viewers

Wednesday, November 30, 2011

Singgah : Inspirasi Alam

Menulis berpandukan alam. Cantik alam, indahlah karangan.


"Ini adalah sebuah karangan yang serius dan berjela-jela. Jika isi yang anda cari, berusahalah membacanya sehingga ke akhir huruf karangan ini. Saya kupas dan olah mengikut acuan sendiri. Rasa dan pengalaman sendiri."


Saya seorang penulis. Apa yang penting bagi seorang penulis seperti saya ialah ruang untuk mencari idea dan ilham. Ruang ini bukan seertinya dengan masa dan kelapangan waktu sahaja. Malah, lebih lagi akal sentiasa harus peka dan tertumpu kepada inspirasi alam. Dan layaknya saya sebagai seorang penulis, isi-isi yang banyak berkisar kepada alam dan persekitaran saya.

Saya suka memasukkan latar alam dan suasana saya membesar ke dalam cerminan karangan saya. Baik puisi atau jalan cerita, mahupun pendirian dan pandangan terhadap sesuatu peristiwa, injuksi inilah peranan terpenting buat saya. Seperti sukanya saya terhadap hujan, saya zahirkan betapa langit memahami jiwa cerita saya, dan hujanlah air matanya. Atau saya nyatakan mentari itu dugaan Tuhan, atau awan yang tiba meredupkan suasana. Hujan yang tiba tika panas terik melilit kulit watak, saya andaikan suatu jirim kesegaran yang mententeramkan naluri.

Beginilah cara saya mencari ilham. Meneropong alam tanpa henti. Melihat manusia berpusu-pusu daripada perut bas yang perlahan-lahan meredah kesibukan lalu lintas. Atau diam bersendiri seketika di bangku pegun di tengah-tengah taman yang pelawatnya ramai berdua. Saya suka melihat langit yang terang. Atau angin yang tenang. Mendengar bunyi-bunyi burung yang sibuk bercerita. Desisi-desis daun-daun yang bersalaman. Atau yang kering menari-nari mengikut rentak angin. Saya suka berjalan tika hujan turun menemani hari-hari saya. Lengok-lengok bunga yang berguguran, atau yang berjuraian menyambut laluan saya. Juga tompok-tompok mega yang mahu diteka lukisnya pada langit. Cintanya saya pada kejadian Ilahi ini.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.” 

Saya tak pasti bagaimana manusia lain yang diciptakan Tuhan ini merasai kehadiran alam dalam hidup mereka. Saya tak pernah dapat meneka warna hati mereka terhadap alam ini seperti saya meneka kraf awan yang berkumpul-kumpul membentuk jasad yang maya. Sama ada hijau pohon-pohon atau biru lautan bisa mewarna jiwa mereka atau tidak. Atau bau-bau angin dan hujan mampu membuatkan mereka rindu pada suasanan ini atau tidak. Atau sekadar sudi memejamkan mata merasa nikmat terik cahaya sang suria menjilat putih kulit mereka atau tidak.

Ya, saya tidak pasti. Dan hakikatnya, saya bertanya kerana saya melihat perlakuan mereka yang terkadang begitu tidak menghargai warna-warna alam ini.

Kalaulah saya bukan seorang penulis, seperti seorang jurubina misalnya, saya masih memerlukan warna alam. Bukankah saya seharusnya menghargai redup mentari yang membenarkan saya terus bertungkus lumus mencari sesuap nasi? Ataukah mungkin selaku seorang nelayan, saya masih perlu menghargai musim yang tersusun dalam jadualnya agar boleh saya atur khidmat saya kepada keluarga? Atau seorang juru terbang yang mana harus saya jaga alam agar kepanasan global tidak menukar laluan penerbangan saya ke jalan yang tidak selamat? Atau selaku seorang guru yang tidak mahu pelajarnya menghadapi peperiksaan dalam air bah? Atau seorang ibu atau bapa yang tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dek tanah runtuh sehingga terlewat ke majlis konvesyen anak sulung saya? Atau mungkin sebagai seorang manusia, yang pastinya tidak mahu anak saya menikmati hanya makanan sintetik kerana tumbuh-tumbuhan dan ternakan sudah saya cemari dengan kimia yang berbahaya? 

