viewers

Monday, October 5, 2009

MEREKA YANG MENGGANYANG MALAYSIA?



Ketika isu Ganyang Malaysia dicanang semula beberapa minggu lalu, saya terimbau semula istilah yang sama digunakan puluhan tahun dulu semasa pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Bezanya cuma, konfrontasi Indonesia yang menentang penubuhan gagasan Malaysia yang dilancarkan pada 20 Januari 1963 itu didasari kuasa tertinggi Indonesia yang didokong fahaman Parti Komunis Indonesia.

Meneliti semula sejarah Konfrontasi Indonesia yang membimbangi pengaruh komunisme di Asia Tenggara terjejas akibat persekutuan Malaysia ini, kerajaan Indonesia akhirnya melancarkan penentangan secara terbuka keoada penubuhan gagasan Malaysia pada Februari 1963. Kencaman Ganyang Malaysia tidak lahir sekadar perarakan tidak puas hati sahaja, malah kian diperhebatkan selepas penubuhan Malaysia 16 September 1963 dengan serangan hendap tentera Indonesia mulai November 1963 hingga 1964 yang mana tentera-tentera Indonesia mula mendarat di sekitar Pontian, Labis, Muar dan Kota Tinggi, Johor pada 1964. Pengintip-pengintip daripada Indonesia juga dihantar untuk menubuhkan pertubuhan sulit bagi menggulingkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Malah, pertubuhan ini membangkitkan sensitiviti Melayu-Cina bagi merombak kesepaduan rakyat Malaysia.

Tidak tahan dengan kedegilan dan keegoan Indonesia mengecam gagasan Malaysia, kerajaan kita menyatakan bantahan rasmi kepada Setiausaha Agung PBB mengenai campur tangan Indonesia ini melalui Menteri Dalam Negeri tatkala itu, Dato’ Dr. Ismail Abdul Rahman. Malah, kerisauan Malaysia terhadap pencerobohan tentera Indonesia di Malaysia membawa kepada penubuhan Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) yang juga dikenali sebagai Askar Wataniah yang ditubuhkan pada akhir 1963 dan awal 1964 bagi menangkis serangan gerila Indonesia.

Melihat tekanan daripada kerajaan Persekutuan Malaysia, Indonesia memburuk-burukkan pula gagasan ini di mata negara-negara dunia ketiga dan Afro-Asia. Malaysia membalas dengan menghantar pula perwakilan di bawah Dato’ Abdul Razak ke negara-negara Afrika bagi menjelaskan kedudukan penubuhan Malaysia serta memperbaik semula nama gagasan ini. Serangan tanpa patah daripada dasar Ganyang Malaysia memberi kata dua kepada Malaysia sehingga bantuan ketenteraan dari Britain, Australia, Kanada dan New Zealand digunakan bagi melindungi negara tercinta daripada mereka yang cuba menodai kedaulatan Malaysia.

Konfrontasi Ganyang Malaysia ini berterusan sehinggalah Jeneral Suharto menggulingkan Parti Komunis Indonesia pimpinan Sukarno pada tahun 1965. Suharto yang menjadi Presiden Indonesia hasil rampasan kuasa itu dilihat positif terhadap hubungan diplomatik dengan gagasan Malaysia sehingga Menteri Luarnya, Adam Malek berusaha keras berdamai dengan Malaysia. Maka, perjanjian damai akhirnya ditanda tangani pada Jun 1966 yang turut melibatkan Filipina dibawah pimpinan Presiden Ferdinand Marcos ketika itu.

Balik pada ketika dan saat ini, Ganyang Malaysia sekali lagi dilaungkan disebabkan satu asset budaya Indonesia yang kononnya dicabuli oleh Malaysia dengan menjadikannya hak Malaysia. Ini bukan kali pertama sejarah berulang. Sebaliknya, beberapa tahun dahulu Ganyang Malaysia pernah dijadikan kalung azimat Indonesia sehingga ada yang berpendapat Datuk Siti Nurhaliza perlu tampil menjadi srikandi. Alasan yang juga masih belum kuat untuk memutuskan hubungan rumpun nusantara ini.

Tergelak juga saya apabila ada golongan tertentu yang mengeluarkan sepanduk ‘Sapu Malaysia di Indonesia’. Hemah saya, mungkin terlalu ramai tukang sapu warga Indonesia di Malaysia, maka mereka berpendapat mahu menyapu keluar orang-orang kita di tempat mereka tanpa mereka mengenang kembali ribuan jasad yang mengerumuni lombong rezeki kita di sini yang mana jutaan rakyat Malaysia tidak pernah senang dengan mereka. Selain memberi saingan dalam bidang pekerjaan, turut menjangkitkan jenayah budaya yang menggerunkan.

Tindakan mereka bukan sahaja mengepung kedutaan kita di Indonesia, malah kononnya ingin terbang ke Malaysia memberi kata ancaman. Bisakah mereka? Kiranya warga Indonesia yang dilihat berkempen bagai pilihanraya umum itu punyai duit jutaan Rupiah menaiki kapal terbang ke Malaysia dan tinggal di sini waimapun Padang sedang menggeletar ditimpa musibah.

Paling menyedihkan saya, dalam begitu banyak sokongan kita hulurkan, daripada bantuan kemanusiaan Padang dan Banda Acheh, industri hiburan mereka yang begitu meletup di Malaysia meski artis kita sendiri mengemis menanak nasi di periuk berpasir mereka, serta puluhan program serumpun dilaksanakan saban tahun, isu ini dinampakkan sebegitu ekstrem di mata mereka walaupun jelas salah faham ini telah didedahkan mana salah betulnya. Bersyukurlah semua.

Jelasnya, Indonesia bagai berdiri memijak kita. Lihatlah reaksi mereka terhadap isu yang sudah terang lagi bersuluh tempatnya. Malah, jika diteliti ketidak toleransian mereka kepada industri kita termasuklah hiburan yang begitu payah menjejak ke sana sedangkan mereka begitu mudah meng’ganti’kan tempat kita di tanah air kita sendiri. Ketika Padang dihurung kebimbangan juga, anak-anak kita dikejar kembali secepat mungkin tanpa jaminan diberikan. Jika tidak, bayarlah mereka dengan ongkos yang bukan murah. Ada juga yang sanggup memerah darah mereka apabila tragedi ini menimpa sehingga bantuan yang dihulurkan berbaur bayaran.

Namun, kita sebagai penama Malaysia yang ingin diganyang dan disapu ini masih bermurah hati menerima mereka dan membantu mereka. Tidakkah ada di antara kita yang berhajat memberi sedikit peringatan buat mereka, betapa mereka itu tidak berpijak di bumi yang nyata. Betapa ramai antara mereka yang mengais di bumi kita tanpa izin kita. Mungkin juga kita perlu mengambil langkah seperti mana Konfrontasi Indonesia mengambil tempat tahun 1963 dahulu dengan berpadu kukuh antara kita dan menunjukkan bahawa kita bukan bodoh dan lemah. Bukan berdendam, sekadar memberi pengajaran. Jika ada yang masih buta, celiklah seluas-luasnya, sekarang! Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Percayalah!

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"