viewers

Wednesday, August 21, 2013

Tulis Semula



Terlalu banyak cerita berlaku sepanjang bulan-bulan ini. Tetapi tak banyak yang mampu jari ini menulisnya. Kerana IrhadatNya, jalan cerita hidupku kian mencabar. Satu demi satu memaksa kaki mula melangkah. Halangan dan rintangan meranapkan jalan yang selama ini dibina untuk dilalui oleh hidup. Sekali ini, akan ditulis semula.

Barangkali, apapun yang cuba kita tulis pada kanvas hidup ini, mana bisa kita meramal, apatah lagi cuba melawan takdir yang telah lama termaktub di KalamNya. Apapun yang mendatangi sepanjang perjalanan ini, selama langkah ini berlari, tabahkan hati dan berserah kepadaNya. Semoga apa sahaja keputusan yang dibuat sentiasa dalam jagaanNya. Sesungguhnya, aku mempercayai Tuhanku.

Pada masa yang singkat itu, ketika masalah berselirat dan menjerat, aku telah diberhentikan pada satu waqaf. Menilai semula titik-titik hidup, dan mengimbau semula keinginan yang bersabit. Ketika hati mula kuat, mencuba keluar dari zon selesa, berubah ke satu langkah yang asing, takdir menjerat. Ubat yang selama ini menjadi perisai menahan sakit menjadi penyebab kegagalan saraf. Seluruh tubuh kaku dan mendingin. Selama hampir lima jam bertarung dengan perasaan yang melumpuhkan seluruh saraf, bercambah perasaan untuk terus hidup dan berjuang. Bayangkan pada ketika tangan dan kaki seolah-olah tak berfungsi, seluruh anggota badan tidak mampu melahirkan rasa, kaku dan kebas melewati pelusuk tubuh, dingin dan sejuk menghampari setiap susuk tubuh, dan yang terbayang di benak mata, hanya perasaan untuk terus hidup dan berjuang untuk itu.

Alhamdulillah, di balik tabir kerumitan itu, dalam merasa loya dengan kesilapan yang dipandang enteng oleh manusia, Tuhan membangkitkan kita. Sekali itu, terasa dihidupkan semula. Ingin menebus semula kekosongan lama. Terdesak untuk mengisi ruang legar yang dipenuhi sifar. Hidup harus bermula dari sekarang. Tulis semula.

Bagaimana rasanya, jika anda berhadapan dengan maut, dan sekali itu anda diziarahi rasa ingin hidup dan untuk apa? Mungkinkah anda akan menulis semula cerita hidup anda? Atau sudahkah anda usai setiap impian dan tanggungjawab anda?

Salam buat bumi-bumi Anbia. Semoga terus kuat melawan 'Abrahah', dan sesegera mungkin didatangkan 'Abaabil'. 

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"