viewers

Sunday, August 14, 2011

India Trip : The Lesson of Lifetime. (Ujian Kehilangan)



 
 
Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.  
Al- 'Ahzab  (33:3)
 
 

Sepertimana yang dijanjikan Tuhan, kembara ini akan diuji selayaknya. Bagi kita mengenal erti kepayahan, kehilangan, kesesakan, ketandusan, kesakitan, dan daripadanya dapatlah belajar erti berserah diri dan bersandar padaNya. Jalan yang dibukakan olehNya bukanlah jalan yang sempurna lorong kecuali tepat untuk menjadikan pengembarannya lebih baik tatkala melaluinya.

Malam berlalu cepat di Delhi. Malam yang pertama singgah di bumi asing, hanya kelapangan hati yang memberi ruang untuk kami terus bernafas. Esok dan lusa, kami mula merancang semula. Mencari titik-titik yang bersambung dalam kembara ini. Zamri benar seorang yang suka merancang. Lebih baik lagi, dia lengkap dengan keperluan yang wajar. Sudah disediakan jadual waktu solat agar kami sebolehnya tidak terlepas masa solat meskipun kami akui, kepayahan dan kesempitan masa menyebabkan kami bersedia menggunakan kemudahan Jama' dan Qasar yang diberikan Ar-Rahmani Rahim.


"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk."
- Surah al-Baqarah:45

27 Julai 2011 - Hening Fajar Delhi.
Kami bangkit lebih awal daripada lelap mata yang masih penat. Masing-masing cepat mandi dan bersolat. Meskipun sarapan yang disediakan hotel berlarutan agak panjang, kami putuskan untuk menjadi pelanggan paling awal pagi itu.

Subuh di Delhi benar-benar hening dan sejuk. Pun begitu, rata-rata khalayak sudah pun mundar dan mandir mengelilingi kota menjalankan tanggung jawab masing-masing. Semalam masih terpahat di galeri minda, parut pertama mengguris rasa senang. Sweater hitam kegemaranku hilang entah ke mana. Jenuh kami mencari di segenap sudut di dalam bilik hingga ke ruang lobi. Masih tak ketemu bayangnya.

Akal ligat Fizry berputar. Diteleknya iPhone canggih baru sehari dua dia miliki. Ada keping-keping gambar maya dikajinya. Sah, sweater itu tertinggal sebelum kaki kami memasuki ruang hotel semalam. Ketika gambar di dalam lobi dan juga di dalam kereta teksi, saya sudahpun berbaju putih. Barangkali hilangnya di dalam kereta teksi. Atau mungkin di dalam lapangan terbang?

Risau mengerumuni hati. Dalam senak hati yang asing, sebak ditahankan sekejap. Kiralah, baru semalaman berginjak di bumi asing, sudah leka sehingga hilang barang sendiri. Hati kecil beristighfar berlanjutan. Rasa sedih dan hampa pada diri sendiri. Namun bila difikirkan, kemungkinan berjumpa semula dengan Max agak tipis. Manalah sahaja dapat kami temuinya. Hati separa redha dan pasrah. Ya Allah, Maha Suci Engkau tempat aku bersandar harap dan pertolongan.

"Sesungguhnya Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah) adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat)."
- Surah Al-Israk:30

Pagi itu seluruh anggota mulai redha. Dalam rasa yang sedikit sedih kehilangan barang berharga dan lebih lagi punya nilai sentimental, kekecewaan dan rasa bersalah menghantui diri. Demi Tuhan aku pasrah. Kalau dengan izinNya ada lagi rezekiku, insyaAllah bertemu kembali aku dan harta itu. Barangkali kata-kata Fizry ada benarnya. Kadang-kadang harta yang kita miliki itu bukan hak kita maka Allah mengambilnya semula daripada pinjamanNya kepada kita. Sekali lagi aku beristghfar. Pasrah akan takdir Tuhan.

Kami bersarapan seboleh ada. Kebanyakan makanan berunsurkan makan vegetarian. Ada 'roti canai' atau paratha yang biasa kami temui. Serta makanan-makanan lain yang pelik sekali untuk kami jamah. Aku berasa amat payah meminum lassi yang sejuk dan pekat itu. Serta yang lain-lain yang sudah hilang dari gambaran minda. Mujurnya, ada bijirin yang biasa dijamah di Malaysia. Bijirin pagi itu layaknya untuk segenap hari memenuhkan rasa lapar.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh,Allah beserta orang-orang yang sabar."
- Al-Baqarah:153
 
Seusai kudapan pagi, kami berkemas keluar daripada hotel. Beg hitam berat itu aku tarik melalui jalan-jalan kota Delhi yang sibuk dan berlubang-lubang. Berlari-lari kami mencari stesen Metro (transit ringan seperti LRT, Komuter dan Monorail). Pesanan penjaga hotel terpahat di sanubari. Kiri dan kanan menjadi petunjuk. Kiranya buruj tiada menjadi panduan. Hanya peta dan kata-kata menjadi petanda. Sekali lagi, hati rungsing dan bimbang. Selain sweater yang hilang, mp3 playerku juga turut hilang. Itulah yang menjadi ubat sampingan tika tekanan memberat di kepala.

