viewers

Tuesday, January 4, 2011

Terlajak Perahu...

Saya masih ingat sewaktu saya bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), pihak sekolah menganjurkan sebuah Kem Motivasi dan Ibadah buat kami satu batch. Kem sebegini adalah perkara biasa bagi menguatkan tekad kami agar lebih bersungguh-sungguh dan bersedia menjalani cabaran PMR yang bakal menjelang.

Ada satu sesi, yang mana dalam mana-mana kem pun menjadi kewajipan yang diadakan bertujuan memberi impak provokasi kepada peserta dan menilai kemampuan mereka mempertahankan pandangan serta maruah mereka. Saya sendiri pernah menjadi fasilitator dan mengemudi program sebegini. Peliknya, pada kem ini, kami diserang dengan agenda provokatif yang sangat ekstrem baik dalam soal keagamaan sehinggalah nilai bangsa dan maruah.

Saya tidak menolak isu yang dibawakan namun janggalnya, tidak seperti mana yang saya pelajari, setiap kali provakasi dilakukan, kami tidak diberi rasionalnya tindakan dan isu dibawakan. Maka, selepas tamat sesi pun kami masih terkial-kial dan menyimpan lontaran kata-kata tajam daripada mereka tanpa dihuraikan tujuan mereka. Meningkat usia remaja, barulah kami, kebanyakkannya mula memahami isu yang cuba dibentangkan. Namun cerita ini tak terberhenti di sini. Isu-isu sebegini dimainkan media memberi makna tersendiri buat kami semua. Baik dan buruk pengaruh tergantung pada pundak saya juga.

Entri kali ini bukan bercakap tentang 'isu ini' sahaja. Malah cuba menilai semula beberapa perkara yang saya kira kerap terjadi. Lebih menjadi fokus saya entri kali ini, angkara suatu peristiwa yang mula dihebah di sidang media termasuk laman web terkenal Facebook dan Youtube. Peristiwa seorang wira kepada alam sekitar yang tersilapnya mengeluarkan kata yang menyinggung rasa dan maruah bangsa bernama Melayu ini.

Suka mentafsir dan menggubah peribahasa Melayu, hero berbangsa bukan Melayu ini kononnya telah tersilap bicara mengeluarkan kata-kata yang jelas mendatangkan kemarahan mereka bernama Melayu. Jelas, lihat sahaja reaksi mereka di link ini.




Agaknya, melihat kepada tajuk entri kali ini pun, wira kita berkira-kira peribahasa sendiri yang gemar diolahnya. Meski ramai menganggap hero ini kadang-kadang terlebih memutar belit peribahasa kita, namun pada saya, sekurang-kurangnya dia cuba mengambil adunan bahasa kita dalam laporan hidupnya. bukankah itu lebih baik daripada kita sendiri yang senyapkan keindahan bahasa kita? Tambahan pula, wira kita ini memang hebat membela alam dan sekitar daripada tangan-tangan jahat manusia yang cuba menodainya. Hero kita memang wira sejati. Sehingga dia tersilap mengemudi perahunya terlajak jauh daripada pulau yang dituju.

Selepas menonton sendiri kejadian-selepas-kejadian ini, saya dapati beberapa perkara yang boleh kita nilaikan:


1. Bagusnya mereka yang cuba berdiri mempertahankan bangsa mereka daripada di hina dan di salah erti. Saya bangga punya keluarga yang sebegini. Sayangnya, cara mereka dikencam pula kerana terlalu kasar dan ekstrem. Betul, saya juga berpendapat demikian. Walaupun mereka baik melindungi martabat bangsa yang dijulang, cara dan 'kata-kata' mereka nampak sedikit zalim dan tak keterlaluan anda saya mengatakan kata-kata mereka seperti "kepala *utuh" menjadi cerminan yang lebih buruk buat bangsa Melayu yang sukakan kehalusan dan kesinisan dalam bertutur. Saya pernah pelajari bagaimana orang Melayu dahulu kala menangani isu dengan bijak dan halus. Kata-kata berupa sinis dan tajam, tetapi lebih dan berilmu. Belajarlah sedikit.

