viewers

Monday, November 2, 2009

KOPITIAM : LAYAR OKTOBER PENGLIPUR LARA


Kalau ada yang masih teringat kisah sejadah berdiri beberapa minggu lepas, mungkin sudah juga menyedari cerita sebenar di sebalik kejadian tersebut. Bak pujangga bersyair, usah diterbangkan layang-layang kalau anginnya belum bertiup. Kali ini, ada beberapa kisah lain ingin saya kongsikan bersama. Baiknya ada pelbagai genre yang bergaulan. Kita mulakan kisah tragedi Oktober yang saya tonton sendiri di hadapan kedua mata yang celik ini.

Tragedi Oktober.

Malam sebelum hari kejadian, saya bermimpi sesuatu yang aneh. Bagaimana plotnya tak dapat saya jelaskan secara terperinci, namun isinya saya melihat seakan-akan dunia ini bakal kiamat. Maka, pada malam itu, saya terbangun dalam resah dan penuh rasa keinsafan. Paginya, seperti biasa saya menurut jadual harian saya ke tempat kerja di hadapan Masjid Lubuk Jong, Pasir Mas.

Hari itu cuaca terik sang Suria menghembuskan nafasnya membahang. Pada pukul 2 ke 3 dalam perkiraan saya, tiba-tiba bunyi seperti ‘pop corn’ masak kedengaran. Asap tebal berkepul-kepul dilihat keluar daripada celah landskap hutan di hadapan kedai tempat saya bekerja, di hadapan masjid kampung kami. Segenap individu terpaku memandang ke langit seolah-olah disolek asap hitam tersebut. Lama memerhati, akhirnya saya ternampak marak api daripada pangkal asap itu. Apinya menjengah ke kanopi pohon durian berdekatan tingginya. Sah, ada rumah yang dimamah api!

Majikan saya yang bersama-sama puluhan pelanggan yang sedang kaget menonton santapan api itu segera menelefon anggota bomba berdekatan. Anggota bomba yang bertugas menyatakan akan menghantar kereta bomba apabila laporan tersebut disahkan. Jadi tunggulah kami menyaksikan kelahapan api membobrok rumah kayu milik Mama Dah yang juga berniaga di restoran di hadapan rumahnya. Jauh di lubuk hati saya, ada kutukan singgah pada penguasa bomba yang masih belum tiba meski enam panggilan sebelumnya telah dibuat.

Api yang marak akhirnya reda. Rumah yang dijilat hanya tinggal arang dan abu yang berterbangan. Siren bomba membingit telinga tiba apabila tiada lagi api yang boleh mereka padamkan. Hasil siasatan mereka menemui punca kebakaran adalah disebabkan cucu kepada pemilik rumah tersebut yang bermain api sehingga terbakar rumah berkenaan. Difahamkan juga, si kecil bermain sendiri apabila ahli keluarganya yang lain sedang sibuk berniaga di hadapan rumah. Si anak kecil datang mengadu “takut api” apabila yang kecil kawan itu sudah besar menjadi lawan. Takziah.

Tahukah engkau apa itu neraka Hutamah? (Iaitu) api Allah yang bernyala-nyala.”

-surah al-Humazah; ayat 5-6

Hujung Peluang.

Masalah kerja sememangnya keutamaan saya sekarang. Apa-apapun yang saya harapkan cuma beroleh suatu pekerjaan yang mampu menampung perjalanan hidup singkat saya ini. Berusaha sudah sehabis baik. Sayangnya tiap kali peluang datang semuanya jauh daripada capaian tangan. Ketika RISDA membuka peluang, informasinya saya terima pada hari terakhir permohonan dibuka. Sekali lagi berita baik datang daripada seorang sahabat di KL, jawatan Pegawai Sains di UPM. Malangnya, sekali lagi saya dimaklumkan pada hujung permohonan. Terus memohon meskipun peluangnya bagai tertutup terus.

Hampa. Lebih lagi, musim ini berduyun-duyun saudara mara berangkat ke Tanah Suci meninggalkan Mak dan Abah yang saya kasihi ini kekal di Malaysia. Saya selalu berdoa agar saya sempat membiayai mereka ke sana. Berapapun ongkosnya. Tapi entahlah. Dengan gaji 120 seminggu hasil kerja sambilan sekarang, paling tidak saya hanya mampu meringankan beban Abah membeli barangan dapur atau sekali-sekali belikan baju dan beg tangan murah buat Mak. Teruslah berdoa.

Kemenangan Red Warriors dan Kekalahan The Reds

Bola sepak bukan kegilaan saya. Sekadar suka-suka, saya mula berjinak-jinak meminati pasukan tertentu dalam aksi liga yang tertentu. Liverpool misalannya, menjadi pasukan pertama saya gemari selepas England. Kejutan demi kejutan dipaut mereka dulu kian hambar dalam Liga Juara-juara pada musim ini. Apalah sebabnya, saya buntu. Mungkin bukan lagi pertaruhan yang baik. Sokongan saya masih pada mereka meskipun tersungkur 3-1 dek penangan Fulham. The Reds perlu mara lebih garang!

Bercerita tentang 3-1, angka sama menjulang Red Warriors ke perlawanan akhir bertemu Negeri Sembilan Sabtu nanti. Bayangkan selama 39 tahun selepas jatuh dari zaman kegemilangannya, pasukan Kelantan kini mencipta sejarah kembali berentap di perlawanan akhir. Biar apapun kata orang dan ‘kes-kes’ yang menyulam musim ini, Kelantan patut dipuji kemampuan mereka pada musim ini.

Kalah menang hujung minggu nanti bukan lagi persoalan kerana mereka telah membuktikan mereka lebih baik daripada sebelumnya. Melihat kepada kemampuan Negeri Sembilan, saya sedikit gugup bersama Kelantan. Namun, pasukan Kelantan harus bernas dan lincah pada aksi akhir nanti memandangkan mereka mungkin tidak dapat bertanding pada musim depan setelah kes-kes lepas yang menyulitkan mereka. Apa-apapun, Gomo Kelate Gomo!

Mengumpulkan syiling luar negara.

Bergiat dalam pertanian.

Terus gagah melakarkan pena di lembarannya.

2 comments:

mr reed said...

aku suke karya2 ko la...teruskan usaha...

mic in my earphones said...

berikan ak sepuluh sbb knapa ko merasa suke dgn karya2 ak....

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"