian itu Perniagaan" mungkin lebih efektif. Pun begitu, bagi saya, pencarian yang lebih tajam dan dalam memungkinkan kita sedar bahawa istilah "perniagaan" itu bukanlah bersifat material semata-mata, sebaliknya masih dalam ruang lingkup ibadah. Bezanya ianya lebih terarah dan tertumpu, agar keberkesanannya terletak pada era ini. Jika anda faham segala maksud saya.
Selesai hujah saya yang berbelit-belit ini, mungkin antara anda yang mula membuat anggapan apa yang terlintas di fikiran saya. Baik anda setuju atau tidak, akal anda mulalah berhujah sendiri dan membangkang isi saya.

Sedar ataupun tidak, anda terleka pada tajuk sebenar entry ini apabila disogok beberapa kisah yang ada antaranya lari begitu jauh daripada jalan topik kita. Baca semula entry ini serta yang sebelumnya (jika perlu) dan perhatikan berapa banyak perkataan "mungkin" saya telah gunakan.
Seperti anda, saya dan mungkin juga pelapor-pelapor dalam kalangan media di luar sana sebenarnya menyiasat, meneliti, mengulas dan melaporkan sesuatu isu berdasarkan anggapan mereka atau "ketua" mereka semata. Apa yang yang saya gariskan di sini bukanlah apa yang mereka laporkan salah atau pun tidak beretika.
Kerana ada antara laporan isu tersebut masih elok dibaca dan didengari. Bezanya, anggapan itu mungkin berunsur fitnah ataupun tipu muslihat. Fahamkan di sini.
Umpamanya, apabila seseorang itu mula tinggal berjauhan dengan isterinya, maka kita mula memaksa akal kita membuat anggapan bahawa rumah tangga mereka kini dilanda musibah. Ada salah faham atau pertelingkahan yang muncul dan membawa kepada penceraian mereka.
Lalu kita mula menyiasat pada asas ini, dan setiap maklumat yang kita perolehi, awalnya kita masukkan sebaik mungkin supaya sama pada jalan cerita yang kita rekakan. Jika punya persamaan, kita ulaskan pula supaya lebih terang bahawa mereka sedang bergaduhan dan berceraian. Lebih buruk, apabila pembaca yang membaca kisah ini mentafsirkan sesuatu yang lebih buruk.
Sama seperti konsep "Telefon Buruk" yang mungkin anda sudah ketahui dalam program-program berunsur motivasi, anggapan ini memungkinkan kita menghasilkan sebuah kisah yang besar fitnahnya. Apabila yang kita dengar menjadi lain, apa yang kita ceritakan semula mungkin menjadi lebih lain di telinga orang lain.
Natijahnya, anggapan-anggapan yang sudah ada hujung ceritanya membawa unsur-unsur penganggapan itu dalam cerita yang kita laporkan. Musababnya, kerana apa yang kita anggapkan adalah hakikat bagaimana kita inginkan. Apa yang kita suka dengar. Baik yang tertulis, baiklah cerminan akal kita. Buruk yang tergambar, begitulah juga cara kita berfikir. Jadi, fikir-fikirkanlah.

Tuntasnya, segala cerita yang kita dengari atau kita baca, perlu diselitkan sedikit rasa timbang rasa dan ruang agar kita sedia menerimanya dalam pelbagai bentuk. Sentiasa bersedia mengubah cerita tersebut dalam akal kita. Jangan sampaikan sebegitu tetapi luahkan dalam bentuk yang seimbang dan telus. Apa yang kita dengari kita jelaskan kebenarannya sahaja. Manakala apa yang kita fikirkan, kita terangkan sebagai anggapan kita sahaja.
Baik buruk di tanganNya jua.


Terkenang lagu Anggapanmu oleh Ziana Zain.

Monday, November 16, 2009

Hadiah Pertama Daripada Tuhan

Pertama sekali, sila teliti rajah berikut:


Kalau mata kurang nampak, biar saya terangkan.

