viewers

Thursday, January 24, 2013

Nota Kaki : Senyum dan Sabar


Tiada manusia tanpa masalah. Dalam hal ini Sharifah Zohra could be right. The thing is, bagaimana menanganinya, atau lebih utamanya, menghadapinya?

Ditakdirkan Tuhan, jawapan yang selama ini saya harapkan positif bertukar sebaliknya. Lama sungguh saya berusaha mendapatkan tempat di sini namun ditakdirkan menemui jalan buntu. Akhirnya, dalam penuh keterpaksaan saya redha. Pasrah menerima ketentuan Ilahi. Allah itu Maha Mengasihi hamba-hambaNya. Bahkan Dialah yang Maha Mengetahui takdir kita. Seboleh mungkin, saya bersabar.

Namun, saya juga manusia biasa. Terkadang mengharap sesuatu yang lebih baik daripada kesusahan tatkala ini, apabila dirempuh dugaan sebesar ini, saya tewas juga. Dalam diam, ia memakan diri saya. Saya mula merunsing dan termimpi-mimpi. Rasa seolah-olah tiada bumi tempat berpijak. Jiwa terapung-apung tanpa pegangan. Astaghfirullah. Besar dosa saya.

Ditambah pula, isi poket mula mengecil. Menokok hanya perbelanjaan, sedang perndapatan terhalang dengan seribu aral. Gaji yang seharusnya sudah dimiliki, terlambat seketika dek masalah teknikal. Sudah pula, sebulan ini, nilai belanja cuma separuh daripada biasa dek akaun syarikat ditutup sehingga seminggu yang lepas. Keberatan yang membeban jiwa terasa tertimpa-timpa oleh masalah sekecil ini. Sesak nafas saya.

Sejujurnya, masalah keduanya bukan janggal bagi saya. Pernah sahaja gagal dalam meraih impian hidup, lalu terlambat beroleh rezeki nikmatNya. Cuma sekali ini, yang datang meminta lebih banyak daripada yang diperoleh. Malah mood yang lintang semakin berpusu-pusu meronta. Tabahkan hati ini, ya Allah.

Perkara paling sukar tatkala ini, bukan menghadapi masalah yang membelenggui diri, tetapi hakikat untuk terus senyum dan ketawa itu. Pahit rasanya menemui rakan seharian dengan muka yang mencuka. Jengkel rasanya membalas berita gembira dan jenaka teman-teman dengan mata yang berderaian. Lalu senyum dan ketawa dipalsukan. Ketawa sehingga air mata meluruh, sedang itu unttuk tujuan berbeza. Hati dan pada anak mata ini, terlekat perasaan yang kelat. Dan tak pasti seramai mana yang mampu meneka. Palsu, tetapi untuk ini, biarlah mampu merai kegembiraan mereka di sisi. Senyum.



Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). 

Hikmahnya, Tuhan membuka jalan untuk kulalui. Mata yang memandang bukan saja pandangan mata, tetapi mencelikkan jiwa yang selama ini terpenjara. Saya ambil masa menemui teman-teman akrab. Bukan berharap mereka menyelesaikan masalah di pundak, namun cukup berkongsi apa yang wajar. Supaya antaranya, ada nasihat yang bisa mengingatkan saya tentang kuasa dan ketentuanNya. 

Malah, sebahagian yang lain juga mulai peduli. Diikutkan jiwa yang dahaga. Makan kami di tempat hati saya ingin pergi. Ada yang baik menghiburkan dengan sedikit kurniaan percuma. Biarpun sedikit, namun ikhlasnya terasa. Peluang menambahkan rezeki dikurniakan Tuhan sikit demi sedikit. Tak banyak, tetapi cukup. Alhamdulillah.

Akhirnya, jiwa terasa ada. Apabila ujiannya memberat, disertakan dengan kasih sayang yang tak kunjung malap. Senyumlah, walau senyuman itu palsu. Sesungguhnya, di sisi Allah, mereka yang berlaku sabar itulah sebaik-baik pemenang.

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra. berkata, Rasulullah S.A.W, 
"Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu, kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya,” 
(Riwayat Muslim)

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"