viewers

Saturday, May 21, 2011

Review : Nur Kasih The Movie.




Setiap cerita atau kisah bermula daripada satu peristiwa. Dan seperti bait-bait biasa yang terungkap, lahirlah sebuah perjalanan suci menilai erti cinta yang suci pada pandangan Ilahi.

Drama bersiri Nur Kasih yang pernah merebut Anugerah Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin sebelum ini, mencipta impak tersendiri bagi memukau ribuan penonton dengan mesej dan nilai seni serta falsafah yang begitu bersegi. Normanya, setiap kali filem saduran novel atau drama sering dijadikan modal untuk disbanding dengan karya terdahulu adaptasinya. Penggubalan semula isi cerita diadun-adun menjadi bulatan yang serupa. Maka lahirlah satu cerita yang berkisar cerita yang serupa dalam karya asalnya. Tetapi Nur Kasih, kisahnya lebih sempurna daripada drama asalnya.


Ketika mula berniat menonton filem ini, sebahagian mereka yang sudahpun menyaksikannya berkira-kira sendiri akan lebih atau kurangnya cerita ini. Bahkan, saya sendiri telah disuap dengan pelbagai kritikan daripada review-review mereka yang terlebih dahulu menontonnya. Dan antara perkara yang saya dengari adalah seperti babak sedih lebih banyak, moralnya seakan mereka yang baik sering ditimpa dugaan, serta ada lebihan babak picisan yang tak seharusnya ditonjolkan, turut dipaparkan. Malah, seperti sudah dijangka, elemen ‘keberatan’ dan perjalanan plot cerita yang perlahan turut sama di perdebatkan. Jawapan saya, ada dalam cerita tersebut.


JAWAPAN DALAM CERITA.

Pertamanya, barangkali cerita yang berat, dengan mesej yang tersirat begitu dalam serta pergerakan plot cerita yang perlahan adalah satu kepuasan bagi saya, maka cerita ini tidaklah selemah atau serapuh andaian mereka yang lain.

Saya sangat tertarik dengan susun letak skrip dan mesej nilai moral yang terkandung dalam setiap tutur kata watak-watak dalam Nur Kasih. Saya pasti, ramai yang sudah menyaksikannya turut sama bersetuju dengan pendapat saya. Lihat sahaja setiap kata-kata ‘penamat’ dalam setiap babak mengandungi rakam maksud yang dalam berserta nasihat ilmiah dan islamik kepada kita. Tidakkah terasa di lubuk jiwa kita?

Cerita Ustaz (dilakonkan oleh Beto Kusyairi) dengan Adam contohnya, menggambarkan satu pemikiran kreatif dan kebenaran yang harus kita fikirkan bersama. Juga kalam kata-kata Aidil ketika Adam cuba memujuknya supaya bersabar, mudah bagi Adam mengungkap, “Kalau saya di tempat Abang..” dan kemudiannya dibenarkan oleh Aidil “Adam tidak ditempat Abang..”. Malah, lebih manis, Aidil menyambung dengan “Abang akan doakan Adam tidak berada di tempat Abang” dengan maksud kita tidak merasa apa yang insan lain rasa, tetapi dengan indah, seorang abang itu mendoakan kesejahteraan adiknya. Cantik bukan?

Canangan sebahagian penonton betapa plot sedih dan sadis memuncak dalam cerita ini serta imbangan bahagian bahagia dan dugaan yang tidak seimbang adalah separuhnya salah. Pada mata saya, kebahagiaan tetap ditonjol kena pada tempatnya. Saya mampu berasa bahagia dan gembira dengan pembawaan watak Mariam oleh Adik Mia Sara serta Illyas yang genap mewarnai cerita ini dengan keceriaan dan sedikit humor. Mia Sara menjadi watak paling sempurna mengalih focus penonton daripada kesempitan hidup keluarga Haji Hassan kepada kebahagian yang lebih baik dalam sesebuah keluarga. Jika anda punyai anak-anak yang semanis itu, bukankah lebih bahagia berbanding merasa kelat perit dugaan ini?

Soal imbangan sedih dan gembira saya rasakan sudah dicatur sempurna oleh penulisnya. Penulis berani menzahirkan kebenaran hakikat bahawa hidup ini pentas ujian yang begitu sukar. Dan lebih payah lagi jika hilang rasa redha atas kasih sayangNya. Setiap konflik yang diselitkan merupakan perkara yang sebetulnya boleh terjadi kepada sesiapa sahaja di dunia ini. Malah kita sebagai hambaNya seharusnya lebih faham bahawa dugaan ini terbadai dek rasa kasihNya serta tanda Dia sentiasa memerhati dan mempedulikan kita.