Sebermula kisah, saya mengikut galakan ibu serta saudara yang sedang bertugas di MRSM agar mengisi borang permohonan sebagai Pensyarah/Guru di Kolej MARA. Hasil selidik kakak, akhirnya saya dapatlah mengisi peluang yang ada.

Menjengah masa yang ditetapkan bagi senarai permohonan yang telah diterima untuk ditemuduga akhirnya keluar. Dua saudara yang turut mengisi borang menerima khabar baik apabila kedua-duanya berjaya disenarai pendek ke temuduga micro teaching di Perak.

Nasibnya, saya bukan salah seorang yang tersenarai. Rezeki pemberian Tuhan mahu saya bersabar. Ada satu pengumuman yang tertera di laman sesawang MARA menyatakan bagi subjek Biologi, tarikh pemberitahuan adalah seminggu lebih lewat. Maka, dengan niat menenangkan hati yang rungsing serta menjaga harapan ibu yang membukit, saya sabarkan hati untuk seminggu lagi.

Seminggu kemudian, laman sesawang yang serupa saya layari lagi. Kali ini, keputusan yang sama saya perolehi. Berkali-kali nombor mykad saya, saya isikan. Sahlah saya gagal. Niat saya matikan. Harapan saya kuburkan. Impian yang ada menjadi pusara. Cukuplah. Cuba yang lain pula.

Suatu hari, telefon saya menerima panggilan yang tidak dapat saya kenalpastikan daripada siapa. Tidak sempat saya jawab. Saya menghantar mesej bertanya. Senyap. Tiada balasan saya terima.

Terkemudian hari, nombor telefon yang serupa menghantarkan mesejnya buat saya. Penting, katanya. Rujukan www.mara.com.my disertakan. Ada tarikh 18 November tertera. Ada istilah micro teaching juga diselit bersama.

Keputusannya? Telah anda jangkakan. Tuhan hantarkan hadiah ini agak lambat buat saya daripada insan lain yang menerimanya. Adalah hikmahnya itu. Biarpun profesyen ini bukan nombor satu dalam senarai impian saya, namun saya bersyukur sebesar-besarnya atas kurniaan Ilahi ini. Alhamdulillah Ya Rabbi, Ya Allah! Gembiranya tak tertanggung sehingga malamnya saya tak dapat tidur. Berusaha sedaya boleh!

Mungkin ada benarnya kata-kata mereka pada saya apabila saya ngomelkan status pengangguran saya ini:

"Biarlah Ne (Hanam). Bukan rezeki Ne lagi. Lambat cepat yah Tuhan nak beri."


Buat mereka senasib saya, berpeganglah pada kata-kata ini dan sentiasalah percaya rezeki dan kasih sayangNya.


"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"

- Al Isyrak, 21







Saturday, November 14, 2009

KOPITIAM : Konflik Hidup Sang Penglipur Lara

Hari ini lengkaplah semula gelaran Penganggur Sepenuh Masa saya. Rasminya saya bukan lagi pekerja sambAlign Centerilan di Restoren Ayam Kampung Lubuk Jong.Bukan saja-saja berhenti tapi saya ambil masa ini untuk berehat dan tenangkan ketegangan minda. Ada konflik cuba menyimpul di rantaian hidup saya ini. Aduh! Letih merasuk ruang diri.

Jujurnya, malas saya nak bercerita panjang tentang konflik ini. Cukuplah anda yang sedang membaca tinta ini tahu bahawa ianya sebuah kisah sesorang yang cuba menegur seseorang tapi tidak secara berhemah. Modus operandinya menyerang semua pihak samada punya kaitan mahupun tidak dalam hal itu serta meleret-leretkan daripada satu kisah ke kisah lain sehingga akhirnya hujahnya memakan diri.

