viewers

Tuesday, July 5, 2011

Tips : Berkongsi Ilmu


Berkomunikasi bermula dengan seorang yang bersuara, dan seorang lagi mendengar, secara bergilir-gilir.


Kadang-kadang kita sanggup salah daripada malu. Bila kita bercakap dan ditegur, kita memanipulasi. Alasan kita biasa berbentuk ketidak puasan hati. Kita mendakwa orang selalu mahu menang, sedang kita sebenarnya tak mahu kalah. Bila berdiskusi, maklumnya untuk bertukar-tukar pendapat. Tak salah berdiri pada paksi yang tetap, tetapi tidak untuk menyalahkan sesuatu pihak tanpa keterbukaan pemikiran sendiri. Sesungguhnya, mereka yang tertutup minda mereka ialah mereka yang paling rugi. Kerana tindakan mereka menyempitkan ruang pertukaran idea serta buah fikiran. Mereka berucap pada nas yang mereka sendiri tidak jelas, dan dalam masa yang sama menolak sebarang bentuk ancaman terhadap isi mereka.

Misalnya, kita berbicara tentang hukum. Seolah-olah apa yang kita tuturkan mempunyai maksud yang salah. Atas sebab kita menggunakan perkataan yang salah. Solat sunat yang beribu darjat menggantikan pahala-pahala daripada solat wajib yang kita tinggalkan. Tatkala ditegur, bahawa solat sunat sekadar membaiki solat wajib yang bercompang camping, bukan menggantikan. Kita dengan cepat membetulkan kata-kata kita. Kemudian menjadikan nama Ustaz itu dan Ustazah ini punya cerita. Akarnya, idea kita barangkali betul. Cuma sedikit kurang tepat. Dalam maki kita mengeji, mereka yang menegur tak boleh ditegur. Sedangkan tika itu kita alpa, siapa yang sukar untuk ditegur?

Orang yang untung dalam sesuatu perbincangan ialah mereka yang bersedia ditegur, dan menegur.

Dalam satu bentuk perbincangan, peraturan pertama adalah membentang atau mendengar. Kemudiannya menggilir dan saling memahamkan. Kemudian sahajalah setiap isi diselidiki betul salahnya. Syaratnya ada dua: pertamanya terbuka--dengan maksud bersedia menerima pembetulan; dan keduanya menjelaskan--seperti mana setiap isi dijelaskan sehingga kedua-dua pihak mengerti, serta dinyatakan dengan tepat dan jujur mana fakta dan mana anggapan.

Mereka yang berilmu sentiasa bersedia untuk belajar, dan mengajarkan ilmu. Apabila tiba masa untuk menerima, dia tidak menerima dengan sewenang-wenangnya, namun secara berhemah dia meneliti dan menunjukkan minatnya memahami isi tersebut. Dan apabila tiba dia harus menjelaskan, setiap perkara dijelaskan. Dalam cara dan inotasi untuk dibahaskan, bukan untuk ditelan bulat-bulat. Dan selain sedia menepati fakta atau mempersembah fikiran/anggapannya, setiap butir disebatikan dengan isi pendengarnya.

Kata orang, malu bertanya sesat jalan.
Pastinya, malu ditegur juga menyesatkan jalan.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"