viewers

Monday, May 14, 2012

Hati Kecil : Di Mana CahayaNya? (Buat saudara Edward Martin Jesus)

Saya menulis ketika malam sangat larut. Di sebalik kisah Manchester United yang dilihat kecundang, serta raian Hari Ibu, mahupun singkatan semula tragedi Mei 13, 1969, saya dipaku dengan sebuah cerita yang sangat menyayat hati. Kisah yang bukan lagi pelik tatkala zaman menjadi terlalu moden. Kisah yang pernah berkali-kali terjadi, tetapi jarang sekali kita berupaya mengatasinya. Edward Martin Jesus. Itu barangkali nama barunya. Selidiki sedikit di sini: Blog Mazidul dan Blog Aliff Cullen.

Dan ambil peduli kata-kata beliau: Edward Martin Jesus.

Permulaannya, saya tidak tahu menahu sedikit pun kisah beliau. Tetapi terpanggil dengan beberapa carian, kisah beliau mula mendatangkan rasa simpati di hati saya. Pertamanya, beliau disentap dengan peristiwa yang melukakan. Merasa dikhianati dan ditinggalkan, beliau menolak fitrahnya dengan membelakangkan agama. Beliau kemudiannya mengaku menjadi penganut agama Kristian. 

Bertokok daripada situ, beliau berlari dalam langkah sadisnya, meratapi peristiwa keretakan hubungan beliau dengan kekasihnya, Nur Atiqah Aziz. Meletakkan salah pada sesuatu takdir Ilahi, beliau mati-mati menyalahkan Allah atas perpisahan itu, tanpa sedetik pun menjatuhkan silap pada bekas kekasihnya. Atiqah barangkali baginya terlalu istimewa.

Lama merangkul keperitan hidup, beliau akhirnya mengumumkan untuk membunuh diri.

...

Saya menulis untuk cuba berlaku adil. Saya juga akui, saya menyelidik terlalu cetek. Maka artikel ini memungkinkan anda melihatnya sedikit tak berdasar. Saya tidak berniat menulis nama Islamnya di sini. Mahupun menyiarkan gambarnya di sini. Atau status-status beliau yang menakutkan itu. Anda boleh melihat dan menyelidik sendiri dari pautan yang telah saya sediakan. Tuntasnya, saya mahu kita sama-sama mencari hikmah Tuhan dalam peristiwa ini.

Pernahkah kita terfikir kenapa beliau terlalu taksub menulis perihal rancangan bunuh diri di statusnya? Secara psikologi, perbuatan bunuh diri didorong oleh perasaan yang menekan. Perasaan ini biasanya menjurus kepada keadaan tanpa kawalan, dan perancangan. Maksudnya, orang yang benar-benar berniat untuk membunuh diri tidak akan peduli baju yang masih belum dibasuh atau membeli susu untuk sarapan pada keesokkan harinya. Atau pun merancang bagaimana ingin membunuh diri. Apatah lagi untuk mengumumkan kepada dunia.

Saya melihat daripada respon beliau apabila bercakap mengenai bekas kekasihnya. Walaupun beliau secara terang-terangan tidak menyalahkan kekasihnya, tetapi pada bentuk tulisannya, hakikatnya, dia hanya menyalahkan kekasihnya atas sesuatu sebab yang tidak pasti. Hakikat beliau menyatakan Atiqah seorang yang baik, sebenarnya tanda beliau begitu menyayangi bekas kekasihnya itu dan sewajarnya tidak dapat menerima perpisahan tersebut. Memilih menjadi murtad, menyalahkan Allah dan mengakui menganut agama Kristian merupakan satu cara beliau mengalih rasa ingin menyalahkan (feel to blame). Baginya, itulah perkara senang yang boleh dilakukan beliau dan mencari agama baru pula seperti mencari tempat baru untuk mengadu. Seolahnya, beliau terlalu patah hati.

Saya seorang manusia. Dan saya sendiri melihat kisah-kisah sesetengah individu yang menghadapi kisah putus kasih ini. Bukan sekadar kekasih, malahan tunang, suami atau isteri, malah keluarga sendiri kadang-kadang menolak kehadiran mereka. Lebih perit bukan?

Pengalaman saya, setiap mereka yang keputusan kasih berhadapan dengan suatu jalan yang gelap dan tanpa arah. Terasa sesat dan hilang tempat mengadu. Dan di sini jugalah, apabila kehilangan dahan untuk berpaut, sama ada sahabat baik, atau pun keluarga yang mendokong, cepatlah juga mereka tenggelam. Lagilah, apabila kepercayaan mereka kepadaNya luput dan tidak terhubung. 