Singkatkan cerita, kita ini sentiasa berada di tengah-tengah perkara. Maknanya, kita tak pernah sentiasa di atas ataupun sentiasa di bawah dalam segala perkara. Apabila kita terlalu lama di sesuatu kedudkan sehingga berasa begitu selesa memangku tempat, kita mungkin terlupa atas dan bawah tempat duduk kita. Kelekaan ini menyebabkan kita lupa asas berharmoni, lalai akan kemungkinan kita juga berbuat kesilapan. Lalu natijah yang menjengah ialah peluru yang sama menikam ke pedal hati kita.

Tuntasnya, kita apabila melihat sesuatu keburukan dan mencuba untuk menegurnya, baiklah kita menegur dengan penuh hemah dan berkira. Perlu ada toleransi dan timbang rasa. Jangan membabi buta kerana perkataannya sahaja sudah jelas haram. Babi-lah katakan. Jadi, mengkritik biar biajak. Ada asas dan dasar. Dalam ruang lingkup yang terbuka dan tidak berbaur kebusukan. Hati-hati menujukan sasaran. Tersalah sasar MAUT padahnya. Belajarlah daripada Puisi Melayu yang berunsur sinis dan sipi. Bukan melulu dan terang benderang. Puisi kita jika diteliti mementingkan unsur perumpamaan dan silih selindung agar mesej dan nasihat yang ditujukan tidaklah tajam dan melukakan. Gunakan ilmu yang kita ada dengan ulasan perkataan yang cermat dan halus. Kehalusan bahasa bisa menembusi lubang yang kecil dan tidak dalam menikam hati seni manusia.

Hukumnya, keikhlasan dan kejujuran perlu dilapikkan ilmu dan kehalusan berbahasa. Barulah jadi sebuah nasihat yang sempurna. Amin.

Monday, November 2, 2009

KOPITIAM : LAYAR OKTOBER PENGLIPUR LARA


Kalau ada yang masih teringat kisah sejadah berdiri beberapa minggu lepas, mungkin sudah juga menyedari cerita sebenar di sebalik kejadian tersebut. Bak pujangga bersyair, usah diterbangkan layang-layang kalau anginnya belum bertiup. Kali ini, ada beberapa kisah lain ingin saya kongsikan bersama. Baiknya ada pelbagai genre yang bergaulan. Kita mulakan kisah tragedi Oktober yang saya tonton sendiri di hadapan kedua mata yang celik ini.

Tragedi Oktober.

Malam sebelum hari kejadian, saya bermimpi sesuatu yang aneh. Bagaimana plotnya tak dapat saya jelaskan secara terperinci, namun isinya saya melihat seakan-akan dunia ini bakal kiamat. Maka, pada malam itu, saya terbangun dalam resah dan penuh rasa keinsafan. Paginya, seperti biasa saya menurut jadual harian saya ke tempat kerja di hadapan Masjid Lubuk Jong, Pasir Mas.

Hari itu cuaca terik sang Suria menghembuskan nafasnya membahang. Pada pukul 2 ke 3 dalam perkiraan saya, tiba-tiba bunyi seperti ‘pop corn’ masak kedengaran. Asap tebal berkepul-kepul dilihat keluar daripada celah landskap hutan di hadapan kedai tempat saya bekerja, di hadapan masjid kampung kami. Segenap individu terpaku memandang ke langit seolah-olah disolek asap hitam tersebut. Lama memerhati, akhirnya saya ternampak marak api daripada pangkal asap itu. Apinya menjengah ke kanopi pohon durian berdekatan tingginya. Sah, ada rumah yang dimamah api!

Majikan saya yang bersama-sama puluhan pelanggan yang sedang kaget menonton santapan api itu segera menelefon anggota bomba berdekatan. Anggota bomba yang bertugas menyatakan akan menghantar kereta bomba apabila laporan tersebut disahkan. Jadi tunggulah kami menyaksikan kelahapan api membobrok rumah kayu milik Mama Dah yang juga berniaga di restoran di hadapan rumahnya. Jauh di lubuk hati saya, ada kutukan singgah pada penguasa bomba yang masih belum tiba meski enam panggilan sebelumnya telah dibuat.

