viewers

Thursday, September 18, 2014

Kita Cuma Saintis Sahaja

Gambar hiasan
 
Dah hampir setahun tak menulis di sini. Walaupun seringkali idea dating melimpahi ruang benak, selalu diabaikan sahaja. Paling tidak, berleter panjang di ruang muka buku. Tetapi kali ini rasa rindu dating balik. Mungkin dalam kesempitan masa yang menghimpit, kala penat menjaring thesis dan journal untuk ijazah sarjana ni, rasa rindu itu kembali.
 
Kadang-kadang mahu juga melemparkan apa yang terlekat dek balik otak, yang jarang orang katakan. Malah yang lebih dekat dengan kita.
 
Saban masa, rasanya sesak di rongga minda bila bertemu rakan-rakan. Bukan apa, selalunya mereka berborak tentang sesuatu yang bukan kita. Malah lebih menyesakkan bila perihal kita, selalunya mereka angguk dan geleng tanpa memahami apa-apa.
 
Ya, barangkali mereka itu siapa? Kita hanya saintis saja.
 
Apakah Saintis tidak menyumbang apa-apa kepada negara dan masyarakat?
Pernah suatu masa seorang kawan, kerjanya gah mengukuhkan ekonomi negara, bertanya kepada saya ketika kami sedang enak menjamu kek di Secret Recipe.
 
"Apa sumbangan kamu kepada negara sebenarnya?"
 
Gambar hiasan
Haruslah, pertanyaan itu berbaur sinis tetapi curious. Dan bagi empunya diri, ada sedikit amarah terpercik. Tetapi dengan sabar dan penuh passionate, saya menjelaskan dalam konteks mudah.
 
Saya bercerita sedikit tentang kerja penyelidikan saya. Megulas lebih lanjut tentang kejatuhan eksport dan serangan wabak penyakit. Lalu, sedikit demi sedikit menggubal idea akan nilai tokok kerja saya kepada kelangsungan ekonomi negara. Ada juga saya merendah diri menjelaskan bahawa kajian penyelidikan bersifat time-based dan berjangka masa panjang. Tuntasnya, pencapaian satu projek masih jauh jalannya bagi meleraikan kekusutan awal masalah yang timbul.
 
Dia mengangguk perlahan, tetapi di sanubarinya dapat saya agak masih tidak berpuas hati. Ya, kerja penyelidikan seperti kami tidak menjanjikan untung 2 juta dalam masa sebulan, atau vaksin ebola lengkap dalam satu percubaan. Tanyalah Thomas Edison selama mana beliau bergelap sebelum cahaya dinyawakan oleh tenaga elektrik.
 
Mereka tidak faham?
Dalam ketika merasa murung bila mana terpaksa bercakap seperti tunggul kayu kepada rakan-rakan rapat di tempat melepak, yang lebih sadis apabila nilai seorang saitis itu diukur oleh ahli politik.
 
Saya tidak mahu bercakap tentang isu politik. Malah menunding telunjuk ke sana-sini. Tetapi hakikatnya, bidang sains dan penyelidikan makin lama makin sunyi. Kita sibuk dengan pelbagai peluang dan kepesatan teknologi (termasuk bioteknologi-which is mine), tetapi kian hambar pula bagi kita; seorang saintis melihat ketaksuban penggubal dasar ini merencanakan lebih peluang untuk kita bermain pipette dan membedah gen.
 
Baru-baru ini, yang mana pernah saya ulas panjang di ruang FB saya, ada YB yang mengkritik ketidak berhasilan bidang R&D di Malaysia. Katanya kurang produk dan hasilan positif. Saya separuh bersetuju tentang itu.
 
Gambar hiasan
Satunya, bidang ini, seperti saya nyatakan sebelumnya, bukan hari ini menanam esok boleh menuai. Penyelidikan juga umpama jaringan benang yang selembar cuma tak cukup untuk mengait kain.
 
Duanya, setiap hasil tidak sentiasa menumbuhkan produk. Adakalanya berbentuk basic knowledge yang mana bertindak sebagai penentu kira dalam serpihan-serpihan kecil sebuah hasil yang diingini. Andaikan kita mencari vaksin kepada AIDS. Kajian selama lima tahun barangkali sekadar membuktikan virus AIDS mempunyai struktur tertentu dalam menjalankan proses infeksinya. Dari situ, kajian seterusnya dilakukan untuk tujuan prevention, atau dismantle, atau eruption, ataupun untuk tujuan penyembuhan. Ini sekadar contoh.
 
Pokoknya, kerja kita tak selalunya berbuah ikut musim.
 
Dan bilamana mereka tidak faham, maka kerja kita jadi lebih payah. Payahnya kerana kita terpaksa mengikut mereka yang tidak sama dengan keperluan kita. Atau keperluan bidang kita.
 
Samalah seperti membeli kereta kepada seorang bayi. Tidak, bukan kereta mainan.
 
Bukan kerja popular.
Siapa sahaja kenal saintis? Lagi-lagi di Malaysia. Kalaupun disebut nama-nama tokoh penyelidikan di serata dunia, saya percaya masih ramai yang berkerut dahi.
 
Ya, di Malaysia, saban tahun kita ada anugerah buat saintis. Sama seperti Sasterawan Negara dan Anugerah Sukan. Kurang sedikit dibandingkan dengan Anugerah Bintang Popular atau Anugerah Juara Lagu.
 
Kita juga berhasil, dan memberi makan kepada rakyat. Ada sebahagian kita membantu memberi rasa kepada beras yang kita makan seharian. Ada di antara kita yang memastikan bekalan pisang goring kita sentiasa cukup. Dan ada di antara kita yang berusaha menghasilkan kemudahan untuk menyenangkan kita menjalankan kerja.
 
Tetapi siapa sahaja antara kita yang kenal tokoh Saintis negara hari ini? Saintis dunia paling tidak pun yang terpaksa dihafal di muka surat buku teks. Yang kita kenal Siti Nurhaliza, Imam Muda Asyraf, Anwar Ibrahim, Lee Chong Wei, tetapi ada sesiapa pernah dengar nama Prof. Dr. Abdul Latif Ahmad?
 
Ya, kerja kita bukan kerja yang cari glamour. Kerja kita seringkali tersembunyi di balik kot makmal dan timbunan kertas penyelidikan. Nama cuma dikenali mereka yang terpaksa membaca kertas jurnal yang disarankan pensyarah mereka. Ironinya, matapelajaran sains cukup gah di bangku sekolah.
 

 


Gambar hiasan
 
 
Kerja seorang saintis.
Tidak, kita tidak minta dilambung tinggi. Kita juga tidak cuba berperang kepentingan. Cuma kita mahu semua sedar, kita juga wujud dalam kalangan masyarakat. Bersama simbion dan memberi impak.
 
Jadi, apabila kita bercakap di tengah ramai, orang tidak melopong kehairanan. Orang tidak merasa sangsi, bahawa kita ini umpama parasite yang menyedut darah khazanah tetapi memberi kebaikan tiada. Kita juga ada fungsi.       
 
Tiga saintis Negara terkemuka di dunia: Prof. Dr. Abdul Latif Ahmad, Prof. Dr. Ishak Hashim, dan Prof. Dr. Saidur Rahman.
 

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"