viewers

Tuesday, February 8, 2011

OPEN YOUR EYES. LEARN FROM IT. AND MOVE ON.


INTRODUCTION. Saya menulis ketika ini sebagai bentuk rasa syukur dan perkongsian kata. Saya bukanlah sesiapa yang mampu menzahirkan kata-kata nasihat yang mampu memberi sepenuh impak yang berguna buat semua. Malah, pengalaman saya yang secetek ini mungkin tidak mampu menenggelamkan sengsara dan masalah yang menimbulkan susah di hati sesiapa. Namun saya percaya, setiap antara kita punya pandangan dan buah fikiran yang jika tidak banyak, dengan sedikit mampu meringankan berat beban yang tergalas di pundak seseorang yang lain. Untuk makluman anda, ketika entri ini ditulis, saya diserang sakit yang teramat sangat meski sedang asalnya bahagia melingkari hari-hari saya yang sudah.

OPEN YOUR EYES. Saya percaya ada antara kita kini sedang merasai sakit dan perit kerana kejamnya (pada pandangan kita) seseorang yang kita percayai mengkhianati apa yang kita amanahkan padanya. Mungkin ada tanggungjawab, hati dan perasaan, atau barangkali perhubungan murni yang kita mahukan ia menjadi telus dan berkekalan. Namun, dibalik hari yang mendatang, dugaan dan aral tiba-tiba menerpa dan melintangi impian kita. Seperti saya katakan, bukalah mata. Sebagai manusia, kita berhak berasa sakit dan marah. Mengambil tindakan untuk menangis dan memaki mereka. Menidakkan takdir Tuhan pada kembara hidup kita. Kenapa hitam mewarnai putihnya lembaran hidup kita tatkala kita berhabis sudah memperjuang dan mempertahankan matlamat tersebut. Malah, banyak antara masanya kita berkorban segala yang kita punyai buat mereka yang lain semoga Tuhan bersama-sama melindungi matlamat kita hingga ke akhirnya. Kejamkah Tuhan merotan benak kita sedang kita sungguh berusaha melindunginya?

Persoalannya di sini, apakah yang terbaik untuk kita?

Saya menganjurkan untuk kita terus melindunginya. Dalam harapan yang menggunung, saya percaya kita tega melakukan segalanya yang mampu untuk menggapai impian yang disemat. Tika tangan yang sama kita tadahkan menaruh simpati Tuhan, gagal mencecah apa yang diimpi, bukalah mata kita. Ada dua sebab yang penting: satunya, bukan kita yang tahu apa yang terbaik untuk kita tetapi Dia yang Maha Mengetahui. Jika sungguh kita sentiasa merapatkan diri padaNya dan berusaha percaya pada hikmahNya, maka buat kali ini percayalah juga, mungkin, kesudahan yang begini adalah tanda kasih sayangNya dan telah pun Dia tuliskan yang terbaik untuk kita.

LEARN FROM IT. Belajar. Sampai bila-bila pun kita perlu belajar. Tika jatuh kita mendaki bukit hidup, sentiasalah belajar untuk mendaki dengan lebih baik ke puncaknya. Apa yang perlu kita tahu, setiap jalan yang dilalukan Tuhan buat kita adalah pelajaran yang harus kita belajar melaluinya. Jika begini, akhirnya begini. Apabila sesuatu tiba, ada masa begitulah kesudahannya. Apa yang kita lakukan pada masa silam, memberikan rasa kita pada masa kini dan buat menyimpulkan satu kesudahan pada masa hadapan. Mungkin kita menaruh harapan pada sesorang dengan terlalu tinggi pada masa yang sudah sehingga kita dihiris pedih pada masa kini dek perbuatan yang begitu mudah, dan sebenarnya untuk kita lebih berhati-hati pada masa hadapan. Jadi, belajarlah. Supaya kita tak mudah mengalah.

AND MOVE ON. Setiap jalan cerita sentiasa ada penyudahnya. Dan apabila ditunjukkan kepada kita jalan yang begini atau begitu tatkala ini, penyudahnya adalah untuk kita meneruskan hidup dengan tabah. Andai tiba di fasa ini, ucaplah tahniah pada diri sendiri kerana kita telah berjaya melalui liku tajam dalam hidup ini. Terpaksa mengharungi hidup, dengan disakiti atau dikhianati, mungkin lumrahnya kerana kasih sayang Tuhan menemukan jalan yang lebih baik di hujung kembara kita. Jadi untuk itu bukalah mata. Lihatlah segalanya daripada mata kepala seorang hamba Tuhan yang kerdil yang tidak mampu melawan kehendakNya. Daripada setiap sisi, sebelum boleh kita berkata kita memahami agenda Tuhan, maka perlulah kita belajar daripada Irhadah Tuhan. Setelah jelas setiap kemahuanNya, maka lepaskan sakit itu perlahan-lahan. Carilah kasih sayang Allah yang mahu ditunjukNya kepada kita. Dan apabila sudah kita sedar tempatnya kita berdiri, teruskanlah hidup mengikut halanya takdir Allah yang Maha Mengasihi.

CONCLUSION. Dalam tiap sakit dan derita, semuanya atas dugaan Tuhan mengajar kita erti hidup yang Dia satukan untuk kita. MatlamatNya adalah untuk kita membuka mata melihat kebijaksanaan dan kekuasaanNya, dan menyuruh kita belajar setiap ketentuan yang disusunNya atas landasan hidup kita, supaya akhirnya kita redha dan bersedia meneruskan hidup ini dengan lebih tabah.

Sakit kepala saya, waima betapa berat pun ia, barangkali tak seteruk remuk rendamnya hati anda yang diduga pelbagai cabaran. Kita semua pelayar di lautan luas yang tak pernah kita tahu hala angin dan isi lautannya yang menunggu kita. Jika kita percaya padaNya dan berserah diri, pasti, Dia sentiasa ada untuk menunjukkan jalan yang terbaik. Bukankah Dia yang Maha Mengetahui?

www.micinmyearphones.blogspot.com

Tabahlah semua.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"