viewers

Tuesday, February 17, 2009

FAKTOR PILIH KERJAYA


!

FAKTOR PILIH KERJAYA

<>


Apakah cita-cita anda? Adakah laluan yang anda jalani kini adalah jalan yang tepat bagi anda menggapai cita-cita tersebut? Maka, atas alasan apakah apabila anda begitu pasti mengubah cita-cita anda demi suatu kerjaya yang baru? Atau pun, atas sebab yang manakah anda begitu pasti, meletakkan kesetiaan bagi terus merealisasikan impian tersebut?

Tahukah anda, 3.4% daripada rakyat Malaysia yang menganggur sekarang menerima perangkaan sebanyak 923780 orang yang tidak mempunyai kerjaya. Malah, antara selebihnya 96.6% yang dikatakan berkerjaya, lebih daripada 53.6% berada dalam keadaan tertekan dan lebih sedia menukar kerjaya jika diberikan peluang. Lebih menarik, hampir semua jumlah pendatang asing khasnya pendatang tanpa izin mendapat pekerjaan dengan gaji yang mampu memuaskan hati mereka. Dalam jumlah yang sama, mereka telah mengisi sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah pengangguran di Malaysia. Persoalannya, mengapakah wujud situasi sebegini? Adakah benar dakwaan pihak berwajib akan senario pilih kerja oleh rakyat Malaysia khususnya graduan universiti? Ataukah suatu kepastian akan suara pihak penganggur akan sikap majikan yang lebih mementingkan orang luar berbanding rakyat sendiri? Bersama wartawan kami, Muhammad Hanam Hamid, mengupas isu yang tidak pernah selesai ini.


FAKTOR PILIH KERJAYA.

Menghurai dakwaan pihak tertentu akan sikap penganggur khususnya daripada kalangan graduan ini, mahasiswa UKM, Mohd Fared Malek memandang sikap terlalu memilih kerjaya menjadi satu faktor utama kepayahan mahasiswa beroleh pekerjaan. Pun begitu, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan seseorang mahasiswa yang berpendidikan tinggi harus mementingkan status sesuatu profesion tetapi sepatutnya diperhalusi sebaiknya agar tidak berlakunya keadaan seperti mana ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Tambah beliau, seseorang mahasiswa harus bijak mengambil peluang yang ada di depannya, tanpa terlalu taksub mengharapkan kerjaya seperti mana bidang kursus yang dipelajarinya. Beliau yang juga mengagumi mahasiswa yang menjadikan bidang agrikultur dan perniagaan sebagai profesion pemula, turut menyatakan bahawa kebanjiran pendatang asing bukanlah suatu halangan yang besar buat golongan penganggur di Malaysia, tetapi seharusnya menjadi suatu penguat bagi mereka untuk lebih berusaha dan bijak merebut peluang yang ada.

Diajak berbual tentang punca bidang Sains Bahan yang diambilnya, beliau menyatakan bahawa bidang yang diambil olehnya bukanlah suatu penghad dalam memilih kerjaya masa depannya. Keadaan semasa baik jumlah kerjaya yang bersesuaian mahupun minat terhadap bidang tertentu menjadi faktor kepada pilihan kerjayanya. Bagi beliau, peluang yang ada ketika itu akan direbutnya tanpa mengira bidang ijazahnya meskipun terpaksa bekerja di stesen minyak. Malah beliau bangga untuk bekerja di stesen minyak sebagai pengepam minyak berbanding menjadi penganggur.

Lain pula bagi dua orang mahasiswa daripada Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Teknologi Kimia yang berpendapat bahawa keputusan sepatutnya dijadikan asas dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Mereka juga bersetuju bahawa selain faktor keluarga yang mungkin menentukan hala tuju kerjaya seseorang, keperluan gaji yang bersesuaian juga harus dipandang tinggi melihat kepada status masyarakat Malaysia yang kini kian meningkat. Mengulang ayat yang serupa, ‘Segalanya kerana wang’, Mohamad Hisham Romli, menganggap kebanyakkan perkara memerlukan wang serta pangkat yang boleh menjamin masa depan mahasiswa terutamanya kos sara hidup mahasiswa di universiti sudahpun dianggap payah dan sempit. Pun begitu, beliau setuju dengan keperluan terhadap peluang kerjaya juga penting selagi dapat menambah pendapatan seseorang. Masih dengan prinsipnya, beliau menyatakan, setiap individu mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mencari pekerjaan. Baginya, keperluan ijazah juga tidaklah begitu penting dalam mencari pekerjaan sebaliknya bidang kerja yang diceburi perlulah bersesuaian dengan keadaan semasa terutamanya dalam memberikan pendapatan yang cukup dan mungkin dapat menyediakan status pangkat yang sesuai dengan kerja yang diusahakan.