Jika anda tertanya-tanya, apakah mereka yang begitu baik, dan selalu cuba mendekatiNya diuji sebegitu payah dalam hidup, ambillah kata-kata Aidil tatkala Adam menangis meratap takdir Nur yang keguguran: “Mengapa memilih untuk menjauhi Allah, sedangkan kita sedar setiap dugaan yang diberikanNya kepada kita dalah peluang untuk kita semakin mendekatiNya”. Mungkin jawapan itu terselit dalam mesej ini.


LAKON DAN PENGHAYATAN WATAK

Ceritanya mungkin lebih berkisar tentang Nur dan Adam, selain watak Aidil yang diberi tanggung jawab menggalas perubahan plot cerita Nur dan Adam. Saya percaya fokus cerita ini memberat kepada perjalanan cinta Adam dan Nur serta peranan Aidil dalam keluarga mereka, terutamanya sebagai abang kepada Adam.

Saya gemar akan pengekspresan watak Aidil oleh Fizz Fairuz dengan perwatakan yang cukup sempurna. Fizz pada zahirnya berjaya membawa watak Aidil yang selayaknya sebagai manusia biasa yang mampu menangis, abang yang melindungi janjinya kepada Adam, bapa kepada anak-anak yang kehilangan ibu mereka, anak kepada ibu yang kehilangan suami, serta selaku ilmuan agam yang cukup membawa mereka yang kehilangan arah tujuan.


Setiap patah bicara Aidil, serta pembawaan yang cukup sempurna oleh Fizz menjadikan cerita ini kukuh dan beriringan dengan lebih baik. Peranan watak Aidil benar-benar menyokong perjalanan cerita ini di samping watak utama Adam dan Nur. Kala sedih atau gembira, atau tika cuba berdalih dengan rasa yang terbeban, atau semasa memandu anak dan adiknya pulang ke jalan Ilahi, ataupun tatkala mula berkenalan dengan Mamat yang asalnya jahil agama, perwatakan Aidil adalah kena pada tempat dan peranannya.

Keutamaan cinta Adam dan Nur, secara positifnya turut membawa kita menyelami kebahagiaan dalam erti cinta sebenar. Setiap babak yang memaparkan kedua-duanya diselitkan rasa bahagia yang sejati sebagai sepasang suami isteri. Malah, ketika diuji pelbagai cubaan, masing-masing Adam dan Nur dizahirkan sebagai mereka yang terkadang merasa ujianNya sebagai penguat iman mereka kepada Sang Pencipta.

Sebagai contoh, ketika Adam terhimpit dengan sakit yang sudahnya di hujung nyawa, dengan Nur yang terpaksa berhadapan dengan masalah kewangan, kita ditanamkan rasa payahnya hidup ini serta betapa Tuhan itu menguji mereka dengan sesukar itu. Lalu dengan sekilas, kita disajikan dengan babak di mana Adam bersandar pada bahu Ibunya di atas buaian, sambil mereka seolah-olah sedang bermesra, Nur mengalih pandangan sambil sedikit tersenyum. Perasaan saya, setiap dugaan itu dirempahkan manis dengan kebahagiaan pada tempat yang lain pula.

Mesej dan lakonan setiap mereka, sempurna.


DALAMNYA SIRAT MESEJ

Satu-satunya sebab kenapa anda perlu menonton cerita ini, kerana ia benar-benar memberi pengajaran. Setiap watak dan babak, setiap tutur kata dan perjalanan cerita diselitkan mesej dan moral yang begitu sarat. Jika anda seorang yang suka berfikir, nescaya anda bakal melihat ratusan nilai yang meliputi penceritaannya.

Antara mesej yang ada telah saya jelaskan sebelumnya. Jika masih terasa ingin menggali ilmu di dalamnya, sudi-sudilah menontonnya, dan memikirkannya.

Bagi saya, cerita beginilah yang kita mahukan dalam setiap filem. Nilai dan moral yang diangkat sepenuh-penuhnya. Malah, tak terlampau jika saya labelkan cerita ini layak mengungguli Filem Terbaik festival filem tahun ini.


KREATIVITI DAN CANTIKNYA SINEMATOGRAFI

Mana-mana filem Filmscape, atau lebih lagi arahan oleh Khabir Bhatia, pujian pertama yang terpacul daripada mulut penonton ialah kecantikan gambar atau sinematografinya. Filem-filem lain seperti Cinta, Sepi atau Setem, elemen yang serupa memberikan perasaan berbaloi membayar RM11 (plus another 50sen for payment fee) kerana gambar layarnya sangat cantik dan tidak berserabut.

