viewers

Tuesday, January 24, 2012

Nota Kaki: Sepanjang Perjalanan Ini


Sepanjang Perjalanan Ini...





Saya sentiasa percaya, kita ini musafir yang mengembara dalam sebuah perjalanan yang kita tidak pernah pasti sejauh mana jaraknya ke destinasi itu. Masing-masing kita menuju ke arah yang sama, namun sentiasa memilih jalan yang berbeza. Pilihan itu yang membezakan kita antara satu dengan yang lain.

20.01.2012:
  1. Saya dikejutkan dengan pemergian nenek saudara yang kebetulan tinggal bersebelahan dengan rumah saya di kampung. Perginya memberi kejutan, bukan kerana usianya yang kalau dikira sudah melampau separuh abad; malah lebih hampir kepadanya, namun kerana perginya didahulukan dengan sakit yang sekejap cuma. Baru sejam dua Bonda menelefon bercerita tentangnya yang ditimpa sakit tenat secara tiba-tiba, dalam sehari dua sebelumnya, tiba-tiba berita segera timbul menyatakan Allahyarhamah sudah tiada lagi. Pun begitu, saya melewati hari dengan syukur kerana nazaknya tidak lama. Saya segera pulang bersama kakak dan bakal abang ipar. Al-Fatihah...
  2. Kepergian arwah nenek saudara bukan satu-satunya berita yang mengejutkan. Malaysia juga dikejutkan dengan kisah sedih terhentinya perjalanan hidup seorang insan seni, artis yang agak baru dalam bidang muzik, Izwan Pilus yang terkenal menerusi lagu Indah Lelapku. Lebih sadis, penyanyi yang masih muda dan bertenaga ini juga pergi dengan mengejut setelah disahkan dijangkiti kuman. Dan hasil penelitian saya, arwah didakwa terkena jangkitan kuman kencing tikus. Takziah.

23.01.2012:
  1. Gong Xi Fa Chai. Tahun baru cina, tahun naga. Ini bermakna, sudah 24tahun saya meneruskan kembara saya di muka bumi Allah ini. Persoalannya, selama hampir 24tahun menjalani kembara ini, berapa banyak sudah pencapaian yang telah saya gapai dan dakapi? Saya mungkin boleh mendabik dada dengan sedikit kelebihan mendahului zaman kanak-kanak dengan cemerlang, menjadi pelajar pertama di sekolah rendah lulus PTS, berjaya menjejakkan kaki ke Sekolah Alam Shah, mengekalkan prestasi ke medan PMR, dan berjaya mengharungi pahit maung di sekolah itu. Tampil teguh di matrikulasi, masuk ke universiti terkenal tanah air, lulus dengan baik, dan beroleh kerja meskipun masih secara kontrak. Tapi itu dulu, dan kini tidak seperti dulu.
  2. Masih sangat banyak harapan dan impian yang perlu saya realisasikan. Masih rindu pada bau kejayaan mendirikan rumah impian, serta melabuhkan langit harapan. Dan perjalanan ini ditempa penuh cekal dan sabar, dengan doa bertali arus mengharap pada rahmat kurniaanNya. Masih sangat banyak.
  3. Sayangnya, kita tidak pernah menduga sejauh mana lagi kita mampu menyusuri denai hidup yang misteri ini. Sepanjang liku dan onak yang merintangi, kita masih diseka dengan duka dan derita yang disembunyikan. Kita perlu sentiasa berusaha membina latar impian kita, sebelum kita terlewat menyaksikannya terbentang megah. Jika kita leka waimapun seketika, barangkali kita telah teranjak jauh daripada peluang yang ada.

Hari ini:
  1. Saya menulis hari ini dengan berbekal sedikit harapan dan impian yang tinggal. Perasaan untuk kita sama-sama menilai perjalanan kita sejauh ini kita langkaui. Sedikit ingatan supaya kita tidak mudah jatuh dan menyerah kalah. Amaran lembut agar kita tidak menafikan pengajaran di hadapan kita. Pesanan ikhlas buat kita kembali menghargai setiap titik-titik masa yang bersambung membentuk garis laluan hidup kita.
  2. Andai kita selama ini lupa, biarlah kita kembali ingat perjalanan yang sudah kita lalui dengan langkah yang gigih hingga kita mampu berdiri di sini hari ini. Biarkan sedikit rasa bangga dan yakin akan kebolehan kita bisa menyelinap masuk ke sedikit ruang di antara sel-sel hati kita. Tepuklah tangan. Berdiri, dan tepuklah dada tanda bangganya kita untuk masih kekal hidup di sini.
  3. Mari kita congak perjalanan ke luar sana. Jalan bagaimana yang mungkin menanti. Kisah yang bagaimana yang kita cari. Bersedialah menghadapinya, kerana percayalah, kesediaan memastikan kita tetap di tempat kita berdiri. Mengharap kepada tiada apa-apa pun selain hikmah dan ketentuanNya. Biar kita mampu berlari, daripada sekadar terus berjalan kaki.
  4. Panjatkan doa. Siang dan malam jangan sesekali berhenti. Teruskan berdoa mengharungi perjalanan hidup yang tidak pasti.
  5. Ingatlah, apabila masih direntap gelora, hidup yang terumbang-ambing atau hanyut hilang dalam taufan dugaan, sentiasalah teguh dan berusaha melawan kesakitan hidup. Kerana yang paling utama, hidup ini bukan milik kita, sebetulnya ia milik Allah, dan kerana itu kita harus sentiasa menjaga hak milikNya.

Berjalanlah Walau Dalam Hujan Yang Melebat.


p/s:
  1. Selamat Tahun Baru Cina. It's a dragon year!
  2. Always looking for the chances to do whatever you wish to do for yourself! Be happy to whatever comes into your life!
  3. I'm going to spend more times with friends and reaching out for the better life of mine!
  4. I'll be spend more time to enjoy vacations!
  5. Do pray, I must have a permanent job this year! Own car if possible!
  6. Selamat mengharungi hidup semua! ALWAYS evaluate your everything, sepanjang perjalanan ini!






No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"