viewers

Saturday, February 20, 2010

Tarikh Luput Seorang Kawan


Ketika leka melayan new feeds di Facebook, saya terpaku melihat satu feed daripada teman saya dahulu. Ada cerita-cerita daripada blognya yang saya begitu kagum membacanya. Jauh mendalami isi ruangannya, saya menyedari bahawa seolah-olah dia telah menjadi manusia yang lain. Tiada dia yang dulu dalam dia yang sekarang. Malah, apa yang membuatkan saya tertanya-tanya, adakah dia masih kawan saya yang dulu setelah saya sedari begitu lama kami tidak berutus khabar.

Pernah saya bertanyakan khabarnya, namun jarang sekali saya beroleh berita daripadanya. Ada juga kawan-kawan lain yang seangkatan dengan kami merungut akan sikapnya yang sudah jauh berbeza daripada masa dulu. Ada suara-suara sedih dan kecewa apabila teman ini susah benar membalas mesej yang dihantar. Apa sebenarnya yang telah terjadi?


Meniti semula kisah dulu ketika kami semua masih dalam satu geng, dia antara individu wajib yang mahu kami semua sentiasa bersama. Selalu sahaja mengajak saya dan teman-teman lain makan bersama-sama selepas kelas. Terkadang juga kami menghabiskan masa membuat kelas diskusi bersama-sama. Jujurnya, tahun berkenaan merupakan isi persahabatan yang cukup sempurna bagi saya. Teman yang sentiasa ada dan mudah bertoleransi.

Tertanya-tanya juga di benak saya apakah punca kami tidak lagi mampu berhubungan. Jika jarak dan masa menjadi penghalang, saya masih punya ramai teman yang setia berhubung meski tinggal di lain benua dan masing-masing sibuk dengan kerja seharian. Ada saja masa kami bertanya khabar. Modenisasi memberi peluang komunikasi dua hala berlaku. Mesej dan telefon,
messenger dan Facebook. Macam-macam cara boleh menjadi pilihan. Apa lagi halangan yang timbul? Sesetengah teman saya, setelah bertahun tidak pernah bersua muka, masih ada juga yang boleh berutus kata.

Pun begitu ada juga kes-kes tertentu, wujud golongan yang cuba melarikan diri daripada terus berhubung dengan kenalan mereka. Paling ajaib, ada yang bertembung dan saling kenal pun tidak ada suara menegur dan bersapaan.
Kelakar juga apabila teman saya yang baru lima bulan tak berjumpa sudah lupa nama saya. Kagetnya saya apabila perkataan "kawan kita" bertukar "kawan kamu" apabila si fulan menanyakan nama saya pada kawan kami yang lain. Hebat! Sangat hebat kawan saya yang ini. Saya berdiri dan memberi tepukan gemuruh untuknya. Dalam benak saya,
"Kalau kau nak minta tolong aku, sah aku tolong susahkan lagi kau!".
Nauzubillah! Persoalannya, mengapakah persahabatan yang dibina sekian lama dengan masing-masing saling boleh menerima antara satu sama lain, dibiarkan luput ditelan masa dan dibataskan dek jarak? Tidak sayangkah kita dengan silaturrahim ini? Atau memang setiap teman kita ada tarikh luput tertera di dahi mereka,

"setahun kawan baik, enam bulan seterusnya kawan biasa, bulan-bulan seterusnya--siapa dia?"

Bersahabatlah sampai syurga!

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"