viewers

Thursday, May 12, 2011

Syurga Di Tempat Kerja

Syurga Di Tempat Kerja.

Ketika bermulanya jemari kecil menekan-nekan papan kekunci menyusun idea dan sirat bicara entri kali ini, hati kecil merakam rasa buat saudari yang bertanya dan memberi cadangan akan entri ini ditulis. Mungkin atas dasar percaya bagi insan halus ini meluah buah fikiran serta sedutan pengalaman yang tak seberapa selain banyaknya diceduk daripada pengalaman mereka di sekeliling saya, entri ini tertulis sekadar ini.

Mukadimah bicara, biarlah saya menutur rasa rendah diri serta jutaan maaf andai sebarang isi menjadi pedang yang menikam mana-mana hati manusia lain, yang mungkin termakan cili yang digilis saya. Bahkan, suka untuk saya rencanakan betapa saya menulis tidak sepertinya tepat mengena pada situasi saya. Pengalaman banyaknya saya inspirasikan dan mencipta sendiri andaian suasana untuk kita selami hikmahnya.

Berkerja dengan ikhlas dan penuh rasa tanggung jawab. Saya masih ingat tika kaki saya lemah mengatur langkah mencari ruang dalam dunia yang menuntut usaha bagi mencari sesuap nasi ini. Ibu, seawalnya lagi berpesan, apabila sampai masanya saya beroleh pekerjaan, bekerjalah dengan bersungguh dan dengan penuh ikhlas. Saya berani jamin, setiap pekerjaan yang saya lakukan, sama ada sebagai pelayan di kedai kopi, atau pembantu kepada seorang penyelidik, saya mengerahkan hati ikhlas melaksanakan tanggung jawabnya. Ada suatu ketika, seorang sahabat bertanya:

“Kalau kau ikhlas, kenapa kau minta gaji? Ikhlas kan, kerjalah dengan percuma. Buat charity”

Saya senyum. Kemudian saya tambah:

“ Setiap hari kita beribadat, bersolat, berpuasa, betulkah kita ikhlas kepadaNya?”

Sahabat berkerut dahi. Menjawab tanpa ragu:

“Yelaa.. walaupun tak sempurna sebab kita ni manusia yang ...bla..bla..bla... tapi kita mestilah ikhlas kerana Allah. Kalau tak ikhlas macam mana nak memperoleh pahala daripadaNya.”

Senyuman saya memanjang, menampakkan lesung pipit di kiri dan kanan pipi saya. Cuba mengilas ikan di air:

“Eh, kata ikhlas! Perlukah mengharap pahala daripadaNya? Buatlah ibadat tanpa pahala, tanpa mengharap syurgaNya. Lagi pula, kita berhutang segala nikmatNya, lebih daripada perlu untuk memperoleh ganjaranNya. Bukankah begitu?”

Sahabat terdiam seketika. Saya nampak dia sedikit terkedu. Tapi barangkali masih belum mahu menyerah kalah dengan mudah, dia mendalami kata-kata saya untuk membalasnya dengan lebih bijak. Sekejap, dia cuba menokok:

“Pahala dan syurga tu ganjaran sebab berlaku ikhlas. Bukan sebab beribadat. Kot?”

Saya senyum lagi. Lalu mula menelitikan hujah saya:

“Macam ni babe, sebenarnya, pahala tu diberikan atas ibadat kita. Selalu pun kita dengar kan, bahawa ada pahala berpuasa sunat, pahala bersolat tahajjud, pahala berselawat, pahala membaca al-Quran. Tak ada pula secara jelas dinyatakan pahala sebab ikhlas bersolat, sebab ikhlas bersedekah dan sebagainya..”

Dia memintas cuba menikam isi saya:

“Habis tu kalau tak ikhlas dapat pahala kah? Mana ada weih!”

