viewers

Thursday, March 3, 2011

Cerita Hati dan Masjid

CERITA HATI DAN MASJID.

Rasanya, malu dan segan bila hati kecil meruntun, memohon artikel ini ditulis. Satu sebabnya, saya bukan seorang yang warak, pada tempatnya melontarkan hujah yang tak padan pada isi ibadat saya. Cuma yang menggamit rasa saya, adalah keinginan berkongsi ilham dan cetusan pengetahuan yang saya temui.

Lantaran kebanyakkan ceramah dan majlis ilmu yang saya hadiri, *sejujurnya, banyak yang saya maksudkan tak sebanyak mana, kerana saya sendiri bukan muslim yang setia mengikuti ceramah agama,* rata-rata penceramah sering menyatakan kerisauan akan anak-anak belia yang jarang bertamu di rumah Allah dalam menjalankan tuntutan agama dan beribadat. Fenomena yang jelasnya, bukan sekadar anak belia, malah bapa-bapa belia juga kadangnya turut menyumbang angka.

Baru-baru ini, saya terbaca sebuah artikel Majalah Solusi, di sebuah Pusat Perubatan Islam di Bangi yang terkandung isi peristiwa catatan penulis dengan pena Bilal Moden (atau Imam Moden, kalau tak silap saya), menyentuh isu mendekatkan jiwa belia dengan masjid.

Apa yang menariknya artikel berkenaan mengupas antara faktor yang menjadi jurang antara masjid dan jemaah khususnya generasi belia. Berikut antara sedutan dan rumusan yang saya perolehi daripada artikel berkenaan:

1. Panjangnya surah, panjangnya doa. Antara babak yang dikemukakan penulis adalah peristiwa kebanyakkan makmum terpaksa beratur panjang untuk bersolat di kawasan surau yang sempit dek Pak Imam yang mengemudi solat membaca surah yang terlalu panjang dan doa selepas solat berjela-jela. Natijahnya, ramai antara yang menunggu giliran bersolat di surau yang sempit seperti di kompleks membeli-belah terpaksa berkejaran dengan waktu solat yang pendek seperti waktu solat Maghrib kerana jemaah pertama pun sudah memakan masa kadang-kadang sehingga 20-30minit. Dalam artikel berkenaan turut menyebut kata-kata Imam, “Kalau beribadat nak cepat sahaja, tengok wayang tak apa pula lama-lama”. Penulis kemudian menjelaskan betapa Si Imam menggunakan isi yang hakikatnya benar tapi pada situasi yang mungkin tidak relevan. Kebimbangan penulis lebih kepada kemungkinan jemaah seterusnya terpaksa berlarian mengerjakan ibadah kerana bimbang tidak sempat memenuhkan rakaat sebelum masa tamat. Malah, dirisaukan juga jika ada yang lebih senang menolak untuk bersolat dek risau tidak sempat melakukan aktiviti tertentu walaupun pada asalnya cuba mengerjakan solat.

2. Mesra warga emas dan tak bekerja, bukan anak muda dan orang yang kerja. Mesra yang dimaksudkannya lebih kepada isi ceramah dan ketetapan masa. Penulis bercerita tentang kebanyakkan isu yang dikupas dalam ceramah kadangnya terarah kepada ‘pak cik-pak cik’ dan ‘mak cik-mak cik’ serta skop yang terlalu sempit. Penulis turut menyampaikan keinginan belia yang biasanya lebih meminati isi ceramah yang berkaitan dengan hidup mereka dan berbentuk lebih kebelianan. Ada juga dinyatakan jadual sesuatu ceramah itu tidak sesuai dan memakan masa yang terlalu lama sehingga golongan yang sibuk dan mereka yang bekerja mengikut masa terpaksa meninggalkan majlis. Lama-lama, mereka menjadi tawar hati untuk menghadiri ceramah kerana sering kali terlepas mengikuti setiap perjalanan ceramah. Mungkin, ada selang masa yang boleh dimanfaatkan bagi menyampaikan ceramah seketika sejurus sebelum solat Jumaat contohnya, biarpun Cuma sekejap, namun isi yang padat pasti mampu menawan hati jemaah.

3. Berbentuk kritikan, sindiran dan kutukan. Barangkali ada betulnya isi ini kerana apabila mnyentuh sesuatu isu, kumpulan sasaran yang dikutuk dan dipersalah selalunya adalah anak muda. Setiap salah dan kelemahan dijadikan alasan jutaan hinaan dihujankan. Saya sendiri sentiasa berada dalam kelompok demikian. Setiap kali gejala moral disentuh, bergemalah suara, “apa nak jadi dengan budak-budak sekarang! Macam orang tak ada ilmu pengetahuan, lembu kadang-kadang lagi bijak...”. Pelbagai bentuk ayat lain sering diutarakan yang jelas menyalahkan belia semata-mata sehingga kadang-kadang kita lupa, belia, mahupun golongan tertentu adalah manusia biasa yang tidak sempurna dan mungkin terlalu baru menghirup udara dunia. Seharusnya golongan yang silap jalannya didekati dengan baik dan ditunjukkan jalannya, bukan dihina dan dikeji sebegitu rupa. Andai saya sendiri dihina sedemikian rupa, mungkinkah saya tega pergi ke rumah Allah yang dijanjikan ketenteraman jiwa, hanya untuk terus dimaki dan dikeji sedang saya masih boleh beribadat di rumah? Walaupun hakikatnya mengimarahkan rumah Allah itu lagi dituntut Islam? Pendekatan yang baik sepatutnya mendekatkan, bukan menjauhkan.