Kadang-kadang kitalah yang menuduh malang sebagai penyebabnya.

Bayangkan jika saya terus menitiskan toksik ke sungai, lalu membunuh hidupan sungai dan ke lautan, atau menebang segala ladang dan kebun hanya untuk sebuah kompleks membeli-belah. Jadi, apa maknanya sebuah pasar raya jika isinya tiada? Tanpa ikan-ikan atau buah-buahan. Atau sayur-sayuran dan daging-daging. Pakaian semuanya kini terhasil daripada sintetik. Perabot juga terdiri daripada komponen yang menjadi alat bunuh kepada alam. Malah, yang dibawa untuk barangan belian juga terhasil daripada plastik dan bahan yang barangkali semakin cuba mencemarkan alam.

Rosaklah ilham saya. Yang tinggal dalam karangan-karangan saya, cuma bahasa yang mula terisi dengan benci dan kehodohan. Jijik dengan suasana yang baru. Atau rasa rindu kepada teman-teman unggas yang mengiringi simfoni alam. Mungkin juga rasa marah dek kehilangan sinar bintang atau seri rembulan yang leka bermain biolanya. Hilanglah keindahan saya. Tak eloklah rupa paras saya sebagai penzahir inspirasi. Seumpamanya muzik tanpa bunyi, wayang tanpa cahaya.

Ini suara saya yang gemar menulis. Jikalah anda penggubah lagu, jiwanya sebuah lagu akan sarat dengan dendam dan maki hamun. Amuk dan kritikan. Tiada lagi melodi cinta atau irama puisi. Atau suara seorang pemimpin, yang tatkala hilangnya bayang alam, pastinya tenggelam dalam leka dunia dan hasad perbuatan. Mana lagi tempat mereka mahu mendalami erti kehadiran Tuhannya. Atau cuba merasai tempat buatannya. Bukankah alam yang memastikan kita tenang? Seperti malam apabila diam hanya ditemani bahasa Tuhan. Atau hujan yang meredakan marah insan. Atau bayu yang menyampaikan rasa nyaman?

Bukankah kita mampu merasa tenang tanpa tekanan, apabila kita cuba memahami bahasa alam?

Saya memang seorang penulis. Dan saya juga seorang manusia yang mempelajari sains dan ilmu alam. Saya mengkaji respon alam terhadap perlakuan kita. Saya memerhati gerak-geri bumi melawan rakus kita menodai permukaannya. Saya mempelajari tindak balas gunung apabila hutannya diratah. Saya meneliti rentak musim apabila kitarnya kita perlekehkan. Saya melihat bagaimana panasnya alam mencairkan ais kutub kepada lautan yang akhirnya menenggelamkan kita penghuninya. Saya juga melayari detik amukan arusnya tika kita memperlekehkan sekecil-kecil tindakan kita kepada alam. Bahkan saya juga menyedari tangan rakus kita jugalah yang cuba membahayakan nyawa kita sendiri. Waimapun tidak mengendahkan jeritan bencinya. Untuk semua ini, bukan seorang saintis atau penulis sahaja yang boleh membacanya. Anda juga. Kita semua.



Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41:

Maksudnya:  "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Kerana saya menulis sebagai seorang penulis, anggaplah saya menegur kerana sedihnya saya melihat kelakuan kita terhadap alam. Saya juga bermaksud amarah. Anda, atau kita juga mencemarkan murninya ilham saya. Setiap kali melalui denai konkrit di bandar, sampah dan kerosakan menjadi hiasan yang tidak perlu ada. Cacatlah imaginasi saya mewujudkan cantiknya jalan hidup jika kaki lima yang saya lalui juga penuh dengan kejelikkan. Bagaimana caranya apabila saya sedang enak bercerita manisnya kisah cinta sepasang anak muda, bertemu dan bermadu kasih, sedang hakikatnya minda saya disogok oleh bahan cemar, dimomok oleh keburukan permandangannya.

