viewers

Thursday, August 25, 2011

Inilah Aku : Kad Raya

Teknologi vs Tradisi
Saya barangkali seorang yang tradisional. Sentiasa menilai keperluan harga sentimental. Saya suka sesuatu yang datangnya daripada hasil tangan yang bergerak sendiri. Creativity saves money. And creativity increase the value. Sekurang-kurangnya itu yang saya percaya.

Saya suka 'mencipta' sendiri hadiah untuk diberikan kepada seseorang yang istimewa. Menghasilkan sesuatu daripada idea dan inspirasi diri adalah satu hobi buat saya. Paling tidak, saya lebih suka membalut sendiri hadiah tersebut. Kata sesetengah mereka, dari situ tercurahnya kasih sayang kita kepada penerima.

Hari raya makin hampir. Meski berat kebanyakan hati kita ingin meninggalkan manis ruang ibadah Ramadhan, mahu atau tidak, kita tetap perlu menerima hakikat masa Tuhan berjalan laju. Sekejap sahaja Syawal tiba. Dan wajar bagi kita meraikannya seperti sunnah RasulNya. Selain persiapan biasa yang kita sediakan, menghantarkan kiriman salam dan maaf menjadi kebiasaan yang biasa bagi kita.

Masih kita ingat tika setem masih suka kita gunakan, kemeriahan memilih dan membeli kad raya itu sendiri begitu terasa. Seminggu dua sebelum raya, berkeping-keping kad raya biasanya sudah tersedia. Berkira-kira sendiri siapa yang bakal beroleh kad istimewa kita. Isinya bermacam-macam. Daripada isu raya sehinggalah kisah salah dan silap yang ingin kita pohon ampun, selalunya memberi makna sendiri bila menulis.

Sudah menjadi kewajipan juga setiap kad yang ditulis lazimnya dibalas si penerima. Bahagian ini juga biasanya kita nanti-nantikan. Bentuk bagaimana dan isi apa. Waima terkadang sudah dapat kita baca segala itu. Pokoknya, kad raya itu menyeronokkan. Buat si penerima atau penghantar. Tradisi yang menjadikan raya itu meriah. Mungkin bagi sesetengah kita.

Hakikatnya masa berjalan. Berlari. Dengan pantas sekali. Teknologi yang menjanjikan kemudahan buat umat manusia mula menggantikan tradisi. Semakin lama, kad raya mula hilang sudutnya di pasaraya. Posmen tidak lagi begitu sibuk berlarian mengerjakan kad ke destinasi mereka. Bukan tidak ada, tetapi tak semeriah dulu.

Umum lebih suka menggunakan kemudahan teknologi yang lebih senang diurus. Sama ada SMS atau kad maya ke email. Mahupun di Facebook, lebih canggih. Teknologi benar-benar memudahkan. Tuliskan satu SMS ringkas dan forward kepada semua rakan-rakan. Copy and paste istilah yang idak asing bagi teknologi. Similenya bak teknologi klon--ciptakan satu dan klonkan semuanya untuk hasil yang lebih baik. Apa yang kita terlepas pandang? Keunikan.

Itulah. Saya seorang yang konservatif barangkali. Sukakan tradisi dan nukilan sendiri. Benar, tak semua yang bernasib baik menerima satu kad raya daripada saya, namun seikhlasnya, setiap kad saya hiaskan dengan keikhlasan dan kasih sayang yang wujud ketika saya menulis. Usaha itu saya panggilkan keikhlasan. Kesungguhan di balik masa singkat dan kekangan lain yang membujur lalu melintang patah. Sekurang-kurangnya saya masih menanam benih tradisi ini. Mungkin, kerana itu kesukaan buat hati saya. Inilah aku.

Hidupkan tradisi kita. Teknologi tak seharusnya menggantikan tradisi, mengubah jati. Salam Ramadhan.


Setulus Hati, Keikhlasan Diberi.
 Hanam Hamid.


nota kaki : Anda terima kad raya daripada saya?

Selamat Hari Raya buat semua.

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"