viewers

Monday, August 26, 2013

Mungkin Tuhan Cuma Ingin Kita Meminta KepadaNya

55:29



Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!
(Ar-Rahman 55:29)

Ya, tiga minggu yang sukar. Bukannya sukar sangat, tetapi apabila cuba berhadapan dengan tiga minggu kebelakangan ini, rasa penat separuh mati. Mula malas menghadapinya, apatah lagi untuk mengatasinya. Membuat keputusan sudah payah, berbelah bagi dan tiada yang kena. Menulis surat menjadi karangan cerita yang penuh emosi. Menatap rangka kerja, ilham mula basi dan ketemu jalan mati. Sakit meluru, tapi tidak endahkan sahaja. Itu dan ini, sampai suatu masa, semuanya terbengkalai. Bukan payah. Yea, tidak serumit itu, cuma aku perlu akui, penat sudah lama bersarang.

Hari ini, cuba mula muka baru. Halaman yang lebih kemas. Entah, sudah bersedia atau belum bersemuka dengannya. Sumpah, penat!

Cuti lagi. Penat tatkala penat berjaga sepanjang perjalanan dalam bas sudah ke liang rongga luar. Berkira-kira sendiri perlu siapkan diri menghadapi hari-hari menduga. Beli itu dan ini. Alhamdulillah, ada teman hari ini. Sebaik sampai dia beri kata putus bersetuju. Aku sempat lena dua ke tiga jam. Qada' waktu lelap semalam. Selesai berias diri, aku tunggu lebih sejam daripada masa yang dijanjikan. Rupa-rupanya baru bangun. Baik, aku buat keputusan pergi sendiri. Lagipun sudah nawaitunya sudah begitu dari awal. Setengah jam kemudian dia telefon semula, disuruhnya tunggu sahaja. Dengan penuh redha aku iakan. Hakikatnya aku tidak kisah. Mana-mana juga boleh.

Tuhan tahu apa yang terbuku di benak. Mereka di luar kotak hati manakan tahu. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui. Aku sudah lali, peduli sahaja suara-suara yang sedari awal tak mahu mengerti, tak sudi pun menaruh simpati. Tapi aku tahu, Tuhan itu tahu.

Dalam penat masih bertulang rusuk di susuk tubuh, angin sepoi berhembus kuat. Demi Tuhan, panas yang panas tadi adalah panas yang menenangkan. Dalamnya aku merasa aman dan tenang. Aku dengar bisikanNya dalam angin itu. Aku tegak berdiri. Memejam mata serapat mungkin. Aku tak pasti ada sesiapa di tepi. Tetapi dalam hatiku meraung kuat, "Selamatkan aku Tuhan. Aku lemah, Tuhan. Aku tak mampu Tuhan.. Aku mengharapkan pertolonganMu, ya Allah." Dan tiba-tiba air mati menitis pekat. Sejuk dihembus angin itu. Rasa bagai dipeluk rahmatNya.

Aku buka mata. Di hadapan mataku tinggal seekor burung. Ketika angin kuat menghayun reranting ramping pohon kayu itu, aku melihat burung itu berdiri tegak dengan satu kakinya. Bayangkan angin sekuat itu, burung itu tetap tegak berdiri biarpun dengan satu kaki. Rasanya seperti jawapanNya memanah kalbu.

Hari ini misi keluar separuh berjaya. Tetapi aku sungguh bahagia. Berbaloi, dan lebih lagi, Tuhan kirimkan salam sayangNya.

Usai maghrib, aku cuba dekat semula dengan kalimah-kalimahNya. Bukanlah aku bijak mentafsir, tetapi meski entah apa makna bahasaNya, hati ini tak tahan. Sebak sendiri, dan menangis lagi.

Jawapan Tuhan mudah. Mintalah. Dan kau tentu jumpa.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"