viewers

Monday, January 7, 2013

Nota Kaki: Sekecil-kecil Perkara.


Lama benar tidak menulis. Terkadang kepincangan masa, dan terkadang ketandusan rasa. Idea bersilih, namun tak selalu terlukis. Terlalu banyak cerita, tapi cukuplah yang sekecil ini menjadi tatapan seketika ini.

Suatu hari saya berkurung lama di dalam bangunan yang panasnya membahang. Tuntutan kerja sesekali memaksa saya dan sahabat lain merembeskan peluh lebih daripada biasa. Mengerah tenaga daripada tulang empat kerat, biarpun terkadang berasa sedikit penat, masih terus berhempas pulas menjalaninya dengan penuh tanggug jawab. Isinya, panas itu membahang di susuk kulit, menyeringai.

Sedang hati merungut-rungut manja tak tahan dek haba yang menyelimuti sangkar tubuh, tetap diberatkan urusan kerja. Sesekali kalimah melafaz memohon kasihNya, suap balik negatif dengan berpeluh semata kurang berkesan. Subhanallah.

Kami cepat bersegera keluar ke luar bangunan apabila urusan siap dengan lengkap. Daripada bilik berhawa dingin, kami culas keluar terus dek anjakan masa yang cemburu. Tatkala itu, daripada asal panas yang membahang mentari Tuhan, sesegera itu juga Dia halakan angin sepoi bertiup menyentuh kulit kami. Dinginnya, ya Allah, senyaman syukur. Alhamdulillah.

Kadang-kadang, sekecil-kecil perkara yang selalu kita alami seringkali kita abaikan. Meskipun angin yang serupa kerap menjamah tubuh kita, jarang sekali kita sedari kehadirannya, apatah lagi untuk menghargai ketibaannya. Namun, apabila diuji akan kehilangannya, atau diberi keadaan yang berbeza, barulah kita berasa betapa sekecil-kecil perkara itu boleh jadi sangat berguna, serta besar maknanya buat kita.



Kita mungkin juga lupa hikmahnya hujan apabila kita menyedari pakaian di ampaian kita kebasahan ditimpa tirisnya hujan. Sedangkan kita bermohon segala hajat apabila hujan merajuk meninggalkan kita sehingga kontang sawah dan bendang, kering sungai dan kolam.

Kita selalu mengabaikan kehadiran malu yang sebenarnya melindungi kita daripada dosa dan maksiat. Kita acap kali menyalahkan sakit sedangkan ia berfungsi mengingatkan kita supaya berehat. Sentiasa juga kita melupakan dasar, apabila tiba di puncak. Mengambil enteng bakteria dek memburu orbit angkasa. Mengelak daripada berbicara tentang kebajikan umum, dek menumpu kepada pandangan luar. Membuta akan masalah keluarga, kerana terlalu menjaga hubungan dengan orang asing. Meremehkan yang kecil, kerana taksub yang terlalu besar.



"Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah)."
Surah Ghafir (40:13)



Kadang-kadang Allah datangkan bencana dan tragedi juga sebagai peringatan. Ada perkara tanpa sengaja sudah menghampiri batasnya, dan barangkali juga, ada rutin kita sudah mengundang bahaya. Anggaplah hikmah Tuhan menghampiri kita umpama simptom sebelum datangnya sakit, supaya kita bersegera mencari penawarnya. Bukankah ini petanda Allah begitu mencintai kita? Betapa sayangnya Dia agar kita tidak terus leka dan lalai.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"