viewers

Friday, November 11, 2011

Puisi : Pergilah Mentari

Tribute buat Saudara Rizali Afiq Razak sempena keberangkatan beliau sebagai tenaga pengajar.


Cuba kita lihat di atas sana,
Menonton mega yang berarak sayu,
Seakan langit juga tahu,
Bagaimana rasanya,
Kehilangan mentari daripada dadanya,
Hujanlah dia.

Katakanlah padanya,
Pinjamkan kita air matanya,
Tika mentari disorok pergi,
Dalam senja yang sunyi,
Tanpa pengganti.

Lalukan pada sang angin,
Lirih hati yang berterima kasih,
Atau deru halilintar yang menerpa,
Mendakap suram bayang-bayang malam,
Gelap dan suram.

Tidakkah kita mendengar,
Suara alam yang turut merasa,
Sedih dan hiba mengiringi pergimu,
Pulang bersama sedih yang bertamu,
Namun hati tetap bangga,
Lahir seorang sahabat untuk tangannya kujabat.

Tuhan,
Hilangkah bayang dalam gelap langitku?
Saat mentari beralih arah,
Pada bumi yang satu lagi,
Seperti edar orbit takdirMu.

Aku ini pelari masa,
Yang lari daripada hakikat,
Walau dakap dan jabat kularikan daripada erat,
Hatiku rupanya tak larat,
Menanggung hari-hari yang memberat,
Seperti diterkam ribut yang pekat,
Memusat.

Percayalah,
Sedih ini tanda rasa,
Kelak bangga bersarang jua,
Pergi membawa amanat,
Mengajarkan ilmu yang sentiasa lekat.

Terima kasih sahabat,
Untuk pergimu,
Selamat berjaya.

(Buat Saudara Rizali Afiq Razak, melabuhkan tirainya di sini, perginya untuk terus memberi bakti. Terima kasih atas segalanya.)

Hanam Hamid
Jumaat, Hujan. 6.11pm
11.11.11

1 comment:

Anonymous said...

hebat hanam....kalah puisi aku !

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"