Saya mengangkat kening melirik anak mata. Meneruskan hujah yang cuba dipatahkan sahabat itu:

“Ikhlas itu syarat. Bukan punca ibadat. Maksudnya, kita diberikan pahala kerana bertasbih memuji Allah, namun salah satu syaratnya, kita harus ikhlas dalam memujiNya. Ada rasa telus dan jujur akan maksud tasbih terhadapNya. Malah, perlu untuk kita tanamkan rasa dan mengakui hakikat pujian itu kena pada kedudukanNya.”

Dia mengerutkan dahi. Berkedut-kedut memikirkan isi ayat saya yang mungkin sukar buatnya. Sebelum sempat dia menyoal, saya menyambung:

“Samalah dalam kerja seharian kita. Kita dituntut supaya ikhlas dalam melaksanakan tanggung jawab. Tapi itu tak bermakna kita membuatnya secara percuma. Adapun kerjaya kita itu kan periuk nasi kita, sumber makan minum serta keperluan kita (serta keluarga jika sudah punya keluarga). Maka, kita berkerja secara ikhlas dan bersungguh, sebagai ganjarannya kita diberi gaji seperti mana seharusnya. Malah ikhlas dan kesungguhan kita itu juga bakal beroleh ganjaran daripada Yang Maha Pemurah juga.”

Senyap. Dia mengangguk-angguk perlahan. Saya kira, dia berada dalam keadaan percaya atau tidak dengan isi saya. Tapi seakan setuju. Dia kemudiannya bersuara:

“Jadi ikhlas itu tiada pahala?”

“Ada”

Saya mengangguk perlahan sambil mendekati tempat duduknya dengan saya.

“Macam ni, setiap pekerjaan kita lakukan, wajar kita laksanakan dengan ikhlas dan bersungguh, dengan maksud bahawa itu tugas dan tanggung jawab yang kita setujui untuk digalas di pundak kita. Kita mengerah tenaga dan meyakini akan tugas itu merupakan satu keperluan yang diwajibkan Allah buat kita. Dalam konteks yang tidak bertentangan dengan syariatNya. Lalu setiap perkara kita dahulukan tanpa berkira, dan sentiasa memberi sepenuh perhatian, usaha, serta segala kemestian bagi melaksanakan tugas itu. Nilai-nilai ini yang dicerap Allah, insyaAllah, dan balas ganjaran pahala yang tak terbanding besarnya.”

Dia cuba mengalih semula:

“Part gajinya pula?”

“Gaji itu pula bukan hak kita. Maksudnya di sini, hak kewajipan kita. Apabila kita memberi sedaya upaya kita, maka mereka yang menggaji kita, atau lebih tepat majikan kita, yang kalau boleh aku jelaskan di sini ialah merujuk kepada mereka yang dipertanggung jawabkan untuk memberi imbuhan kepada kita. Sila ambil perhatian berkaitan tanggung jawab yang aku maklumkan. Tanggung jawab kita berkerja sebaik-baiknya. Manakala bahagian majikan pula, bertanggung jawab memberi kita gaji selayaknya dengan usaha kita, atau pada zaman ini seperti yang dijanjikan. Mereka juga bertanggung jawab menjaga kebajikan kita: cuti dan rehat secukupnya, kelonggaran waktu berkerja, layanan yang adil, bonus atau imbuhan jika mampu, pembahagian skala kerja yang tidak terlalu membebankan, serta keperluan lain yang wajar diambil kira.”

Dia mula mengangguk. Masih kelihatan keliru. Saya terus menyambung ketika mindanya masih cuba memproses segala maksud kata-kata saya:

“Secara amnya, kedua-dua pihak, atau lebih, harus memainkan peranan masing-masing. Setiap kita ada tanggung jawab. Setiap kita punya tugas yang harus dilaksanakan sebaiknya. Ikhlas dan bertanggung jawab itu bagi kedua-dua pihak. Maka, tidak timbul, ikhlasnya seorang pekerja bermaksud tidak mendapat upah daripada majikan. Seharusnya, kerja yang ikhlas itu diberikan ganjaran oleh majikan juga secara ikhlas. Barulah keduanya beroleh pahala daripada Allah. Tanggung jawab yang dilaksana beroleh pahala, keikhlasannya juga diberikan pahala. Benarlah kan Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Adil?”