2. Pemerhati, yang terdiri daripada penonton luar, pengkritik dan pengulas seharusnya bijak menyatakan apa yang tersirat di hati. Bagi kita yang tidak berada di tempat kejadian, seharusnya pandai mengambil kira dan bertolak ansur dengan keadaan yang tidak pasti mana hujung pangkalnya, mana betul salahnya. Saya sendiri tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam kejadian ini, jika tidak nampak pada dasarnya. Maksud saya, betul atau tidak kata-kata wira ini sebegitu tidak ada buktinya. Jadi tidak patut kita terus menghukum. Kita juga tidak tahu seteruk mana kata sang Wira sehingga mereka di sekelilingnya begitu marah. Jadi kita tidak juga patut menghukum mereka yang bangkit dan murka. Yang kita tahu, Sang Wira ada tersalah bahasa dan mengeluarkan fakta yang tidak pasti. Serta bagaimana masing-masing cuba menegakkan benang yang boleh jadi ada yang basahnya. Tuntasnya, setiap yang dikritik dan dikomen pada laman sesawang berikut haruslah tidak bersifat menghukum. Kita tidak tahu, mana betul dan salah.

3. Sang wira, saya kira, daripada sumber yang saya dimaklumkan berada dalam keadaan mabuk, seharusnya lebih terbuka dalam memohon maaf. Ketika ramai yang sarat mengatakan keceluparannya dia berkata-kata, sewajarnya sang Wira sedia memohon maaf setiap yang 'barang kali' dia telah nyatakan dalam sedar mahupun tidak. "Saya minta maaf kalau-kalau saya tercakap demikian. Saya betul-betul tidak pasti berkata seteruk itu". Saya hormati kebarangkalian sang wira mempertahankan pandangannya... Atau mungkinnya sang wira begitu yakin tidak berkata demikian? Mungkin. saya juga tidak tahu. Namun, segalanya mungkin dan kedua-dua pihak harus bijak mengatasinya.

4. Fakta "Melayu tidak berasal daripada Malaysia atau Indonesia" tidak berani saya nyatakan kebenarannya. Masing-masing kita harus belajar. Dan daripada apa yang saya fahami, bumiputera, pribumi orang asli dan melayu, ada kesinambungan yang terikat. Pandai-pandailah kita mencarinya. Apa-apapun, kita semua berasal daripada benih yang sama. Haruskah bersengketa?

5. Tuhan sangat baik kerana mengharamkan arak dan sesuatu yang memabukkan daripada disentuh hamba-hambaNya. Ini cuma satu kejadian daripada jutaan yang lain akan hikmahnya. Saya seringkali difahamkan mabuk kadang-kadang boleh membuatkan kita menyatakan sesuatu yang memang terbuku di hati kita, walaupun pada moralnya, kita tak akan sekali-kali meluahkannya demi kepentingan bersama. Harapnya, sang Wira tidak pernah membuku rasa dan pandangannya di dalam hati murninya. Entahlah.


Ramuannya isu ini, menghina dan mempertahankan nilai sesuatu bangsa akan sentiasa ada. Baik yang menghina atau yang dihina, pandai-pandailah menjelas rasional dan hujah serta bijak menghadapinya. Usah menghukum sebelum segalanya dinyatakan dengan baik. Kalau dilihat pada kes saya dahulu, sepertinya, "Tak mengapa kita menyepak adik kita, tetapi kalau orang lain yang sepak itulah kejam dan melampau". Kalau anda faham maksud saya. Isu-isu sebegini sentiasa ada dan harus bijak kita tanganinya. Kita masing-masing tinggal dalam sebuah negara yang berkepentingan masing-masing dan saling menghormati. Maka, jadilah bijak. dalam segala perkara.

Sentiasa ingat kata pujangga..

"Terlajak perahu boleh diundur...."
(Anda insan bijak, sambunglah sendiri.)

No comments:

::shout box!::

"masing-masing Kami anugerahkan mereka itu dan mereka ini pun dengan pemberian Tuhanmu. Pemberian Tuhanmu tiada terlarang (kepada sesiapa jua pun)"