viewers

Thursday, May 3, 2012

Politikus : Agama dan Politik Kita.

Sila baca artikel ini dahulu sebelum membaca lanjut tulisan (atau lebih tepat respon) saya kali ini:


Kata saya begini:
  • Saya percaya Melayu (atau dasarnya Islam) itu akan bersatu. Terutamanya apabila ini berlaku. Saya masih percaya, PAS masih relevan dalam mengorak langkah merealisasikan misi mereka. Dan apabila benar PKR tertewas, dengan dakwaan mereka, atas permainan DAP, PAS bakal bangkit malah lebih baik lagi daripada hari ini. Bersama, atau tidak dengan BN, orang Islam akan benar-benar teguh berdiri di belakang PAS. Itu kalau ini sungguh terjadi.


  • Kenapa bukan BN? Sebab, andai benar PAS beroleh kepercayaan rakyat Melayu dan khususnya Islam semasa bergabung dalam Pakatan Rakyat (kalau benar Pakatan Rakyat menang dan peristiwa ini terlaksana), maka rakyat Islam yang rasa tertindas dan dikhianati akan lebih dekat dengan pegangannya, dengan parti yang berwajah lebih Islam. Bn bukan lagi satu pilihan. Bukan juga PKR mahupun yang seumpamanya. Ini kalau ianya benar terjadi.


  • Barangkali UMNO juga akan tetap relevan. Cuma perjuangan UMNO akan jelas menyebelahi PAS dan misi mereka. Itu pun kalau UMNO benar-benar peduli dengan Islam dan haknya. Dan andai ramalan ini sungguh terjadi. Bukan saya merasa UMNO kini tidak islamik, atau PAS sahaja yang islamik, cuma saya percaya yang sungguh berwajah Islam, ketika Islam benar-benar ditindas, akan tetap berwajah islam. Dan itu lebih pada parti yang menjadi Islam sendiri. Itupun kalau sungguh ini bakal menjadi realiti.


  • Saya juga percaya UMNO dan PAS, mahupun mana-mana parti masih boleh bersatu. Cuma kesatuan mereka tidak duduk semeja menjadi satu barisan parti politik yang seia. Mereka akan tetap berbeza, dan kesatuan mereka hanya kepada pendirian mereka yang boleh jadi sama. Saya melihat ini sentiasa ada di Parlimen dan belakang tabir politik mereka.

  • Saya tak pandai membaca lengkok DAP. Tetapi persisnya mereka ekstrem dalam kesaksamaan. Walau pada mata saya, boleh jadi mereka bakal menggugat identiti dan jati diri masyarakat saya, seperti kata artikel ini. Tapi itu pun, kalau benar hikayat penulis benar-benar terjadi.

  • Dan PKR pula, tanpa sudah membuka cerita-cerita mereka. Saya percaya Anwar Ibrahim mampu menjadi watak kedua Mahathir. Kalau bacaan saya betul, pemikiran Anwar seiras Mahathir. Cuma barangkali, pandangan mereka tidak sehala. Lihat sendiri perjalanan politik mereka. Titik-titk masa tertentu mengubah persepsi dan hala tuju mereka. Tetapi cara mereka berjalan atas pentas masa seumpama menari dalam tarian yang serupa. Dan kalau pun benar watak Anwar dalam khabar penulis artikel ini tadi benar, Anwar sudah pun lama terbengkalai. Saya percaya peranan Anwar dalam Pakatan cukup kuat, namun saya lebih percaya, sokongan yang ramai terutamanya Melayu dan Islam lebih tertumpu kepada PAS dan senjata inilah yang paling kuat, andai retetan ramalan penulis menjadi benar.

  • Saya kagum dengan cerita prosedur mereka dalam menjadikan PM Kristian itu realiti. Lebih lagi orangnya ialah Lee Kuan Yew. Apa mereka fikir majoriti yang masih Islam dan terlalu taksub Islam dalam PAS seperti dakwaan penulis sekadar diam dan bersembunyi? Saya lebih suka cerita ketidak serasian Pakatan berbanding cerita ini. Kerana cerita itu lebih realistik dan relevan. Malah lebih kelakar pada saya, PM Malaysia tak mungkin milik warga Singapura. Cukuplah Aaron Aziz menjadi pilihan kita. Nyata ini bukan mudah terjadi. Itupun kalau benar ia menjadi.