Api yang marak akhirnya reda. Rumah yang dijilat hanya tinggal arang dan abu yang berterbangan. Siren bomba membingit telinga tiba apabila tiada lagi api yang boleh mereka padamkan. Hasil siasatan mereka menemui punca kebakaran adalah disebabkan cucu kepada pemilik rumah tersebut yang bermain api sehingga terbakar rumah berkenaan. Difahamkan juga, si kecil bermain sendiri apabila ahli keluarganya yang lain sedang sibuk berniaga di hadapan rumah. Si anak kecil datang mengadu “takut api” apabila yang kecil kawan itu sudah besar menjadi lawan. Takziah.

Tahukah engkau apa itu neraka Hutamah? (Iaitu) api Allah yang bernyala-nyala.”

-surah al-Humazah; ayat 5-6

Hujung Peluang.

Masalah kerja sememangnya keutamaan saya sekarang. Apa-apapun yang saya harapkan cuma beroleh suatu pekerjaan yang mampu menampung perjalanan hidup singkat saya ini. Berusaha sudah sehabis baik. Sayangnya tiap kali peluang datang semuanya jauh daripada capaian tangan. Ketika RISDA membuka peluang, informasinya saya terima pada hari terakhir permohonan dibuka. Sekali lagi berita baik datang daripada seorang sahabat di KL, jawatan Pegawai Sains di UPM. Malangnya, sekali lagi saya dimaklumkan pada hujung permohonan. Terus memohon meskipun peluangnya bagai tertutup terus.

Hampa. Lebih lagi, musim ini berduyun-duyun saudara mara berangkat ke Tanah Suci meninggalkan Mak dan Abah yang saya kasihi ini kekal di Malaysia. Saya selalu berdoa agar saya sempat membiayai mereka ke sana. Berapapun ongkosnya. Tapi entahlah. Dengan gaji 120 seminggu hasil kerja sambilan sekarang, paling tidak saya hanya mampu meringankan beban Abah membeli barangan dapur atau sekali-sekali belikan baju dan beg tangan murah buat Mak. Teruslah berdoa.

Kemenangan Red Warriors dan Kekalahan The Reds

Bola sepak bukan kegilaan saya. Sekadar suka-suka, saya mula berjinak-jinak meminati pasukan tertentu dalam aksi liga yang tertentu. Liverpool misalannya, menjadi pasukan pertama saya gemari selepas England. Kejutan demi kejutan dipaut mereka dulu kian hambar dalam Liga Juara-juara pada musim ini. Apalah sebabnya, saya buntu. Mungkin bukan lagi pertaruhan yang baik. Sokongan saya masih pada mereka meskipun tersungkur 3-1 dek penangan Fulham. The Reds perlu mara lebih garang!

Bercerita tentang 3-1, angka sama menjulang Red Warriors ke perlawanan akhir bertemu Negeri Sembilan Sabtu nanti. Bayangkan selama 39 tahun selepas jatuh dari zaman kegemilangannya, pasukan Kelantan kini mencipta sejarah kembali berentap di perlawanan akhir. Biar apapun kata orang dan ‘kes-kes’ yang menyulam musim ini, Kelantan patut dipuji kemampuan mereka pada musim ini.

Kalah menang hujung minggu nanti bukan lagi persoalan kerana mereka telah membuktikan mereka lebih baik daripada sebelumnya. Melihat kepada kemampuan Negeri Sembilan, saya sedikit gugup bersama Kelantan. Namun, pasukan Kelantan harus bernas dan lincah pada aksi akhir nanti memandangkan mereka mungkin tidak dapat bertanding pada musim depan setelah kes-kes lepas yang menyulitkan mereka. Apa-apapun, Gomo Kelate Gomo!

Mengumpulkan syiling luar negara.

Bergiat dalam pertanian.

Terus gagah melakarkan pena di lembarannya.

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"