viewers

Wednesday, August 31, 2011

Nota Kaki : Berehat

Berehat. Cuma seketika.


  1. Mula-mula sekali, saya tak pasti berapa ramai antara anda tahu berapa jauh sudah saya berjalan. Lebih lagi untuk kenal, sedalam mana telah saya menyelami hidup ini. Tapi saya pasti, tiada siapa yang benar-benar mengerti. Dan seperti mana pejalan-pejalan kaki yang lain, pengembara ini juga perlu berhenti. Sekurang-kurangnya buat seketika.
  2. Saya berhenti melangkah. Setelah lama bermandikan lelah. Buat sementara waktu, saya sedia berehat. Kerana yang terpikul di pundak sudah tidak lagi larat dibiar terus memberat. Saya cuma penat, dan saya perlu berehat.
  3. Saya tidak menyepi. Bahkan takkan terus menyepi. Esok lusa saya menyanyi lagi. Biarkan yang membenci suara sumbang saya ini galak sebentar. Maklumlah, dalam sebulan juga kita berpuasa. Maka saya kira saya perlu mula berpuasa juga. Tapi saya janji, saya bakal kembali.
  4. Saya benar-benar sudah berhenti. Cuma berehat. Facebook telah saya rehatkan. Kecuali, mungkin sesekali telefon saya masih laku belayar di lamannya. Ada juga kegiatan sosial dan perhubungan dua hala saya rehatkan. Beberapa perkara, perlu direhatkan.
  5. Saya juga tak rasa ramai yang bertanya kenapa. Mungkin ada yang tidak pernah ambil kisah, atau andai yang endah, masih mampu ikut terserah. Mana mungkin ada yang sebegitu peduli, kecuali lebih ramai yang sanggup menjadi tuli. Kisah berehat ini bukan mencari publisiti, cuma buat sesetengah mereka, anggaplah ini pemanis isi, berundur secara bestari. Sopan lagi merendah diri.
  6. Persoalan kenapa, cukuplah sekadar saya mahu berehat. Ada kata-kata kadang kala terlebih kesat. Dan apabila menikam harga diri saya, menjadi terlebih jahat. Dan masa yang kian memekat, memaksa saya ambil keputusan untuk berehat. Berjalan dengan kaki ayam tanpa henti benar-benar memenatkan. Biar saya binakan ruang, untuk semua pendengar mendapat peluang, berfikir lebih panjang, dan merasai ketiadaan saya yang tak terpandang. Biar saya juga terisi dalam jeda, mencari semula kelopak-kelopak kekuatan yang ada, mungkin sampai waktu saya tak lagi muda, saya akan kembali semula dengan ilmu penuh di dada.
  7. Anggaplah koma ini hikmah yang sempurna. Perenggan dalam karangan yang berguna. Tiada cela mahupun hina dina. Biarlah keputusan ini seakan sebuah lena. Yakni dalamnya berisi mimpi dan munajat yang membina. Tiada hati yang bakal dilukai pena. Tiada hasrat yang bermaksud mendirikan bena.
  8. Saya bakal kembali. Itu janji saya. Cuma perlu masa untuk bersahaja. Untuk saya menjadi saya. Jadi saya hentikan seketika warna-warna yang selama ini mewarnakan pelangi hidup saya. Akan sehingganya, serasa tiada lagi warna saya. Biarlah keputusan ini tidak bermaksud melukakan sesiapa, atau memutuskan apa-apa, bahkan bukan kerana rajuk yang tertempa. Anggaplah ia hakikat sebuah kembara, yang diharuskan bagiNya, kita berhenti untuk berehat seketika.
  9. Sepanjang kehilangan itu, saya akan terus menulis di lembaran ini. Halaman-halaman India Trip dan sebandingnya akan perlahan-perlahan mengisi muka surat, dan menjadi lagu, bersenandung serata, seirama dengan dondangnya, warkah tulus daripada hati ini. Penggangti luahan daripada Facebook dan kontaks sahabat handai.
  10. Berhenti. Seketika.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"