4. Sikap jemaah lain. Peristiwa yang nyatakan penulis ini, saya percaya antara kejadian yang pernah juga kita alami terutamanya ketika solat jemaah. Pertama, selalu juga apabila kita sampai awal di Masjid, meletakkan kenderaan pada tempatnya, dan apabila ingin pulang, ada sebuah kereta lain menghalang jalan kita. Lebih haru, kita perlu bergegas pulang ke pejabat, pemilik kenderaan yang tidak pernah kita kenal, lama pula beriktikaf dan bersolat sunat. Penulis ada mengajukan persoalan, betapakah perlu kita yang mengejar ibadat sunat, sedang ada antara jemaah lain kita susahkan, selain ratusan maki hamun mengalungi kita? Sama-sama kita fikirkan. Ada juga pada hemah saya, sesetengah antara kita yang kerap mencuri selipar jemaah yang lambat keluar kerana bersolat sunat. Bukankah sikap ini menjadikan kita yang suka bersolat sunat selepas fardhu, terasa juga sedikit bimbang dan tidak tenteram untuk lama di rumah Ilahi? Biarpun hanya sepasang selipar, kita yang mungkin berjalan kaki jauh daripada rumah tidak sanggup berkaki ayam balik.

Tuntasnya, bukan cuba menyalahkan sesiapa atau mencari seribu alasan menghunikan hati dengan rumah Allah, tetapi sekadar meluahkan rasa betapa perlunya kita mengurangkan faktor-faktor remeh sebegini daripada menjunamkan keinginan memajliskan masjid. Jika kita antara yang berkuasa atau menjadi faktornya, baik juga kita menjadi lebih mesra, ramah dan bertoleransi dengan jemaah masjid kita. Jika mampu, ambil teladan sikap Rasul Allah yang mempercepat dan memendekkan bacaan apabila jemaah sedang menggelisah atau terdengar anak kecil menangis. Malah, Nabi Muhammad SAW juga senantiasa peka dengan keadaan jemaah yang kurang mampu lama berdiri atau sedang sakit. Bukankah baginda sebaik-baik ikutan?

Kadang kala, kita perlu memikirkan, bukan sahaja mencari jalan mendekatkan hati jemaah atau belia dengan masjid, tetapi mendekatkan juga hati masjid kepada golongan jemaah.

p/s:

Percaya Islam itu memudahkan.
Percaya Masjid itu rumah yang sempurna dan menyempurnakan.

2 comments:

insanbiasa said...

Pertama sekali, terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu yg telah anda perolehi dalam artikel tersebut... Perbincangan yg sgt baik dan olahan yg menarik drpd anda... saya bersetuju dengan 4 point tersebut...
xbnyk yg sy dpt komen...
1.ingin saya menambah sedikit, walaupn lari tajuk(hehe)iaitu mengenai kemudahan2 di kebanyakan kompleks2 beli belah yg blh saya katakan xberapa mesra 'Islam'. pertamanya isu yg diperkatakan dlm point pertama iaitu surau sempit. keduanya tandas yg juga 'tidak mesra' cthnya, tiada paip air(yg ada hanya pancuran utk flush bowl, bknkah menyusahkan kita utk beristinjak dan bertharah utk bersolat?... persoalan saya, wujudkah pihak yg bertanggungjawab utk mengatasi kemaslahatan ini?...
4. bukan masalah mengejar ibadah sunat, tetapi masalah individu itu sendiri yg tidak memikirkan org lain... tiada masalah jika ingin mengejar ibadah sunat selagi tidak menyusahkan org lain.. ini pandangan saya, jika salah tlg betulkan...
sekian... wassalam...

mic in my earphones said...

insan biasa,

terima kasih kerana sudi membaca dan memberikan luahan rasa serta pendapat.

apa yg anda nyatakan sgt bernas. cuma pada saya, artikel ini asasnya menyentuh mereka atau kita yang terkadangnya terlalu ghairah mencari sesuatu yg akhirnya memberikan kesusahan utk org lain.

artikel ini berhak utk mengharap, sedikit sebanyak isu kecil sebegini diselesaikan bg memenuhkan hati belia dengan masjid.

hakikatnya betul anak muda sendiri perlu cenderung utk mengimarahkan masjid, namun bagi yg mampu mnarik mereka, bukankah jln sebegini ada baiknya?

kemudahan di konpleks? itu mungkin lain kali sahaja saya kupaskan. insyaAllah.

point 4. satunya, jika kita sedar kita mungkin akan susahkan org, cpt2lah alihkan kereta. kmudian sambunglah solat sunat kalau ingin.
mmg benar mengejar yg sunat, tp bukan sbgai alasan menyukarkan kewajipan insan lain. kerja kan tanggungjawab, kalau kita menghalang kerja org lain, bukankah sia2 ibadah sunat kita dek makian org lain?

apa2pn terima kasih berkongsi pandangan.

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"