HALANGAN BERKERJAYA.

Melihat kepada situasi pekerjaan semasa, rakan beliau, Mohamad Noor Rapie, berpendapat bahawa pihak majikan terutamanya agensi-agensi besar daripada kumpulan swasta yang mementingkan pengalaman berbanding perkara lain termasuk latar pendidikan menyebabkan golongan mahasiswa sukar mendapatkan kerja yang diminatinya. Malah, isu melanjutkan had pencen/bersara seolah-olah terlalu taksub menyimpan orang lama sehingga kurang memberi tumpuan dan peluang kepada muka-muka baru yang rata-ratanya daripada kelompok mahasiswa.

Perkara ini dilihat mereka seolah-olah kepentingan pengalaman serta peningkatan had umur persaraan menidakkan graduan yang memohon pekerjaan bagi mendapatkan pengalaman pertama mereka bekerja dalam sektor yang mereka ceburi. Malah, sesetengah pihak yang mementingkan keupayaan menguasai bahasa sekunder dan status bangsa dalam menggaji pekerja seharusnya diambil fokus yang serius kerana perihal ini dianggap sebagai suatu dikriminasi bangsa atau racisme terhadap rakyat di negara sendiri. Penguasaan pelbagai bahasa khususnya apabila menyentuh sesetengah agensi atau syarikat dalam bidang tertentu sewajarnya diambil berat kerana keperluan penguasaan bahasa yang pelbagai mungkin melibatkan kemudahan berurusan dengan pelanggan mereka daripada pelbagai negara. Namun penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa universal tidak seharusnya menjadi halangan bagi individu tanpa penguasaan bahasa yang lebih luas. Lagi pula apabila isu ini turut menyentuh sentimen bangsa yang jelas sekali merujuk kepada dikriminasi seperti mana dasar Apartheid diamalkan dahulu.

Agensi-agensi besar di negara ini yang mengamalkan pengambilan pekerja secara ‘kabel’ turut menjadi penyebab kesukaran graduan lepasan universiti mendapatkan pekerjaan secara adil dan saksama terutamanya bagi mereka yang tiada kenalan di tempat yang berkenaan. Isu kemasukkan pendatang tanpa izin yang jelas tidak pernah selesai diperdebat di mana-mana institusi turut menjadi faktor yang paling hangat menghalang graduan ini mendapatkan kerja yang diingini. Bagi mereka, kehadiran pendatang asing bukan sahaja mengurangkan peluang yang ada, malah turut menutup ruang pada sektor kelas ketiga bagi graduan yang baru belajar menceduk pengalaman bekerja.


PEKERJA PATI.

Isu akan kehadiran pendatang asing yang rata-ratanya masuk secara haram mahupun menggunakan pas pelawat/pelajar bagi menghuni Malaysia dan mendapatkan pekerjaan di sini merupakan isu yang sering kali dibincangkan baik di institusi besar seperti dalam Parlimen sendiri mahupun melibatkan skala yang lebih kecil seperti di sekolah-sekolah. Bagi graduan yang bakal melangkah ke alam pekerjaan, isu ini nyata memberi kesan yang mendalam bagi mereka mendapatkan pekerjaan. Meskipun kebanyakan pendatang tanpa izin (PATI) ini bekerja dalam sektor kelas ketiga seperti buruh binaan dan pembantu rumah, kebanjiran mereka turut menjejaskan peluang pekerjaan masyarakat tempatan dalam bidang tertentu. Salah seorang mahasiswa yang ditemu ramah menyatakan kekesalannya dalam usaha kerajaan yang masih kurang efektif dalam menangani masalah ini. Bijak berbicara tentang masalah ini dalam menghakis peluang kerjaya setempat, Muhammad Hanam Hamid, Yang Di-Pertua Kelab Bioteknologi Tumbuhan, Universiti Kebangsaan Malaysia ini menganggap kehadiran PATI mampu meloloskan peluang graduan serta turut sama menyebabkan berlakunya dominasi pekerjaan oleh golongan ini. Menyusun isi hujahnya, Hanam menganggap beberapa pekerjaan yang didominasi pekerjaan asing seperti buruh binaan, pembantu rumah dan terutamanya perniagaan kecil memungkinkan perkembangan pekerjaan ini oleh graduan bakal terjejas. Sebagai contoh, kebanyakkan pelajar khususnya graduan daripada bidang perniagaan, katering dan lain-lain kursus yang berkenaan bakal mendapat saingan yang besar.