Saya pernah melihat mereka menangis dan menangis berbulan lamanya tanpa henti. Segalanya seperti berjalan di atas sebatang jambatan bersusun duri dan di bawahnya jurang yang tiada berdasar. Carilah tempat untuk dipimpin. Kita wajar sedar, kasih tidak hadir dalam sebungkus perca. Kasih umpama angin yang terkadang dirasa tidak menyentuh pipi, tetapi yang pasti akan selalu ada bersama kita. Terhela dalam nafas kita. Sikit atau banyak, kencang atau sepoi, kasih itu sentiasa ada. Apatah lagi kasih itu daripadaNya. Rahmani Rahim.

Saya tidak kenal siapa Edward M. Jesus. Atau mungkin nama islamnya, S, seperti yang diwartakan blogger lain. Saya turut melihat blognya, dan gambarnya, yang jika benar kajian blogger-blogger berkenaan, seumpamanya S dan Edward dua insan berbeza. Ironi sekali isi blognya dan tulisan di status Facebook beliau. Kenapa saya melihat masih ada cahaya Tuhan dalam hidupnya? Ada jiwa Islam masih samar wujud dalam fitrahnya?

Saya percaya, beliau sekadar terlalu lemah. Keadaan yang sukar digambarkan. Kita tidak mengalami. Mungkin beliau begitu jauh daripada kasihNya. Lantas beliau semakin menjauhi apabila ditimpa gelapnya dugaan. Kenapa, S tidak memilih untuk mengasihi dan mempercayai kasihNya berbanding berusaha menjauhiNya? Memilih untuk menganut Kristian? Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghina agama orang lain, tetapi selaku seorang muslim, sudah tugas saya menegur dan membetulkan silap saudara saya. Saya percaya S masih belum jauh berlari meninggalkan cahayaNya. Masih boleh sampai kepadaNya. Mungkin pintu taubat masih terbuka untuknya.

Kalau benar S betul-betul seronok mencari Tuhan Jesus berbanding Tuhan Allah yang kita selama ini sembah dan berpaling harap, kenapa S masih menolak untuk terus hidup dan bergembira dengan tali hayat kurnianNya? Kenapa S masih dirundum rasa kecewa? Kenapa kesilapan S tidak terbaiki sendiri? Jika S merasakan Allah wajar dihukum daripada takdir ini? Takdir yang S sendiri tidak tahu bagaimana hujungnya. S tahu bagaimana Allah mencipta takdirNya untuk hamba-hambaNya, tetapi sayangnya S tidak sedar betapa kasihNya Allah dengan memberi segala kelebihan yang S miliki, sedang sesetengah yang lain tidak.

Di mana cahayaNya, S? Dia sentiasa ada. Baliklah S. Dia sangat merindui S. Kasih sayangNya terlampau tinggi berbanding kasih dan sayang S bersama bekas kekasih S. Saya pernah melihat mereka yang gugur dalam perhubungan mereka, tetapi kerana teguhnya harapan dan kepercayaan mereka kepada Allah, mereka menemui cahayaNya. Mereka bangkit lebih kuat. Mereka lebih menghargai setiap saat yang mereka ada. Mereka menemui mereka yang lebih menyayangi mereka. Dan mereka lebih bahagia. Yang lebih itulah hikmahnya kasih Allah.

Saya tidak menyalahkan S. Mahupun marah kepada S. Saya cuma kasihan. Sangat-sangat bersimpati. Dan dengan bersaksi kekuasaanNya, saya berdoa S kembali menjadi saudara saya. Saya faham, S. Bahkan Dia lebih memahami. Bersabarlah.

Saya menulis cukup untuk S. Atau Edward Martin Jesus. Kini giliran kita yang membaca untuk menilai tidakan kita. Lihatlah ini:





Apakah kita bersorak gembira apabila seseorang mengadu untuk diselamatkan? Adakah kita sentiasa berasa cukup dengan nasihat kita untuk mereka yang tersesat, apabila mereka masih tenggelam dalam kejahilan mereka? Apakah kita berasa kita cukup Muslim untuk menilai mereka yang berpaling tadah sebagai dayus dan lemah? Kita memanggil mereka jiwang dan mat bunga? Dalam pada kita menghembus pada sumbu yang bernyala, kita sebenarnya menambah marak apinya. Kita menggunakan kata-kata hinaan dan provokasi supaya beroleh kemenangan pada pihak kita?

Saya tidak menyangka ada di kalangan kita terlalu benci dengan mereka yang kesesatan. Bukankah kita seharusnya mengajak dan menunjuk mereka kepada cahayaNya yang tak kunjung malap? Bukankah ini tugas kita apabila melihat saudara kita kehilangan arah? Apa yang lebih memilukan saya, apabila sebahagian kita merelakan beliau 'pergi'. Lebih teruk, menghina beliau kerana tidak 'mengotakan janji'. Dan paling tidak dapat terima, bagaimana kita boleh berkata 'biarlah mati, kurang bilangan kafir' (komen ini sudah dibuang). Siapakah kita yang bersuara begini? Memahukan mereka mati? 

