viewers

Wednesday, January 30, 2013

Nota Kaki : Pesan Tok Guru I



Saya bercakap sebentar bersama Tok Guru. Menceduk sedikit alimnya beliau, ketika mulut merungut tentang peristiwa beberapa hari ini. Tok Guru banyak mengiyakan sahaja dengus-dengus nafas saya yang rancak berborak dan mengadu. Sesekali beliau membalas "Biasalah tu..", atau menyambung dengan "Faham.." yang panjang, dan terkadang menokok dengan "Yelah..".

Habis berceloteh, saya diam. Tok Guru juga rapi menguncikan bibir tuanya. Mungkin diam yang lama membenarkan saya berfikir sedalam-dalamnya. Lama. Rasa bersalah kerana merungut dengan ibadah kepadaNya, saya menyimpul isi.

"Kadang-kadang rasa serba salah, Tok. Susah."

Sepi bertandang. Dan beliau di hujung talian juga memanjangkan jeda. Saya mengemaskan bicara.

"Kita niat baik. Nak leraikan yang tersimpul. Perjelas mana yang tersembunyi. Cuma beritahu, dengan cara yang sebaik mungkin. Saya tahu saya pun tak sempurna. Bukankah itu tuntutan-saling berpesan-pesan..."

"Ye.." Lagi sekali mengiyakan.

"Tapi kita pula dibantainya. Diejek dan dibuat main. Akhirnya, kita juga yang salah..."

Rasa seperti sebak memenuhkan dada.

"Hanam.." Tok Guru mengalun panjang. Lembut dan rendah nadanya.

"Biasalah kita membuat sesuatu yang menghalang rutin manusia, mesti dimarahnya kita. Yelah, kadang-kadang niat kita sahaja, tak menjadikan kita baik. Nak cari cara yang baik juga memang bukan semudah itu. Adatlah kita nak berdakwah.."

"Zaman Rasulullah lagi cuba bayangkan. Itu lagi dashyat. Berzaman Jahilliyah Quraisy menyembah berhala, tiba-tiba Rasulullah datang bawa agama baru. Marahlah mereka. Rasulullah tak pernah mengeluh. Biarpun mata pedang sentiasa menjadi peluru cuba membenam baginda.."

"Tapi itu Rasulullah.. saya ni siapalah.." Saya mencantas, lemah.

"Kita ikut cara Baginda. InshaAllah.."

"Memang tiada siapa lagi seagung, semulia baginda. Tapi mendekati sunnah dan tuntutan Islam itu kan fardhu. Buatlah. Sebab hakikatnya kita boleh buatlah ia menjadi fardhu.."

"Allah itu Maha Adil, lagi Maha Mengetahui.."

Diam. Saya sudah berderai air mata. Sedih dan bersalah. Lantas juga merasa dekat kepadaNya.

"Nam, kita buatlah apa yang baik. Duk fikir apa orang buat kat kita buat apa? Biarlah. Yang nak ikut suruhan Dia. Sunnah Baginda. Orang bercakap, biarlah. Kita buat yang betul. Takpa lah.."

"Emm.." Pendek. Sudah hilang perkataan.

"Hang buat benda baik, biarlah Allah yang adili. Hang ikhlas, Dia bagilah apa yang selayaknya. Memanglah payah, tapi hang kena ingat.. yang Dia bagi kat kita sebab berlaku baik, biarlah sekecil-kecil zarah pun, ada nilai timbangannya. Takyah duk kalutlah.."

Beliau diam sekejap. Tak pasti sama ada menanti respon saya, atau menggagau nafasnya yang pendek. Lama diam, saya menyambung pendek.

"Bila bercakap benda baik, dipanggil poyo. Berkongsi ilmu, dituduh pula ria'. Mulalah kita pula dilabel pensyirik kecil.."

"Nam, hang ingat satu ja.. Allah tu yang paling akan faham hang. Hang niat untuk Dia, inshaAllah takda apa yang tak baiknya eh. Dah tu, hang terima kasihlah juga kat depa. Maksudnya depa pun sayang hang, tegur supaya bila bercakap, berdakwah tu, jangan sampai jadi ria'. Istighfar selalu. Ingat Allah naa.."

Perbualan mulai surut. Hujung-hujungnya, Tok Guru berpesan pendek.

"Ingat naa, nak buat apa-apa yang baik, jangan duk merungut selalu. Pi semayanglah, ngadu kat Dia.."

Talian dimatikan dengan sebak meluruh di hati. Ya, Allah, berdosanya aku.

Ambillah masa, sekadar seminit atau dua, mengingat dosa yang seringkali kita hadiahkan untuk diri sendiri. Bayangkan seberat itu beban dosa yang masih belum kita bertaubat dan memohon ampun daripadaNya. Bagaimana pula bertahun menghadapi Mizan Allah. Yang setiap yang tersembunyi, dan yang terselindung juga bakal dibongkar. Astaghfirullahulazim..

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Firman ALLAH SWT : Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
( Al A’raf : 23)

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"