Lama langkah berjalan, pandangan tertumpu kelibat manusia yang ramai berkumpul. Di antara mereka, tubuh lampai Max menegur ruang mata. "Max!". Hati berteriak kecil. Zamri, mengalih padaku minta aku bertanya. Kami segera menegurnya dan bertanyakan tentang sewaterku itu. Malangnya, jawapan bertemu negatif. Dalam faham atau tidak dia menggeleng. Malah teman-teman di sekelilingnya ikut menggeleng. Mereka minta kami menggunakan perkhidmatan mereka. Lebih daripada itu hanya gelengan yang menyambut pertanyaan kami.

Rasa lama di situ, kami akur dan melangkah pergi. Sungguh, aku terasa baru disapa Tuhan. Seakan ada harapan cuba mendaki gunung ujian. Rasa hilang terjejak bertemu kembali. Namun masakan Tuhan semudah itu memberikan aku jalan, lalu hilang semula diselubungi kecewa. Hati terasa sedikit gundah. Lihat pada riak Zamri dan Fizry serasa mereka tidak memahami. Ingin sahaja berteriak melolong di tepi telinga mereka. Aku mahu sweater dan mp3 playerku semula! Lakukanlah sesuatu! Bantulah aku!

Jelasnya, yang bersungguh menyatakan perasaan jiwa hanya di balik hati yang sunyi. Aku rasa benar-benar berputus asa. Walau hati tak pernah lupa sentiasa memohon jalanNya agar dibukakan untukku. Cepat langkah berlalu, secepat kerah keringat mahukan otak memaksa perasaan itu hilang. Pasrah sahaja Hanam!

Tiba-tiba ada figura berlari-lari mengekori kami. Max tersenyum daripada jauh dan memanggil. Dihulurnya segera sepasang sweater hitam. Aku cepat menyambutnya dengan suka. Zamri dan Fizry ikut ria. Mungkin hati mereka biasa sahaja. Sweater buruk itu bisa mereka dapatkan di mana-mana pada bila-bila masa. Namun bagiku sweater itu barang berharga. Max mengunjurkan pula sebelah tangan yang lain. Sebuah mp3 player yang jelasnya milik aku. Aku mengangkat kening menambahkan gembira. Kuambil penuh ujaan. Mulut berterima kasih tanpa pernah berhenti. Aku bersalaman erat-erat dengan Max. Fizry dan Zamri ikut bersalaman dan berterima kasih. Kemudian langkah bersambung semula. MAx tinggal jauh, dan pertemuan terhenti di situ.
 
"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
[At-Taghabun:11]. 

Benar, ujian kehilangan ini permulaan yang biasa. Baik Fizry atau pun Zamri. Atau anda yang sedang mengikuti naskah ini, tidak mungkin merasa apa yang hati kecil ini rasakan. Hilang yang mudah diganti. Yang hilangnya tak perlu ditangisi. Tapi buat hati yang mengalami, apatah lagi berkenaan sesuatu yang amat disayangi, kehilangan ini ujian yang tak terperi. Serasa seakan berada di sebuah kota sesat yang berliku-liku dindingnya. Tiada penunjuk arah atau jalan yang mudah. Seakan berdiri sendiri dan harus mengharungi dengan pasti. Kehilangan yang kecil ini telah menyesatkan hati. Cuma pada tempat yang satu itu aku cuba yakini. Kuasa Ilahi yang Maha Mengerti, padaNya jualah aku berdoa:

"Jika suatu masa Dia akan ambil kembali, sesuatu yang aku miliki, semoga aku sentiasa beringat Dialah pemilik yang abadi. Dan hanya redha dan pasrahlah menjadi bukti, aku redha akan kuasaNya, aku bersandar pada RahmanNya."

 
 
"Dan nescaya Kami akan uji kamu  dengan sedikit
sahaja daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta,
kematian, kehilangan hasil (buah-buahan).
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar iaitu
mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan
menyebut, sesungguhnya kita ini milik
Allah dan kepada Allah juga
kita akan kembali."
 
Al-Baqarah, 2:155
 
 

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"