Kenapa kita mahu memilih supaya mereka terus sesat dan khayal, lantas membunuh diri? Sedangkan kita masih boleh berdoa dan mengerah segala ikhtiar mendekatkan beliau kepada Tuhan kita? Mereka takkan bertambah baik dengan sikap kita yang sebegini. Malah, mereka yang bukan Islam juga tidak akan terpesona dengan agama kita andai umatnya begitu zalim dan tidak berbelas kasihan sesama sendiri. We should not give up. Kerana kita bersaudara, dan saudara tak akan membiarkan saudaranya kesesatan. Kerana kita satu keluarga, dan keluarga tidak akan menolak ahlinya ke lembah yang dalam dan gelap.

Pilihlah untuk mencari dan mengajak mendekati cahayaNya. Dan buat S, atau Edward Martin Jesus, percayalah kepada kasih Allah.

p.s: Yes, you have such a good look given by Him. You should not just give up for one love you couldn't succeed.







Thursday, May 3, 2012

Politikus : Agama dan Politik Kita.

Sila baca artikel ini dahulu sebelum membaca lanjut tulisan (atau lebih tepat respon) saya kali ini:


Kata saya begini:
  • Saya percaya Melayu (atau dasarnya Islam) itu akan bersatu. Terutamanya apabila ini berlaku. Saya masih percaya, PAS masih relevan dalam mengorak langkah merealisasikan misi mereka. Dan apabila benar PKR tertewas, dengan dakwaan mereka, atas permainan DAP, PAS bakal bangkit malah lebih baik lagi daripada hari ini. Bersama, atau tidak dengan BN, orang Islam akan benar-benar teguh berdiri di belakang PAS. Itu kalau ini sungguh terjadi.


  • Kenapa bukan BN? Sebab, andai benar PAS beroleh kepercayaan rakyat Melayu dan khususnya Islam semasa bergabung dalam Pakatan Rakyat (kalau benar Pakatan Rakyat menang dan peristiwa ini terlaksana), maka rakyat Islam yang rasa tertindas dan dikhianati akan lebih dekat dengan pegangannya, dengan parti yang berwajah lebih Islam. Bn bukan lagi satu pilihan. Bukan juga PKR mahupun yang seumpamanya. Ini kalau ianya benar terjadi.


  • Barangkali UMNO juga akan tetap relevan. Cuma perjuangan UMNO akan jelas menyebelahi PAS dan misi mereka. Itu pun kalau UMNO benar-benar peduli dengan Islam dan haknya. Dan andai ramalan ini sungguh terjadi. Bukan saya merasa UMNO kini tidak islamik, atau PAS sahaja yang islamik, cuma saya percaya yang sungguh berwajah Islam, ketika Islam benar-benar ditindas, akan tetap berwajah islam. Dan itu lebih pada parti yang menjadi Islam sendiri. Itupun kalau sungguh ini bakal menjadi realiti.


  • Saya juga percaya UMNO dan PAS, mahupun mana-mana parti masih boleh bersatu. Cuma kesatuan mereka tidak duduk semeja menjadi satu barisan parti politik yang seia. Mereka akan tetap berbeza, dan kesatuan mereka hanya kepada pendirian mereka yang boleh jadi sama. Saya melihat ini sentiasa ada di Parlimen dan belakang tabir politik mereka.

  • Saya tak pandai membaca lengkok DAP. Tetapi persisnya mereka ekstrem dalam kesaksamaan. Walau pada mata saya, boleh jadi mereka bakal menggugat identiti dan jati diri masyarakat saya, seperti kata artikel ini. Tapi itu pun, kalau benar hikayat penulis benar-benar terjadi.

  • Dan PKR pula, tanpa sudah membuka cerita-cerita mereka. Saya percaya Anwar Ibrahim mampu menjadi watak kedua Mahathir. Kalau bacaan saya betul, pemikiran Anwar seiras Mahathir. Cuma barangkali, pandangan mereka tidak sehala. Lihat sendiri perjalanan politik mereka. Titik-titk masa tertentu mengubah persepsi dan hala tuju mereka. Tetapi cara mereka berjalan atas pentas masa seumpama menari dalam tarian yang serupa. Dan kalau pun benar watak Anwar dalam khabar penulis artikel ini tadi benar, Anwar sudah pun lama terbengkalai. Saya percaya peranan Anwar dalam Pakatan cukup kuat, namun saya lebih percaya, sokongan yang ramai terutamanya Melayu dan Islam lebih tertumpu kepada PAS dan senjata inilah yang paling kuat, andai retetan ramalan penulis menjadi benar.

