viewers

Sunday, August 7, 2011

India Trip : The Lesson of Lifetime. (Pencarian)


Chitli Bazaar, Delhi.


Saya percaya, perjalanan dari ke mana ke arah mana pun destinasi kita, yang pentingnya keinginan mencari cahaya Tuhan. Pilihan India bukan mudah untuk diterima sahabat lain, malah Bunda sendiri beralah dengan pilihan ini. Saya seorang yang percaya kepada Tuhan saya. Yang mendatangkan jalan bila tiba masanya. Saya faham dan mengerti seruanNya. Ada masa saya leka, dan terkadang Dia bukakan luas jalan untuk saya lalui. Kembara India didatangkan buat saya mengenal bumiNya. Ditemukan tanpa sedikit pun ragu menjalar dalam selirat darah saya.
 

26 Julai 2011, Tika Malam Berlabuh.
Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi di Delhi tika senja sudah berlalu. Malam sudah lama memenuhi ruang udara India. Saya dan sahabat, Fizry Azmier bergegas keluar dengan cepat. Beberapa kali, mata memandang ke sekeliling lapangan terbang. Nyata, India tak seburuk yang disangka. Susuknya kemas dan cantik. Soleknya lawa dan sesuai. Barangkali India juga cantik. Malah, hati kecil berkira sendiri, jika dibandingkan dengan LCCT, Indira Ghandi jauh lebih baik.

Saat paling indah apabila wajah sahabat baik yang lama benar tak bersua muncul di sebalik khalayak di luar lapangan terbang. Terjerit kecil kami kerna rasa riang yang melonjakkan hati. Bertemu kami kerana Allah, dan mungkin nanti berpisah juga kerana Allah. Seketika bertegur sapa, kami lekas mencari kelibat dia yang seharusnya menjemput kami bertiga. Max, seorang pemandu teksi diajukan hotel tempat kami bakal bermalam, Whiteklove Hotel menjemput kami dalam pekat malam.

Hati berniat keranaNya. Kehadiranku di bumiNya, India adalah satu bentuk pencarian. Mencari hikmah Tuhan dalam menciptakan perbezaan kami. Mencari sebab untuk terus bersyukur dilahirkan sebegini. Mencari alasan, untuk menduga persahabatan kami. Mencari keajaibanNya dalam susur perjalanan yang teramat singkat ini. Mencari perasaan yang dulu pernah hilang, untuk meletakkan rasa berharap dan bersandar hanya kepadaNya.

Pelajaran pertama di bumi India, kami dikagetkan cara mereka memandu. Tiada arahan patuh kepada peraturan di jalanan selain bunyi hon yang bertalu-talu tanpa henti. Max memandu dengan agak laju. Lagu bahasa ibundanya kuat memecut ke gegendang telinga kami. Ketika masih jauh daripada bandaraya Delhi, kami merasa kenikmatan angin yang rakus menjamah pipi. Lagu yang terkadang rancak membuatkan kami juga ikut beritma. Senyum dan ketawa menghiburkan kami sendiri. Dalam faham atau tidak, Max ikut menari. Terasa dialukan. Hakikatnya, pemanduan Max yang lancar tetap menggerunkan kami bila mana trafik selalu sesak dengan kereta berpusu-pusu. Beca dan basikal ikut serta memenuhkan jalanNya. Hon menjadi perkara wajib. Seumpama mereka memandu tanpa cermin pandang belakang. Bahkan tanpa menggunakan mata. Hanya pendengaran menjadi deria utama, hon daan terus hon.

Tiba di hotel, malam yang larut tanpa sedikit makanan menjamah perut membuatkan perut kami agak buas. Lapar yang memuncak, selesai mandi dan bersolat kami segera keluar mencari tempat santap. Restoran di hotel lebih seakan bar daripada tempat makan. Jadi kami nekad meniti pekat malam mencari sesuap hidangan. Lama benar kami berjalan. Pertama kali di negeri asing, tika mata tidak dapat merasai semua pemandangan di balik neon yang terhad, kami mundar mandir tanpa arah. Semua tempat mendatangkan takut dan gerun. Lecak dengan najis kuda dan anjing di merata. Malah, paling pelik melihat puluhan mereka yang tidurnya di jalanan. Bukan sekadar orang gelandangan yang mencari dermaga tidur, juga mereka yang siap katil tempat beradu. Katanya sahabat kami, barangkali di luar pendingin hawa lebih nyaman daripada di dalam rumah.

Sibuknya jalanan tika malam di Delhi bukan sekadar itu. Jalan raya turut penuh dengan kenderaan. Di mana-mana ada manusia. Mereka bergerombolan di bawah lampu jalan yang malap. Justeru, misi kami juga pudar. Tiada sebarang restoran atau kedai makan yang masih dibuka. Sekurang-kurangnya, tiada yang kami yakini untuk singgah dan santap. Maka kami mencari tempat yang lain. Kami singgah di kedai serbaneka. Layaknya seperti kedai runcit di Malaysia. Berhitung-hitung sendiri, kami menyambar mi segera dan snek kecil. Air mineral dan air bergula pilihan kedua. Peliknya, air mineral mereka sebenanrnya air minuman yang ditambahkan mineral serta dirawat. Menurutnya, air di India tak sebersih di negara kita. Isu halal dan haram juga singgah bertamu di hati. Kami yakini sahaja, dengan tanda makanan vegetarian bersimbol di belakang.

Pencarian pertama. Esok lusa, bakal ketemui lagi.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan."
-Ar-Rum (30 : 22) 


Mineral water means ...

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"