viewers

Wednesday, September 25, 2013

Puisi: Lari Dari Tepi

Dari tepi kita berlari.
Tunduk berkali untuk mencari.
Dari dalam timbusan pasir yang seni.
Kulit siput yang mungkin bererti.

Pantai hidup ini.
Pesisir jauh tidak terhenti.
Ombak memukul ke kaki.
Dari ufuk merahnya mentari.

Kadang-kadang lari itu seronok.
Dari kancah benci dan hiruk pikuk.
Kadang-kadang apa kita perlukan adalah sisi yang berbeza.
Sudut yang lain daripada biasa.
Kadang-kadang kita berdiam diri.
Dari jauh kita memerhati.
Kita taruh apa yang telah terpatri.
Kita abaikan apa yang sudah terjadi.
Dan kita belajar bermula dari sini.

Kita berdiri.
Tetapi kadang-kadang kita cuba lari.
Kita di sini.
Tapi mungkin hanya untuk memerhati.

Cuba berlari dari tepi.
Pandang dari luar persepsi.

Hanam Hamid
932pm
September 9, 2013.

Ada ceritanya. Tetapi rindu memerhati mentari Krabi.

Saturday, September 21, 2013

Belanjalah Diri Sendiri

Kadang-kadang, berkerja menjadikan kita rendah. Rendah pada motivasinya, rendah pada kerelaan hati.

Saya tidak pasti, malah barangkali sukar untuk memahami betapa payah anda menjalankan tanggung jawab di tempat kerja. Mungkin anda tersisa dengan dateline atau tugasan yang bertimbun. Sehingga kadang kala anda begitu sukar melaksanakan  ke semua tugasan yang diberikan. Lantas berhujan pula dengan leteran majikan anda. Di hujungnya, semakin pudarlah harapan memajukan diri dalam beroleh kenaikan pangkat atau kenaikan gaji. Perkara-perkara yang boleh menjadikan anda berasa lemah dan longlai. Setiap pagi, bangkit daripada tidur untuk ke tempat kerja adalah seperti suatu daya yang melemaskan anda ke dasar lautan samudera yang dalam.

Mungkin banyak yang kita harungi, tetapi tak semua mudah fahami.

Saya sukakan kerja saya sekarang. Biarpun kadang-kadang berasa susah menginjak kaki sepenuhnya di tempat kerja. Meski terkadang terpaksa berhempas pulas menyiapkan tugasan yang berikutan. Kerja-kerja yang komitmennya harus diberi sepenuh hati, berkesinambungan. Malah yang lebih memeritkan, usaha yang berkali-kali dikerahkan, berakhir dengan output yang mengecewakan. Masa, tenaga dan peruntukan terbazir. Sekali lagi, persepsi negatif orang yang tak memahami paling menyakitkan. Paling merendahkan semangat.

Saya benar-benar menghargai, malah sangat mensyukuri nikmat dalam menjalankan tanggung jawab saya sekarang. Kadang-kadang terpaksa lampau masa sehingga kesempatan rehat dan makan tengah hari terpaksa diabaikan. Kadang-kadang kerja disegerakan daripada pukul 715pagi sehingga lewat petang. Kita cuba mencukupi masa, mengurusnya dengan baik, tetapi tidak dapat lari daripada kesulitan yang boleh tiba-tiba datang dan singgah tanpa diduga. Kita sedar, ada masanya kita dapat berehat lebih lama, masa lebih luang dan lapang, namun kadang-kadang usaha dan tenaga, malah masa terpaksa diberikan lebih daripada sepatutnya. Tetapi itu tak bermakna kita perlu segera lepas dan lemas. Kita kuatkan semangat, dan cintai kerja kita.

Benar, kadang-kadang terasa diri kita begitu 'underappreciated', kerja yang diberikan sebaik-baiknya dilabel renyah dan tak bermakna. Malah rakan setugas sendiri boleh merendah-rendahkan kita. Apatah lagi jika ia adalah orang atasan kita. Pernah saya ditanya oleh sahabat saya. Beliau merupakan orang besar dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Ragunya, apakah saya menyumbang kepada negara? Jika difikirkan terkilan juga di sudut kecil hati, mungkin saya tidak sepertinya yang membuat keputusan untuk menjana pendapatan negara ke peringkat lebih tinggi, namun saya percaya, sekecil-kecil peranan saya, negara, malah ratusan ribu manusia di negara ini, atau mungkin serata dunia ada menaruh harapan akan usaha saya.

Saya bukan ketua dalam pentadbiran negara, bukan doktor atau penganalisis ekonomi. Tetapi dalam bidang saya, saya yakin ada cara untuk saya membantu negara dan bangsa saya. Komuniti saya mendambakan kemajuan dalam bidang saya. Bayangkan jika serpihan data kajian saya akhirnya berjaya melunaskan penyakit tanaman, bukankah jutaan ringgit mampu dibiakkan? Bukankah jutaan nyawa dan pendapatan rakyat mampu diselamatkan? Mungkin peranan saya kecil, tetapi niat saya, demi Allah, adalah bagi mereka memperoleh pelbagai kelebihan dan keistimewaan dalam hidup. Kecil, tetapi menyumbang. Dan dalam cara saya.

Apabila dipersoal, hati mula patah dan longlai. 

Saya percaya dengan justifikasi penciptaan manusia. Malah dalam banyak tafsiran Kalamullah, setiap antara kita diamanahkan dengan peranan tertentu. Mungkin yang di atas adalah untuk memimpin, dan di bawah untuk berkhidmat. Yang kecil untuk memberi idea, yang besar untuk mencari kata sepakat. Saya pasti, adalah peranannya saya di dalam dunia ini.

Sememangnya kita manusia penuh dengan kelemahan. Lemah dalam menjalankan usaha, lagilah lemah apabila usaha kita direndah-rendahkan dan dipersoal. Seringkali kita memberi sepenuh komitmen dan rasa cinta kita kepada tanggung jawab yang memberat di pundak, seringkali jugalah kita dipercil dan diperkota-katikkan. Namun usaha jatuh. Adalah anugerahnya untuk kita nanti.

Belanjalah diri sendiri. Itu perkara paling selalu saya lakukan. Kerana pahit payah dalam menjalankan kerja kadang-kadang memang tak terbendung. Sakitnya berat. Usaha tak dihargai, nasib tak menyebelahi, output tak begitu dipenuhi, dan kadang-kadang semua perkara tak menjadi, ada pula dugaan yang merintangi. Dan malamnya, saya belanja diri sendiri. Belilah apa-apa unttuk diri sendiri. Yang mana termampu dengan wang gaji. Yang mana terasa teringin diisi hati. Kadang-kadang jam baru atau baju untuk dipakai sehari-hari. Kadang kala masa riadah dan menuruti hobi. Dan ada juga, ambil masa pergi bercuti.

Betul kadang-kadang sengaja kita diuji. Amanah dan tanggung jawab memberat di sisi. Ambillah masa tingkatkan motivasi. Belanja sedikit demi memujuk hati. Biarlah habis sedikit duit gaji, asalkan hati sentiasa tersenyum bernyanyi. Daripada nanti, hilangnya keriangan dalam mencari rezeki.

Bukannya payah memberi kepada diri sendiri.

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"