  • Saya kagum dengan cerita prosedur mereka dalam menjadikan PM Kristian itu realiti. Lebih lagi orangnya ialah Lee Kuan Yew. Apa mereka fikir majoriti yang masih Islam dan terlalu taksub Islam dalam PAS seperti dakwaan penulis sekadar diam dan bersembunyi? Saya lebih suka cerita ketidak serasian Pakatan berbanding cerita ini. Kerana cerita itu lebih realistik dan relevan. Malah lebih kelakar pada saya, PM Malaysia tak mungkin milik warga Singapura. Cukuplah Aaron Aziz menjadi pilihan kita. Nyata ini bukan mudah terjadi. Itupun kalau benar ia menjadi.

  • Apa pun rahsianya, mainan politik mula bermain dalam genggaman saya. Tiada antara keduanya (BN dan PR) itu kesempurnaan, terutama keduanya bermain isu yang membuat rakyat lebih benci. Ini generasi Y. Fikirannya berbeza. Watak dan cerita yang bijak pandai bukan lagi mudah untuk di ambil kira. Kita sudah mula membaca ketika di bangku sekolah lagi. Cerita-cerita beginilah yang membuatkan sebilangan besar kita langsung tidak menyukai politik. Sehingga politik menghukum mata kepala kita sendiri. Maksud saya, sama ada benar atau tidak lipur lara penulis, kita masih akan menghukum politik itu sendiri. Kita mencari punca membenci, dan sayangnya punca itu berasaskan agama.
  • Satu bermain dengan Kristianisasi dan hak kaum lain, manakala satu lagi menempelak hudud. Kedua-duanya membonekakan agama untuk menakut-nakutkan penganut yang lain. Tetapi masih kita menolak agama kita sendiri dengan bermain-main dengan ayatNya. Saya berkata begini kerana saya Muslim. Mungkin bagi yang bukan muslim, ada perkataan yang berbeza. Saya lebih suka seseorang (atau sesuatu pihak) itu menjadikan agama untuk dinamakan sebagai semangat pihak yang diwakilinya berbanding menggunakan agama untuk memberi rasa terancam kepada agama yang bukan milik mereka. Faham maksud saya? Ini pun kalau benar ia terjadi.

  •  Saya juga positif, jika mana-mana pihak cuba bermain untuk menenggelamkan sesuatu pegangan (terutamanya agama--lagi utama Islam), lebih lagi bagi mereka yang majoriti, itu tindakan tidak wajar. Malah isunya, mereka bakal bangkit lebih kuat. Saya nampak ini terjadi. Saya tidak menolak bahawa apabila kekuasaan itu jatuh ke tangan mereka yang tidak endah, majoriti tidak lagi menjadi suara. Kerana sejarah banyak membuktikan ini. Kuasa mengatasi suara. Tetapi saya percaya, kita generasi Y dalam kalangan Melayu dan Islam boleh mengubah suara kepada kuasa sekirannya ditentang. Malah saya juga percaya generasi Y dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Islam juga sudah biasa hidup dengan menghormati Melayu dan Islam, sebagaimana kedua-duanya saling menghormati. Major ini yang saya kira. Major yang menghormati.

  •  Saya punya banyak isi yang ingin saya tulis. Tetapi kerisauan saya memuncak kalau isi saya lebih banyak hiasan daripada rasanya. Atau disalah erti dengan maksud yang tidak enak. Saya pasti, kita sudah lama berimpi harmoni dan keamanan. Cukuplah Mei 13 atau perang-perang sekitar dunia kita yang sehingga kini masih berdarah dalam lubuk raga kita. Kita tak perlukan isu-isu ini dalam politik kita. Bukankah kita masyarakat yang ini menghargai dan menghormati apa yang menjadi milik kita semua? Dan mengapa harus kita gunakannya untuk kuasa yang esok lusa bakal membawa bencana? Kita boleh hidup tanpa cerita dan khabar sebegini. Kerana bagi saya, mereka yang bercerita tentang perkara ini tidak layak menjadi pemimpin untuk kita semua--Melayu, Islam, Cina, Kristian, Buddha, India, Hindu dan lain-lain lagi. Kita bangsa dalam Malaysia.

  • Baik agama atau politik, pilihlah untuk saling menghormati.



p/s: 
Sudah masanya kita mencari politik yang bercerita tentang apa yang mereka boleh lakukan daripada yang lawan mereka tidak mampu lakukan. Atau tentang apa jaminan mereka daripada apa lawan mereka tidak mampu jaminkan. Atau apa kelebihan mereka, dan bukannya kekurangan lawan mereka. Atau apa kekuatan mereka, dan bukannya kelemahan lawan mereka. Kerana kita memilih mereka yang boleh berikan. Bukan memilih mereka kerana apa yang lawan mereka tidak boleh berikan.

Modal politik kita kini, seumpama mereka lupa, generasi baru mereka boleh membaca, mengira, dan menulis. Ada telinga, mata dan mulut.








::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"