Merujuk kepada pendapat responden lain, Hanam percaya bahawa usaha para graduan bagi menceburi bidang perniagaan akan menerima saingan daripada pelbagai segi. Bercakap dalam ruang sempadan yang lebih luas, Hanam menyentuh permasalahan ini bukan sekadar melibatkan graduan malah pekerja kelas ketiga lain yang terdiri daripada rakyat setempat terutamanya kaum Bumiputera sendiri. Beliau melihat masalah ini akan sekaligus menjejaskan fokus industri pembangunan negara terutamanya apabila golongan PATI mula mendominasi sektor tersebut. Bukan sahaja membawa penyakit dan jenayah yang tanpa kita sedari turut menjelajah bersama mereka, malah dominasi mereka bakal memaksa mereka suatu masa menekan kerajaan mengiktiraf hak mereka dengan menganggap mereka telah memberi sumbangan besar dalam membangun negara yang tercinta ini. Maka di situ, masalah seperti ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ bakal terjadi. Hanam menyudahkan hujahnya dengan, “maka, biarkan anak-anak kita mewarisi istilah pengangguran sebagai profesion generasi baru, dan teruslah menggaji PATI sehingga suatu masa mereka bangkit menjawat peranan eksekutif dan mentadbir negara kita”.

Selain menyentuh isu PATI dalam isu cabaran mencari profesion yang sesuai, Hanam turut bercerita tentang peranan kerajaan dalam membantu para graduan ini. Dimulakan dengan ucapan terima kasih yang tak terhingga buat kerajaan dalam usaha mengurangkan pengangguran di kalangan graduan, Hanam meneruskan luahan suara hatinya menyatakan betapa kerajaan seharusnya fokus terhadap setiap usaha yang dijalankan bermula daripada akar umbinya dan berakhir sehingga tercapai matlamatnya. Kecewa dengan beberapa langkah kerajaan tak ubah seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’, pelajar ini bercerita tentang usaha kerajaan dalam memperdalam dan memperkasa bidang teknologi biologi (atau bioteknologi) ini semakin pudar warnanya. Jika dulu pelbagai kempen, usaha serta peruntukkan yang disediakan kerajaan, kini kerajaan mulai lupa akan matlamat sebenar walaupun bidang ini masih amat baru untuk diterokai. “Bayangkan, seawal 2006 yang mana saya baru sahaja mendaftar bagi menceburi bidang ini, pelbagai usaha jelas digiatkan oleh kerajaan. Di mana-mana tempat dan media bercerita tentang bioteknologi dan kepentingannya kepada negara. Kini, semasa saya di tahun akhir, dua tahun kemudiaannya, segala usaha yang dijalankan hanya tinggal angan yang entah apa ceritanya kini”. Secara ringkas, beliau melihat kita mudah cenderung kepada sesuatu kita rasakan perlu dan mudah juga melupakannya. Sebagai contoh, apabila angkasawan negara. Dr. Sheikh Muzaffar yang telah mengharumkan nama negara, kita terkejar-kejar menubuhkan pelbagai organisasi dan institusi aeroangkasa dan astronomi sedangkan bidang yang terdahulunya kita canangkan perlu dipinggirkan tanpa fokus.

Secara kolektif, cabaran dalam mencari pekerjaan bukanlah semudah A,B dan C. Sebaliknya, dalam mendapatkan pekerjaan yang diingini, pelbagai halangan mungkin mendatangi kita. Bermula dengan keluarga yang pelbagai latar belakang dan pendapat, kecenderungan kendiri, faktor sekitaran dan semasa, sehinggalah peluang dan saingan daripada pelbagai lapisan masyarakat serta kemudahan dan keboleh dapatan profesion tersebut. Waima apapun cita-cita yang diingini, segalanya bukanlah terjamin dalam telapak tangan kita yang tergenggam, tetapi segalanya terserah kepada Dia yang Maha Menentukan. Pun begitu, kita perlu percaya, setiap yang ditakdirNya adalah suatu keindahan di atas kebijaksanaanNya bagi memberikan yang terbaik buat hambaNya. Maka dengan itu, haruslah kita bersyukur dengan apa yang dianugerahkanNya kepada kita. Dalam melakukan sesuatu pekerjaan, lakukanlah dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggung jawab serta dengan curahan usaha dan kasih sayang yang berterusan. Apabila rasa ingin terhadap sesuatu pekerjaan yang lebih baik, maka berusahalah sebaiknya tanpa mengeluh serta beristiqamahlah mendapatkannya. Jika masih sukar untuk digapai, maka teruslah bersyukur dan pasrah dengan kuasaNya.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"