“Berbeza jika sesuatu pekerjaan itu berada di luar tugasnya. Andaikan seseorang itu disuruh berkerja, tanpa paksaan atau akan mendatangkan kesan/mudarat apabila ditolak, yang mana di luar aspek kerjanya, dan pekerja tersebut sedia melaksanankan dengan ikhlas, maka di situ wajarlah dia melaksanakannya atas niat membantu dengan ikhlas, tanpa mengharap upah memandangkan tugas itu bukan bidang persetujuan mereka. Dengan syarat, pekerja berkenaan boleh memilih untuk menolak tanpa kesan atau mudarat.”

Dia seakan mula memahami, serta menampakkan minat. Dia menyoal semula:

“Bagaimana kalau diberi upah? Duit atau kebendaan, atau belanja makan contohnya?”

Saya membuka ruang antara kami mengurangkan panas yang menyelimuti suasana:

“Itu berkenaan favourability. Maksudnya, majikan tidak bertanggung jawab memberi, kerananya bantuan yang disalurkan pekerja dengan niat membantu, dan tanpa ganjaran. Tidak perlu gaji atau upah tambahan. Tetapi, samada ganjaran atau upah selepasnya diberikan bergantunglah kepada majikan. Mudahnya, majikan itu ada duit yang lebih, lalu mengenangkan pekerja bersusah payah membantunya, dia mengambil inisiatif membayar untuk makan dan minum pekerjanya dengan ikhlas. Syaratnya di sini, jika pekerja itu asalnya setuju untuk membantu, tidak dapat tidak, dia seharusnya tidak mengharap sebarang balasan kecuali niat ikhlas menyenangkan perkerjaan majikannya. Soal upah dan belanja selepas perkerjaan itu, bergantung kepada keinginan atau kedapatan majikan menyediakan. Bukan wajib. Samalah juga kepada perkerjaan itu, bukan wajib dipenuhi.”

Sahabat itu akhirnya memegang hujah saya. Bukan niat menunjuk apa yang ada dalam kepala, cuma berkongsi isu keikhlasan berkerja dan upah yang dia sendiri terlupa tempat letaknya.

...

Pada saya, keikhlasan dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggung jawab di tempat kerja sebenarnya asas kepada keberkesanan melancarkan tugasan, serta inisiatif paling efektif bagi mengurangkan tekanan di tempat kerja. Ikhlas dan kesungguhan selalunya didorong rasa minat dan suka akan kerja yang diberikan, dan seharusnya nilai sebegini lebih mudah ditanamkan jika pihak majikan serta rakan sejawat turut sama menjalankan tanggung jawab masing-masing selain berusaha mewarnakan suasana ceria dan mesra di tempat kerja.

Majikan antaranya, selain tanggung jawab wajib menjaga keperluan pekerja serta menyediakan esentif bulanan (atau gaji), tanggung jawab moral dan kemudahan yang berkenaan juga perlu buat melancarkan tugasan pekerja-pekerja mereka. Sebagai contoh, peranan majikan dalam melahirkan suasana kerja yang kondusif serta sistematik yang bukan sahaja membantu sesuatu tugasan itu berjalan selancarnya, malah memudahkan para pekerja melaksanakan tugas mereka. Kemudahan sebegini lazimnya membantu meringankan bebanan kerja yang ditanggung oleh pekerja dan secara tak langsung membuatkan mereka lebih focus dan minat bagi mengerjakan tanggung jawab yang diberikan.