Bayangkanlah anda sedang menikmati ais krim coklat sedang di depan anda terletak najis anjing yang kena benar bentuk dan warnanya dengan makanan anda. Gara-gara empunya anjing yang tidak bertanggungjawab. Beginilah ilham saya dicipta.

"The interesting thing about being a mother is that everyone wants pets, but no one but me cleans the kitty litter."
Meryl Streep


Bayangkan juga anda dan keluarga sedang seronok menghirup udara yang tenang di lereng bukit. Dalam hela nafas, terhidu dek bau sampah yang dibakar. Asap hitam pekat berjelaga memenuhi ruang pandangan. Matilah keseronokan anda. Begitulah matinya ilham saya.

Bayangkan anda sedang berbulan madu di sebuah pantai yang memutih. Air yang mengalir perlahan dan bersih. Sedang leka mandi berdua, minyak likat mewarnai lautan. Akhirnya hitam mengerumuni wajah cinta hati anda. Putih pasir juga dicemari. Nama yang dilukiskan padanya hilang dalam kegelapan tumpahan minyak. Dan begitulah jua tercemarnya ilham saya.

Natijahnya, kerana sekecil sampah yang anda lontar keluar mencemari bumi Tuhan ini, tanpa rasa bertanggung jawab dan rasa bersalah, sudah cukup merosakkan kotak tonton inspirasi saya. Dan dengan sikap yang sama, kita membiarkan anak-anak kita ikut berasa tidak mengapa mengotori alam. Sebagainya mencabul cantiknya bumi Tuhan itu satu keharusan yang tidak didalangi dosa. Dan kita ajarkan generasi muda kita perilaku sebegitu. Kata pujangga, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit. Seperti itulah kita membiarkan sampah sarap untuk terus membukit.

Sumbangan kita kepada alam barangkali entah sebanyak mana. Lebih lagi, kita menokok pula saham dosa ini hari demi hari. Terus mencemar dan tidak mempedulikan perlunya menjaga kehormatan alam. Paling memalukan, kita biarkan anak-anak kita meniru laku buruk kita.

Saya masih ingat bagaimana saya pernah berdepan dengan fakta sebuah kaji selidik kumpulan saya sendiri betapa tabiat membuang sampah merata-rata sebenarnya juga terambil oleh tabiat ibu bapa individu itu juga. Seharusnya sebagai seorang ibu atau ayah, anak-anak juga harus diajar rasa bertanggung jawab kepada alam bukan sebaliknya. Alam memberi kita tempat untuk berteduh. Alam memberi kita perlindungan. Alam juga memberi kita makanan. Bukankah Allah menjadikan alam ini sebagai medium rasa sayangNya kepada kita, umatNya? Dan beginikah cara kita membalasnya?

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jagalah kebersihan dengan segala cara yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam di atas kebersihan dan tidaklah masuk syurga kecuali orang menjaga kebersihan."

(Hadis riwayat Tabrani)

Apa yang saya pinta, cuma sebuah pengertian. Apa yang saya mahukan, cuma sedikit kesedaran. Dan apa yang saya harapkan, sekadar sedikit usaha untuk menjaga alam ini. Izinkan saya terus mencari ruang inspirasi daripada alam sekeliling saya. Usah cemarkan dengan ketamakan dan ketidak endahan kita. Biarlah kita sama-sama menjaga, rumah kita ini.

Boleh?



"There aren't many things that are universally cool, and it's cool not to litter. I'd never do it."

Matthew McConaughey         







No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"