viewers

Wednesday, April 13, 2011

Dalam Kenangan : Yang Masih Tinggal (Buat Allahyarhamah Halimah Isa)


Yang masih tinggal, Tika deras angin meranapkan pepohon, Kerikil-kerikil kecil yang berterbangan, Di samping amuk hujan yang mengongoi sedih, Dan pada suram langit yang kemuraman. Yang masih tinggal, Saat masa berlari-lari anak, Umpama Siti Hajar mengejar logamaya, Dari paksi bumi yang berpasakkan, Tenggelam timbul dalam lautan hidup, Adanya kita berlayar kesesatan. Yang masih tinggal, Tatkala dia memejamkan matanya, Berlagu rendah suara air mata, Kolam bah bukan sekali, Berjuta jiwa berbahasa Tuhan, Mengumandangkan sayu. Yang masih tinggal, Semasa kasihnya Tuhan pada jiwa insan, Dilarikan nakhoda daripada kapalnya, Digelapkan sumbu yang lincah bercahaya, Kerana bimbang hilang halanya, Sekelip masa Dia bersuara. Yang masih tinggal, Sewaktu kita mengembara bersama, Sekejap sahaja awan berlalu, Hilang teduh panaslah cuaca, Dalam gembira kita terkesima, Datang duka singgah jua. Yang masih tinggal, Bila nyawanya dihela-hela, Sejuk rasa menyelimuti mungil tubuhnya, Berantakkan luluh seluruh rasa, Tak pernah berhenti sendu dan tangis, Dalam redha jiwa disentuh. Yang masih tinggal, Hanyalah harapan bertemu kembali, Dalam mimpi sebentar, Atau syurga nanti bila mungkin, Sekadar melepas rasa rindu, Pada dia yang telah pergi. Yang masih tinggal, Adalah kita yang masih berlayar, Mengemudi bahtera sendiri, Menanti masa akan suatu hari, Kita juga bakal kembali.

Hanam Hamid
13 April 2011 1150pagi.
(mengimbas 11 hari kepemergianmu, Halimah Isa 2 April 2011)

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"