viewers

Sunday, August 14, 2011

Singgah : Bazaar Ramadhan




 Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. 


Al-Isra', 17:26-27

Rasanya, untuk mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa dan Menyambut Bulan Ramadhan masih dikira wajar biarpun lagu-lagu raya sudah mula memenuhi halwa telinga dek corong-corong radio yang terpasang. Asalnya, saya berkeinginan menyambung semula entri India Trip yang telah masuk beberapa bab sebelum ini. Namun, atas rasa perlu untuk mencelah dan menyentuh kisah lain dalam neraca hidup ini, saya tuliskan juga entri Singgah yang menyatakan pandangan saya dari sisi seorang yang memerhati laku budaya kita.

Saban tahun, tatkala Ramadhan menjengah, peribahasa mereka yang kononnya Ramadhanlah bulan kita bisa berjimat, layaknya seperti jauh panggang daripada api. Bulan Ramadhan, acara berbuka dan bersahur menjadi amalan wajib. Bukan sahaja nyatanya dituntut Islam, malah daripada perspektif kesihatan juga digalakkan mempercepat waktu berbuka dan melambatkan sahur. Persis suruhan Ilahi, jua sunnah Nabi, inilah tanda islam itu Maha Merahmati lagi Memahami.

Sayangnya, tiap kali tiba waktu berbuka, mahupun tika bercadang untuk bersahur, nafsu makan menjadi-jadi. Bazaar Ramadhan budaya wajib yang seringkali kita kunjungi. Saya faham benar tentang kenapa wajarnya membeli sedang kita pandai memasak. Selain kekangan masa, terkadang juadah yang beraneka ingin kita cuba. Lauk-pauk dan kuih muih yang jarang sekali menemui mata, mula sahaja terhidang untuk menyentuh deria rasa.

Membeli alah, memakai pun tak jua menang. Berapa banyak lauk dan kuih yang dibeli bisa habis sampai ke ruang perut? Banyaknya singgah ke dalam bakul sampah. Atau menjadi pelazat makanan kucing. Membeli bukan murah. Makanan lauk pauk dan kuih harganya mencecah separuh sepuluh. Untuk seharian, berbuka dan bersahur, seorang sahaja kadangnya sampai RM20. Itu baru asas. Maka, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Ke mana perginya salah kalau bukan si pembeli?

Bukan itu sahaja, kita maklum harga barang yang kian menambung. Malah pelbagai kos sampingan harus kita tanggungi. Yang paling rugi, pembeli lagi. Harga gula yang naiknya sepuluh sen, untuk satu kilogram, tetapi kos satu kuih yang menggunakan barangkali satu per dua puluh daripada itu tetap naik sepuluh sen. Makanya, RM 1.90 sudah untung di atas angin.

Lagi pula, harga yang mahal tak segah rasanya. Rasa tidak semengah. Tawar tidak, berperasa pun tidak. Kata orang, mereka yang tak pernah masuk dapur pun kalau menjual di Bazaar Ramadhan boleh untung membeli Lancer sebuah. Paling membencikan apabila status kebersihan juga diabaikan. Makanan dibiar disinggahi lalat. Kadang-kadang air yang digunakan tidak dimasak. Kotor dalam serba serbi. Rambut dan sayur bercampuran, daging berhias telur lalat. Inilah tanda mereka yang tidak bertanggung jawab. Sudahlah masakan tak seberapa, harga ditolak melambung tinggi, sudahnya kebersihan juga diambil dingin.

Kita selaku pembeli perlu bijak. Pilihlah untuk berbelanja dengan bijak. Usah menjadi sahabat syaitan, terutama pada ketika mereka sendiri dibelenggui Tuhannya.

14 Ogos 2011, Bazaar Ramadhan Presint 2, Putrajaya.
Tun Dr. Mahathir bersama isteri melawat Bazaar Ramadhan.



No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"