viewers

Wednesday, January 19, 2011

Hidup Bukan Sendiri.


Begini: Andai anda seekor kambing, yang makan rumput dan mempunyai tanduk. Janggut sejemput tak dapat ditutup. Telinga panjang terlibas-libas, ekor pendek tercuit-cuit. Apabila anda masuk ke kandang harimau, yang rata-ratanya sedang kelaparan, perkara pertama yang anda tidak patut lakukan adalah mengembek. Cuba mengaum. Walaupun tak seperti garangnya sang Belang mengaum, sekurang-kurangnya anda berlagak menjadi garang sepertinya. Setidak-tidaknya adalah ruang dan masa anda bikin sang Belang berkira-kira sendiri. Sebelum terkam, ada masa anda berlari. Kalaulah anda mengembek, titik itu jugalah mereka sedar, ada kambing tua menawarkan diri jadi santapan mereka.

Analoginya: Setiap makhluk perlu belajar beradaptasi. Kita semua hidup berkomuniti dan bermasyarakat. Masing-masing kita nyatanya berbeza. Sudah lumrah alam setiap individu berbeza. Lain budaya dan lain ragamnya. Duduk di Kelantan dipanggil Supik, tinggal di Selangor dipanggil Plastik. Ada makan berulam timun, ada makan berulam tembikai. Ketika makan tak usah bicara, ada bicara sewaktu makan. Bila masuk kita dijemput ke sesuatu komuniti, belajarlah beradaptasi. Bukan menjadi orang lain, cuma menjadi diri yang sesuai dengan orang lain.

Moralnya: Untuk terus hidup, setiap makhluk perlu bijak menyesuaikan diri. Segenap tempat ada kelompok yang tersendiri. Apatah lagi jika makhluk itu bernama manusia. Kita tidak berlagak menjadi orang lain, atau menipu menyembunyikan diri di dalam belukar masyarakat. Cuma, ada perkara yang kita sentiasa perlu belajar menambah dan mengurangkan. Kalau perkataan kita banyak untuk menulis karangan ringkasan, tak jadilah fungsi memadatkan fakta. Kalau warna kita sedikit untuk mewarna pelangi, tak cantiklah rupanya untuk menghias langit. Yang pendek kita labuhkan, yang panjang kita singkatkan. Itulah adat memasuki kelompok supaya sama-sama kita mampu menerima dan memberi.

Tuntasnya: Jadilah diri sendiri, yang mampu beradaptasi dengan masyarakat. Sebabnya, kita hidup bukan sendiri.

Hanam Hamid

www.micinmyearphones.blogspot.com

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"