  • Apa pun rahsianya, mainan politik mula bermain dalam genggaman saya. Tiada antara keduanya (BN dan PR) itu kesempurnaan, terutama keduanya bermain isu yang membuat rakyat lebih benci. Ini generasi Y. Fikirannya berbeza. Watak dan cerita yang bijak pandai bukan lagi mudah untuk di ambil kira. Kita sudah mula membaca ketika di bangku sekolah lagi. Cerita-cerita beginilah yang membuatkan sebilangan besar kita langsung tidak menyukai politik. Sehingga politik menghukum mata kepala kita sendiri. Maksud saya, sama ada benar atau tidak lipur lara penulis, kita masih akan menghukum politik itu sendiri. Kita mencari punca membenci, dan sayangnya punca itu berasaskan agama.
  • Satu bermain dengan Kristianisasi dan hak kaum lain, manakala satu lagi menempelak hudud. Kedua-duanya membonekakan agama untuk menakut-nakutkan penganut yang lain. Tetapi masih kita menolak agama kita sendiri dengan bermain-main dengan ayatNya. Saya berkata begini kerana saya Muslim. Mungkin bagi yang bukan muslim, ada perkataan yang berbeza. Saya lebih suka seseorang (atau sesuatu pihak) itu menjadikan agama untuk dinamakan sebagai semangat pihak yang diwakilinya berbanding menggunakan agama untuk memberi rasa terancam kepada agama yang bukan milik mereka. Faham maksud saya? Ini pun kalau benar ia terjadi.

  •  Saya juga positif, jika mana-mana pihak cuba bermain untuk menenggelamkan sesuatu pegangan (terutamanya agama--lagi utama Islam), lebih lagi bagi mereka yang majoriti, itu tindakan tidak wajar. Malah isunya, mereka bakal bangkit lebih kuat. Saya nampak ini terjadi. Saya tidak menolak bahawa apabila kekuasaan itu jatuh ke tangan mereka yang tidak endah, majoriti tidak lagi menjadi suara. Kerana sejarah banyak membuktikan ini. Kuasa mengatasi suara. Tetapi saya percaya, kita generasi Y dalam kalangan Melayu dan Islam boleh mengubah suara kepada kuasa sekirannya ditentang. Malah saya juga percaya generasi Y dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Islam juga sudah biasa hidup dengan menghormati Melayu dan Islam, sebagaimana kedua-duanya saling menghormati. Major ini yang saya kira. Major yang menghormati.

  •  Saya punya banyak isi yang ingin saya tulis. Tetapi kerisauan saya memuncak kalau isi saya lebih banyak hiasan daripada rasanya. Atau disalah erti dengan maksud yang tidak enak. Saya pasti, kita sudah lama berimpi harmoni dan keamanan. Cukuplah Mei 13 atau perang-perang sekitar dunia kita yang sehingga kini masih berdarah dalam lubuk raga kita. Kita tak perlukan isu-isu ini dalam politik kita. Bukankah kita masyarakat yang ini menghargai dan menghormati apa yang menjadi milik kita semua? Dan mengapa harus kita gunakannya untuk kuasa yang esok lusa bakal membawa bencana? Kita boleh hidup tanpa cerita dan khabar sebegini. Kerana bagi saya, mereka yang bercerita tentang perkara ini tidak layak menjadi pemimpin untuk kita semua--Melayu, Islam, Cina, Kristian, Buddha, India, Hindu dan lain-lain lagi. Kita bangsa dalam Malaysia.

  • Baik agama atau politik, pilihlah untuk saling menghormati.



p/s: 
Sudah masanya kita mencari politik yang bercerita tentang apa yang mereka boleh lakukan daripada yang lawan mereka tidak mampu lakukan. Atau tentang apa jaminan mereka daripada apa lawan mereka tidak mampu jaminkan. Atau apa kelebihan mereka, dan bukannya kekurangan lawan mereka. Atau apa kekuatan mereka, dan bukannya kelemahan lawan mereka. Kerana kita memilih mereka yang boleh berikan. Bukan memilih mereka kerana apa yang lawan mereka tidak boleh berikan.

Modal politik kita kini, seumpama mereka lupa, generasi baru mereka boleh membaca, mengira, dan menulis. Ada telinga, mata dan mulut.








No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"