Susun atur plot serta suntingannya juga harus diberi pujian. Meski pada awalnya saya sendiri sedikit terkeliru dengan plot-plot ringkas melompat daripada satu ke satu yang lain, namun setelah perkenalan jalan cerita yang asalnya dibuat bagi meloloskan kekeliruan tentang kesinambungan file mini dengan drama rantaiannya, saya mula melihat perkembangan jalan cerita yang terarah.

Setelah jelas di mana watak Alia, apa yang terjadi pada Nur, apa yang dibuat Nur dan Adam bersama kanak-kanak dan remaja itu, serta pada titik konflik mula menggaris dalam kembara cinta Nur dan Adam, kita mula dibawa menghayati sepenuh-penuhnya kelancaran cerita ini. Puncak kepada cerita ini saya kira bila konflik Adam yang sedang sakit bertambah tenat, dan Aidil pada satu sudut yang lain sedang berhadapan dengan remaja-remaja tersasar, satu ke satu babak yang ditunjukkan benar-benar memberi debaran, sehingga Aidil muncul dengan khabar buat Nur. Apa khabarnya? Mari saksikan!

Sedikit lagi tentang kreatifnya filem ini, sama seperti filem terbitan Filmscape yang lain, beberapa watak dihidupkan semula dalam babak-babak tertentu. Dengan maksud saya, ada kelibat-kelibat watak yang berdiri dalam babak yang sedang diperhatikan. Kemudian, cerita berkembang ke peleraiannya dengan mengisahkan semula maksud di sebalik setiap ‘watak hantu’ tersebut. Kreatif, dan bererti.


APA YANG DIBAWA KELUAR DARI PANGGUNG?

Saya, pada hematnya seorang yang suka berasa sesuatu saat keluar mengalami sesuatu peristiwa. Dalam konteks menonton pula, perkara paling utama ialah perasaan yang terasa tika keluar daripada panggung selepas menonton sesuatu cerita.

Nur Kasih, paling utamanya ialah keterdapatan mesej dan nilai yang sarat. Sebaik keluar daripada panggung, kita bakal berasa terkesan dengan ceritanya. Apa mesej yang dibawakan adalah sampai kepada kita sebagai penonton. Dan jika kita berfikir, Nur Kasih mengajar kita pelbagai isu dan isi islam serta hidup.

Keduanya, perjalanan kembara cinta Adam dan Nur serta peranan Aidil sehingga ke akhirnya memberi kepuasan yang tersendiri bagi melihat bagaimana Tuhan mengatur sesuatu buat kita tanpa kita sedari. Perasaan ini, secara jujurnya, jarang saya perolehi daripada filem-filem lain. Barangkali selain filem-filem sekarang suka menjadikan gimik ‘the never ending story’ atau ‘ there’s something else’ ataupun ‘ the ending is still a mystery’, atau juga hanya kerana sesuatu filem itu terkadang berakhir tanpa perkembangn plot yang padat, kita akhirnya keluar daripada panggung seakan kosong. Selain perasaan dan aksi semasa menonton, setelah habis sahaja, kita berkata sendiri, “macam tu je ending-nya?”

Dan Nur Kasih, tidak sebegitu. Ceritanya lengkap di situ tanpa tanda tanya.

Mungkin sedikit kelemahan bagi mereka yang sudah menontonnya, cerita begini sedikit berat dan perlahan. Namun saya percaya, sedikit usaha memerah akal sendiri menilai jalan ceritanya, selain sedikit bersabar pada permulaan cerita, insyaAllah berbaloi. Bukankah cerita ini pengisaran hidup dua makhluk Tuhan yang mencari erti dan nilai cinta serta kembara dalam satu jalan hidup yang pastinya penuh dugaan? Jadi, mustahil ceritanya bakal sarat dengan babak makhluk asing menyerang bumi Malaysia, atau watak Pontianak berterbangan di ruang angkasa, mahupun segerombolan lanun menyerang manusia sotong ketika Adam dan Nur sedang terlantar di bumi Jordan.

Ini cerita Nur Kasih, perjalanan cerita cinta yang mencari keredhaanNya.

“Perjalanan Menuju Abadi”

Saya tahu, cerita ini tidak sempurna, tetapi cukup menyampaikan genrenya. Dan selayaknya, LIMA bintang saya kira buat Nur Kasih.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"