Saya paling suka menyentuh fungsi tanggung jawab sosial atau moral yang sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh majikan dalam memenuhi kotak amanah mereka kepada suasana kerja yang baik. Antaranya, kepentingan memahami ragam serta cara mengatasinya harus diambil perkiraan. Umum maklum akan perbezaan taraf hidup serta latar belakang banyak memberi pengaruh kepada penerimaan serta cara kerja orang bawahan mereka. Pendek kata, benarlah apabila banyak orang, banyak ragamnya. Dalam sumur ini, majikan wajar bijak mengendalikan sikap mereka yang berbeza antara satu sama lain tanpa menunjukkan lebih atau kurang perhatian yang diberikan. Adalah perlu bagi majikan agar menggunakan kelebihan pada seseorang individu itu berbanding fokus kepada kelemahan mereka sahaja. Malah, cara adaptasi majikan dalam suasana kepekerjaan juga harus bersesuaian.

Tanggung jawab majikan ini, turut memerlukan mereka lebih memahami keadaan semasa pekerja mereka dengan maksud sebagai manusia biasa yang mungkin berlaku silap atau memiliki masalah harus difahami sebaiknya oleh majikan. Mungkin ada masanya mereka memerlukan cuti atau rehat yang panjang atas sebab masalah kesihatan atau peribadi, atau mereka barangkali memerlukan masa yang tidak ketat tatkala dihimpit masalah yang mengekori rutin mereka. Fleksibel terhadap jadual atau tugasan juga harus diberi keutamaan serta ruang membuat salah sekurang-kurangnya untuk mereka belajar dan tidak memberi impak yang terlalu besar kepada tugasan.

Saya sendiri pernah mengalami suatu suasana yang mana isu favouritisme dimainkan. Dalam konteks ini, saya menilai dengan seadilnya akan setiap individu tidak dapat lari daripada perasaan menyukai seseorang lebih daripada orang lain. Namun, dalam mewujudkan petak kerja yang kompetitif, perasaan menyukai seseorang lebih daripada seseorang yang lain sebaiknya idak dizahirkan bagi mengelakkan stamen pilih kasih menghalang kecenderungan majikan membuat keputusan. Paling tidak, majikan perlu menolak daripada mengekspreskan suasana sebegini atau keadaan yang bakal muncul ialah penafian seseorang yang lain dalam ruang kerja. Maksud saya, apabila favouritisme timbul, selain wujud keadaaan seseorang yang lebih disukai majikan, lebih teruknya adalah lahirnya suasana yang mana kebanyakan indivisu lain adalah kurang digemari dan ini mencacatkan rentak kerja.

Dalam gambaran yang serupa, saya memandang kepada keadaan pada suatu ketika yang mana mereka yang berasa diri mereka kurang diberi perhatian, akan lebih cenderung berbuat silap serta kurang kompetitif dalam bersaing memberikan yang terbaik terhadap pekerjaan. Sama ada alasan mereka berkenaan mereka yang tidak lagi dipeduli oleh majikan atau sekadar menerima hakikat bahawa keputusan telah dibuat maka betapa mereka berusaha memenangi hati majikan dengan usaha segigih mana pun akan tetap tidak diendahkan. Dalam isu ini, majikan perlu berfungsi selaku ibu atau bapa kepada anak-anak yang setiap mereka punya perbezaan dan menghormati perbezaan itu seadaanya tanpa memilih antara mereka atau mengabaikan yang lain.

Membangunkan satu suasana pekerjaan yang sempurna dalam erti mewujudkan sebuah kota syurga yang indah, nyaman dan kondusif bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, kewajaran setiap individu menjalankan tanggung jawab masing-masing adalah sangat perlu dalam usaha ke arah itu. Masih ada beberapa isu yang mahu saya kongsikan buat entri kali ini, dalam konteks tajuk ini. Pun begitu, atas kesempitan masa dan ketidak dapatan tertentu, cukuplah setakat ini. InsyaAllah, ada masa saya sambung semula. Semoga apa yang dikongsi di sini dapat kita pelajari bersama.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"